Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah 

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, merupakan seorang Raja yang amat dekat dengan rakyat jelata, dan sentiasa mencemar duli untuk berdampingan dengan mereka.

Baginda, yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 13 Disember 2011, selepas pertama kali ditabalkan 42 tahun lalu, pada tahun 1971 semasa usia 44 tahun, akan sentiasa turun padang bagi mendekati rakyat.


Tuanku Abdul Halim, 85, juga sering terlibat dalam aktiviti bersama rakyat dan telah berkenan menjadi penaung kepada 27 persatuan dan kelab antaranya Persatuan Badminton Malaysia, Kumpulan Guthrie Berhad dan Yayasan Sultanah Bahiyah.


Baginda yang merupakan seorang Raja yang amat cintakan bidang pendidikan, setiap tahun berserta Raja Permaisuri Agong berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, maktab dan universiti.


Seri Paduka juga merupakan Canselor bagi Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia, Universiti Pertahanan Malaysia dan Kolej Universiti Insaniah Kedah.
 
Tuanku Abdul Halim turut meminati sukan golf sebagai aktiviti riadah dan sukan bola sepak, malah sentiasa memberi perhatian dalam perkembangan pasukan bola sepak negara dan negeri Kedah.
 
Selain aktif berpersatuan, baginda juga amat mencintai alam semulajadi dan sentiasa memberi perhatian terhadap pemuliharaan flora dan fauna.
 
Diputerakan pada 28 Nov 1927, di Istana Anak Bukit, Alor Setar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.
 
Baginda melanjutkan pengajian ke United Kingdom di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.
 
Tuanku Abdul Halim telah dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.
 
Tuanku Abdul Halim telah bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 di Istana Menanti, Negeri Sembilan, dan dikurniakan tiga orang puteri, dan bertemu jodoh dengan Tuanku Hajah Hamimah pada 25 Disember 1975. - Bernama