Friday, June 12, 2015

Pak Samad diumum Perwira Ubah DAP

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kini sah menjadi ahli DAP selepas kemasukannya diumum pemimpin veteran parti itu Lim Kit Siang sebentar tadi.

Menyatakan Samad sebagai "Perwira Ubah" Lim juga menyerahkan kad keahlian kepada penulis sajak Tetamu Senja itu.

Saturday, May 9, 2015

TH: Isu Nasional

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN PEMUDA UMNO NEGERI PULAU PINANG BERHUBUNG ISU NASIONAL YANG MEMBELENGGU RAKYAT

 Keputusan PRK Permatang Pauh pada 7hb Mei 2015 telah menyaksikan pengundi muda telah menolak secara 'total' calon Barisan Nasional. Selepas pelbagai program sukan , santai dan keagamaan yang di rancang khusus mengikut acuan orang muda , undi mereka tetap tidak bersama kita. Secara umum, isu Nasional merupakan punca utama BN tumbang di Permatang Pauh. BN tewas bukan kerana mereka kebal tapi kita memberi peluru untuk mereka menyerang kita.

Secara khusus nya, antara isu yang masih membelenggu mereka ialah :

1. 1MDB- walaupun berulang kali di beri penjelasan oleh pelbagai pihak termasuk YAB Perdana Menteri , rakyat masih melihat ianya bukan sebagai jawapan tetapi lebih kepada memberi alasan. Auditan oleh Jabatan Audit Negara masih belum sampai ke pengetahuan rakyat. Tidak ada kah satu keperluan untuk menetapkan satu tempoh yang khusus kepada Jabatan Audit Negara agar mereka membentang hasil Auditan kepada rakyat?

2. GST- Kenyataan dari masa ke semasa oleh Timbalan Menteri Kewangan , YB Dato Ahmad Maslan juga sering di persendakan oleh rakyat. Keputusan ' Top up ' yang sering ' U-Turn ' amat memalukan seolah-olah Kerajaan Pusat tidak mempunyai ' Bargaining Power ' berdepan dengan Syarikat Telekomunikasi.
Pemuda UMNO Negeri bersetuju bahawa GST merupakan satu sistem percukaian yang baik, teratur dan telah di kaji dalam tempoh yang agak lama sebelum di implementasikan pada 1hb April yang lalu. Rakyat keliru dan gelisah apabila di khabarkan bahawa mereka tidak akan dibebani dengan kenaikan kos saraan hidup dengan perlaksaan GST ini tetapi pada hakikatnya harga barang dan perkhidmatan secara keseluruhannya naik tanpa sebarang kawalan. Kita boleh menyalahkan peniaga yang tamak haloba menaikkan harga barang sesuka hati tetapi dimanakah tindakan penguatkuasaan serta pemantauan? Pihak kementerian tidak sewajarnya menunggu aduan daripada pengguna untuk mengambil tindakan, tetapi perlu menambah keanggotaan penguakuasaan untuk mengambil tindakan kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab.

3. Sehari sebelum PRK Permatang Pauh sekali lagi rakyat di kejutkan pula dengan pembelian sebidang tanah oleh TH bernilai RM 188.5 juta di Tun Razak Exchange daripada 1MDB. Kami amat faham bahawa TH perlu membuat perlaburan dalam sektor hartanah bagi membolehkan para pendeposit TH mendapat pulangan dalam bentuk dividen. Apa yang menjadi persoalan sekarang adakah pembelian ini adalah satu strategi menyelamatkan 1MDB. Ini adalah kerana tanah ni di jual oleh Kerajaan Pusat kepada 1MDB dengan harga RM 60 sekaki tetapi di jual pula kepada TH dengan harga RM 2860 sekaki. Jawapan segera amat lah di pohon untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya pendeposit TH kerana mereka berhak mengetahui bagaiman wang yang mereka depositkan ini di laburkan. Kami berterima kasih kepada pembocor maklumat sulit pembelian tanah ini. Jika bukan dengan tindakan beliau, rakyat tidak akan tahu menahu hal ini.

Akhir sekali kami merayu dan meminta yang Y.A.B Presiden dan Perdana Menteri Malaysia dapat memberi jawapan segera kepada isu yang telah di bangkitkan oleh rakyat. Kami tidak mahu BN dan UMNO terus menerus di tolak kerana tindakan dan keputusan oleh pemimpin peringkat Nasional. Pemuda Umno Negeri tetap menyokong dan berdiri teguh di belakang Y.A.B Presiden tetapi Y.A.B Presiden perlu tampil memberi jawapan segera kepada rakyat.

Salam Hormat Daripada Saya

Rafizal Abd Rahim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Negeri Pulau Pinang

Friday, May 8, 2015

TH: "Majoriti yang diam"

Pengenalan:

Saya adalah antara jutaan “majoriti yang diam” (the silent majority). Kebiasaannya, berdasarkan berita yang saya baca, saya hanya geleng kepala, mengucap dan menguatkan azam untuk memilih parti yang mengutamakan atau pentingkan rakyat apabila tiba masanya nanti. Bukannya mereka yang terlalu taksub dengan pemimpin. Pemimpin hanyalah manusia biasa, yang boleh dan wajar diganti dari semasa ke semasa.

Latarbelakang:
Tabung Haji (TH) adalah antara institusi kewangan yang penubuhannya tersangat unik di dunia. Tidak ada mana mana entiti kewangan yang sedemikian. Niat asalnya, terima wang dari rakyat jelata, simpan, labur uruskannya sebaik mungkin dengan mematuhi tuntutan syariah. Tahniah dan syabas kepada pemimpin terdahulu yang berjiwa rakyat dan mempunyai visi yang sangat jauh dalam membantu merialisasikan impian warga kampung dan desa untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan haji.

Kenapa saya bersuara:
Tabung haji telah melakukan kesilapan dengan melantik seorang pengerusi yang tidak pengetahuan, tidak berkelayakan dari segi akademik mahupun pengalaman dalam bidang kewangan. Ramai lagi warga melayu asli yang lebih layak. Namun, saya sepertu yang lain, hanya mengeluh dan menggeleng kepala apatah lagi pengerusi yang baru merayu di berikan peluang untuk menunjukkan kebolehannya. Pemilihan beliau terbukit silap berdasarkan kemelut pembelian tanah yang terbaru dari 1MDB.
Namun beliau tidak harus dipersalahkan bersendirian. Di mana ahli lembaga pengarah yang lain? Yang terpelajar, yang berpengalaman, di mana mereka? Yang, seperti yang di canangkan, sememangnya urusan pembelian ini “bersih” atas kertas. Tabung Haji boleh melabur dalam bidang hartanah seperti mana kebiasannya. Persoalanya, 1MDB beli pada harga yang teramat rendah. 1MDB, kini berdepan dengan masalah aliran tunai. Mana-mana ahli perniagaan yang mahir dan bijak akan cuba mendapatkan sesuatu pada harga yang terbaik. Harga yang dibayar untuk tanah yang dibeli bukanlah harga terbaik. 1MDB mempunyai terlalu banyak masalah dan terdapat kemungkinan untuk jatuh muflis. Tabung Haji sepatutnya tunggu sehingga 1MDB menjual asetnya pada harga lelong, lambat laun mereka terpaksa berbuat demikian, jika tidak dibantu oleh tangan-tangan ghaib. Kenapa tidak tunggu. Jika TH benar benar perlukan tanah tersebut kenapa tidak dibeli terus dari kerajaan. Tanah tersebut sedia wujud dan milik kerajaan sebelum ini. Bukankah TH wujud sebelum 1MDB lagi. Bukankah penaung TH Perdana menteri sendiri di mana terdapat wakil dari Jabatan Perdana Menteri selaku ahli lembaga pengarah?
Saya bersuara kali ini kerana berpendapat pengurusan TH telah berlaku tidak adil kepada pencarum. Duit yang disimpan oleh rakyat jelata yang 100% beragama Islam, yang dikumpul sen demi sen dengan menitiskan keringat dan darah, telah digunakan untuk tujuan yang mencurigakan.

Pengurusan Tabung Haji mesti dihukum.

Hukum Pengurusan Tabung Haji:
Jika anda berfikir ada pihak yang akan menghukum Pengurusan TH, anda silap. Kita yang harus menghukum mereka. Saya dan anda. Bagaimana? Beraturlah. Jangan pegang sepanduk, jangan bersuara, jangan marah, jangan maki. Hanya bawa buku pelaburan. Pindahkan caruman anda ke institusi kewangan yang lain. Saya cadangkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau mana-mana institusi kewangan yang menawarkan produk atau pelaburan yang mematuhi sistem perbankan Islam.

Ini harus berterusan sehingga pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang terlibat meletak jawatan. Jika anda mengeluarkan semua wang anda, mereka tiada pillihan, selain daripada melepaskan jawantan mereka. Ini adalah hukuman kepada TH dan amaran kepada yang lain.

Kesimpulan:
Jika anda beragama Islam, mempunyai kesedaran bahawa wang yang disimpan oleh rakyat jelata di TH adalah untuk menunaikan tuntutan Islam. Bertindaklah. Bertindaklah menghukum mereka sekarang sebelum berbilion ringgit hilang. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Yang Benar,
Noor Mohamed. B Mohamed Haniba
BSc, MBA, ICSA (MAICSA:706746)
Bidor, Perak Darul Ridzuan.

TPM Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda Umno yang mahukan Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi penjelasan berhubung pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.
  
Timbalan perdana menteri berkata walaupun transaksi jual beli itu sah dan berdasarkan kesediaan pembeli-kesediaan penjual, para penyimpan Tabung Haji melihatnya seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban 1MDB.
  
Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata demikian kepada media Malaysia di Milan pada Jumaat.
  
Beliau dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari ke sini sejak semalam.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno menzahirkan kebimbangan berhubung pembelian tanah itu daripada 1MDB yang bernilai RM188.5 juta.
  
Pemuda Umno meminta supaya penjelasan dibuat bagaimana transaksi pembelian tanah itu dilakukan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pengajaran utama BN daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan PRK Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini adalah rakyat mahukan jawapan konkrit dan tindakan segera kerajaan terhadap isu-isu berbangkit.
  
Menurutnya, rakyat mahu kerajaan tidak memandang remeh terhadap isu-isu semasa.
  
"Kita kena lihat pendekatan baru dalam tangani isu-isu rakyat," katanya kepada media Malaysia apabila ditanya mengenai pengajaran utama yang boleh dipelajari BN daripada PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh.

PRK Rompin diadakan pada 5 Mei lepas yang menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Datuk Hasan Arifin manakala PRK Permatang Pauh semalam dimenangi Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin berkata pada pandangan rakyat, isu berkenaan mesti diuruskan secepat mungkin dan tidak membiarkannya berlarutan.

"Ini bermakna setiap isu berbangkit yang dihadapi rakyat yang dibawa ke muka kerajaan, mesti diurus dan ditangani secepat mungkin...sama ada jawapan ke,penambahbaikan ke," katanya.

Antara isu-isu semasa yang dibangkitkan pada kedua-dua PRK itu ialah mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB.
  
Muhyiddin berkata respons daripada rakyat menunjukkan mereka mahukan kerajaan memberikan maklum balas yang cepat dan sesuai dengan perkembangan maklumat masa nyata yang terdapat di media sosial.
  
"Pada pandangan rakyat, sikap 'defensive' (mempertahankan diri) tidak membantu dalam jangka masa panjang. Sikap 'offensive' (strategik) mestilah bersedia dengan jawapan untuk rakyat," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata di sudut pandangan rakyat, mereka mahukan jawapan dan kebenaran.
   
Ditanya mengenai analisis awal BN terhadap keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh, Muhyiddin berkata eksploitasi pembangkang terhadap isu berbangkit menjadi antara punca kekalahan BN.
  
Analisis awal itu juga menunjukkan rakyat tidak tertarik lagi dengan isu-isu pembangunan yang diutarakan semasa berkempen, sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada isu-isu semasa.
  
Kegagalan BN menjawab isu semasa, sebagai contoh mengenai 1MDB, telah dieksploitasikan oleh pembangkang, kata beliau. 
  
Muhyiddin berkata analisis menyeluruh mengenai keputusan PRK itu perlu dibuat bagi mengelak ia menjadi trend sehingga boleh menjejaskan keputusan pilihan raya umum kelak.

- Bernama

Tiga 'pegawai TH' dikenal pasti ada kaitan dengan 1MDB

Tiga pegawai kanan Tabung Haji dikesan terlibat langsung dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang terpalit kontroversi berkaitan beban hutang.

Ia sekali gus membangkitkan persoalan berhubung konflik kepentingan dalam urus niaga antara dua badan itu.

Semalam, Tabung Haji mengakui mendapatkan sebidang tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB dengan jumlah RM188 juta.

Perkara itu menimbulkan kontroversi kerana 1MDB mendapatkan tanah untuk projek itu daripada kerajaan persekutuan dengan harga jauh lebih murah berbanding nilai pasaran.

Susulan itu, pemimpin Umno Datuk Saifuddin Abdullah dan Pemuda Umno sendiri membangkitkan persoalan berkaitan konflik kepentingan dalam isu itu.



Tan Sri Ismee Ismail

Pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji ini turut berada dalam lembaga 1MDB.

Datuk Johan Abdullah

Timbalan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji turut mempengerusikan anak syarikat 1MDB Edra Global Energy Sdn Bhd.

Edra memiliki aset tenaga Powertek (sebelum ini Tanjong Energy), Genting Sanyen dan Jimah.

Datuk Abdul Samad Alias

Abdul Samad terlibat dalam panel pelaburan Tabung Haji. Beliau turut berada dalam lembaga 1MDB yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Menteri Khairy berleter seperti pembangkang

Semalam, Pemuda Umno mula melangkah masuk gelanggang untuk menduga isu jualan tanah 1Malaysia Development Berhad kepada Tabung Haji – kumpulan wang amanah untuk orang rasmai menunaikan haji di Makkah.

Kenyataan dikeluarkan Pemuda Umno semalam adalah acahan untuk Kementerian Kewangan yang kini dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi jawapan berhubung penjualan dengan harga RM190 juta itu.
Pergerakan itu turut meminta Tabung Haji memberi penjelasan lanjut. Kenyataan itu diedarkan kepada media dan turut ditepek di laman Facebook Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Perlu diingat, kumpulan Pemuda Umno itu jugalah yang bersungguh-sungguh mengusung Najib dalam satu pertemuan pada pertengahan bulan lalu sebagai tanda sokongan kepada perdana menteri.

Khairy Jamaluddin ini menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Najib pula presiden parti. Pengerusi Lembaga Tabung Haji adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, seorang ahli majlis tertinggi parti.

Apa sudah jadi dengan Umno sehingga persoalan mudah seperti inipun tidak boleh ditanya mengikut saluran dalaman atau melalui Kabinet?

Diam yang anggun

Kenapa Khairy perlu bersikap seperti pembangkang dengan mengedar kenyataan politik kepada media untuk menuntut penjelasan perdana menteri dan di Facebook?

Kita biasa melihat kenyataan daripada pemimpin Pakatan Rakyat yang menuntut jawapan kepada soal itu dan ini, menjadi tajuk sensasi di portal berita, termasuk Malaysiakini.

Kita juga biasa memerhatikan betapa Najib buat tidak tahu sahaja dengan persoalan seperti itu. Kalau di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, strategi membungkam seperti ini dipanggil diam yang anggun (elegant silence).

Entahlah, di celah mana anggunnya.

Apabila teruk diasak, seperti yang dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, barulah Najib menjawab serba sedikit.
Dr Mahathir ada sebab untuk berleter di blog atau ketika berucap di mana-mana acara yang dihadirinya. Mahathir bukan lagi anggota Kabinet. Beliau tiada apa-apa jawatan lagi dalam pentadbiran kerajaan.

Tetapi Khairy seorang menteri Kabinet Najib. Tidakkah isu jualan tanah itu dibincangkan semasa mesyuarat jemaah menteri?

Sudahlah isu jual tanah ini belum dirungkai sepenuhnya, tindakan Khairy yang seolah-olah menunjal kepala Najib di khalayak ramai sebegini tentunya mengaibkan perdana menteri.

Tindakan menimbulkan tanda tanya: Apakah saluran komunikasi di antara Khairy dengan PM kini sudah tersekat?

Thursday, April 23, 2015

Abd Halim bapa Adam Adli meninggal dunia selepas kemalangan

 
Abd Halim Abdul Hamid, bapa aktivis Adam Adli, telah meninggal dunia pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya itu melalui tweet pukul 7.30 pagi ini.

Abd Halim, yang sebelum ini bekerja di Keretapi Tanah Melayu Bhd, terlibat dalam kemalangan motosikal di Penanga, Pulau Pinang malam tadi dan dimasukkan dalam keadaan kritikal di Hospital Seberang Perai.

Beliau akan dikebumikan di Kepala Batas selepas solat Jumaat, kata Adam Adli.