Hudud
adalah salah satu daripada cabang hukum jenayah mengikut syariat Islam,
wujudnya bersama Qisas dan Takzir. Hukum Hudud adalah hak Allah yang
dinaskan dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith Mutawatir yang menjelaskan
kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya. Bagi penganut
Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan Islam
yang menjadi agama cara hidup (way of life). Tuntutan untuk beriman dan
beramal dengan Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan
penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO
atau secara individu dan ahli mana-mana parti politik, termasuklah ahli
UMNO yang beragama Islam, walau pun UMNO adalah sebuah parti kebangsaan
yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra bukan Islam seperti orang
asal dan Siam. Seluruh majoriti penganut Islam dalam UMNO wajib beriman
dan beramal dengan Islam mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah, sama
sahaja dengan ahli PAS dan penyokongnya.
Ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan
hukum dan perintahnya, antara lain telah dinyatakan oleh Allah SWT di
dalam Surah Al-Maidah dan Surah Al-Nur, di mana kedua-duanya adalah
surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah).
Permulaannya sangat tegas (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (Al-Maidah: 1)
Di antara perjanjian itu ialah mengucap Dua
Kalimah Syahadah, mengaku dan percaya menjadi penganut Islam.
Pengucapan dan penerimaan dua kalimah syahadah ini adalah syarat
terpenting menjadi seorang Islam, iaitu beriman dengan Allah dan
RasulNya.
Firman Allah (maksudnya): “Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami
turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya
ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)”
(An-Nur: 1)
Adapun melaksanakan undang-undang
syariat Islam seperti hudud, qisas dan takzir ini pula wajib melalui
proses kehakiman Islam dan sistemnya yang adil. Maka haram dilaksanakan
secara spontan oleh individu, atau keluarga atau JKK peringkat kampung
atau kumpulan atau penguasa daerah atau negeri, tanpa suatu proses
kehakiman. Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa politik
sepenuhnya dengan adanya Negara Berdaulat atau kerajaan yang berkuasa.
Di sinilah maka Rasulullah SAW tidak melaksanakan undang-undang hudud
ketika berdakwah di Makkah iaitu ketika tidak mempunyai kuasa
pemerintahan. Pelaksanaannya berlaku di Madinah, iaitu setelah adanya
kuasa negara dalam sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang
berdaulat dan mengadakan sistem kehakiman melalui seluruh perjalan
mahkamah.
Adanya penganut bukan Islam dalam
masyarakat majmuk adalah tidak menjadi halangan, di mana banyak
ayat-ayat dalam surah Madaniyyah yang sebab turunnya adalah bagi
menjawab kalangan bukan Islam yang menentang hukum Hudud dan sebagainya,
dalam keadaan mereka berada bersama masyarakat majmuk di-Madinah.
Pelaksanaanya pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju,
kerana kefahaman berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaanya.
Akhirnya seluruh anggota masyarakat Madinah menerima hukum hudud,
termasuklah bukan Islam secara tanpa paksaan, setelah mereka melihat
kesannya yang mampu mendidik masyarakat, keadilannya yang menyeluruh dan
wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.
Perlu juga kita fahami bahawa
hukumannya adalah sangat menggerunkan, tetapi syarat menjatuhkan hukuman
dan pelaksanaannya adalah sangat sukar atau ‘sangat memayahkan’ dengan
syarat-syaratnya yang sangat ketat. Ini berlaku apabila individu yang
dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan hanya sedikit alasan yang
kecil maka hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan, pilihannya sama ada
dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan daripadanya.
Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan penjenayah
terlepas adalah sama sekali tidak benar, kerana hukuman takzir dalam
kerangka hukuman yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula
akan mengambil tempatnya. Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah
adalah lebih digalakkan daripada diheret ke mahkamah.
Hukuman
hudud tidak dijatuhkan ke atas penjenayah oleh beberapa khalifah Islam,
bukan kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya tidak mencukupi.
PAS hanya berkuasa di peringkat negeri
Kelantan dan pernah di Terengganu melalui sistem Demokrasi dan
Federalisma. UMNO pula melanggar adab dan akhlaknya apabila tidak
menghormati konsep demokrasi dan federalisma ini dengan mendera rakyat
negeri Kelantan dan Terengganu yang menolak UMNO-BN dalam pilihanraya
itu. Walaupun berdepan dengan kekangan ini, PAS tetap secara konsisten
melangkah menunaikan kewajipannya melaksanakan Islam sebagai ad-Din.
Akhirnya, Undang-undang Jenayah Islam bersama undang-undang yang lain
telah dibentang dan diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
dipilih melalui Pilihanraya Umum lalu. Peringkat pertama PAS menang di
Kelantan di awal 90-an bersama Semangat 46. Dalam melaksanakan amanah
ini, Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dengan berpandukan bidang
kuasa kerajaan negeri, di antaranya melaksanakan beberapa aspek hukum
Islam di bawah kuasa Majlis Perbandaran dan Daerah seperti menghapuskan
lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat bukan
Islam sahaja serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama
masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam
yang wajib dilindungi.
Bagi undang-undang jenayah Syariat,
kerajaan negeri terlebih dahulu menyusun daripada nas Al-Quran dan
Hadith. Ianya disusun secara terkini oleh kalangan para ulama dan pakar
undang-undang daripada kalangan PAS bersama ahli-ahli akademik daripada
pusat pengajian tinggi. Setelah selesai maka ianya dibawa kepada umum
sebelum dibentang ke dalam DUN Kelantan. Draf cadangannya pula telah
terlebih dahulu dibentangkan dalam satu seminar yang diadakan di Hotel
Concorde KL di mana semua parti politik dan NGO Islam dan bukan Islam
telah dijemput. Proses yang sama dilakukan di Terengganu semasa
pemerintahan PAS bersama rakan-rakan yang lain. PAS juga menerima
kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO human rights
antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua persoalan yang
dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan PAS di negeri
Kelantan dan Terengganu. Ahli Parliman PAS juga pernah cuba membawa usul
pindaan perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an, tetapi dihalang
oleh proses peraturan mesyuarat (Standing Orders of the Dewan Rakyat)
dan sengaja diletakkan dalam senarai yang akhir tanpa kesempatan
dibahas, apatah lagi untuk ke peringkat kelulusan.
Semuanya
menunjukkan bahawa PAS hingga kini, dan akan datang, akan terus
mempertahankan matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi ruang
demokrasi yang ada. PAS akan terus berpegang kepada batas kerjasama
Tahaluf Siyasi (persefahaman) mengikut batas hukum Islam yang menjadi
hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuh PAS. Dalam masa yang sama
PAS juga menghormati dan mengakui akan perbezaan pandangan dengan
rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam beberapa perkara, tetapi semuanya
tidak menghalang untuk PAS kukuh bersama dengan rakan-rakan Pakatan
Rakyat ini untuk bergerak di atas common policy platform yang telah
dipersetujui dan kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa, rasuah,
ketirisan, demokrasi songsang amalam BN sejak sekelian lama, dasar
ekonomi pincang yang menekan rakyat dan sebagainya. Ternyata sejak lebih
50 tahun berada di tampuk kuasa, UMNO-BN tidak menunjukkan minat untuk
melakukan perubahan yang dinyatakan di atas, di mana mereka hanya
berminat membolot kuasa politik dan pemerintahan untuk meneruskan
kerakusan mereka sahaja.
Perlu juga kita ingat, bahawa UMNO
adalah parti paling besar menguasai Kerajaan Negeri dan Pusat serta
memimpin Barisan Nasional kerana berjaya memujuk bangsa Melayu Islam
mengundinya setiap kali pilihan raya umum. Kerajaan UMNO-BN ini
mempunyai kuasa Negeri dan Pusat berlipat kali ganda lebih daripada PAS.
Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),
JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di banyak negeri dan Pusat
Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga kini UMNO turut juga mempunyai
mantan pemimpin PAS yang tidak sabar bersama PAS kerana terlalu lambat
mendapat kuasa di peringkat pusat, lalu bergayut dengan UMNO yang lebih
banyak kuasanya di peringkat negeri dan pusat walaupun mereka tetap
tidak melaksanakan tuntutan Islam ini. Hakikatnya ialah UMNO wajib
meletakkan pelaksanaan syariat Islam seperti hudud ini di atas kepala
dan bahu mereka, bukannya disepitkan di bawah ketiak untuk hanya
dipergunakan bila melawan PAS atau untuk mendapat undi pilihan raya
semata-mata.
Setelah lebih 50 tahun diberikan kuasa,
maka UMNO wajiblah mempengaruhi rakannya dalam BN bagi melaksanakan
syariat Islam dan seluruh hukum Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT.
PAS pula tentulah wajib menyokong segala usaha melaksanakan hukum
Allah, termasuklah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem
ekonomi dan keadilan dalam masyarakat, membenteras rasuah, salah guna
kuasa dan sebagainya daripada semua pihak. Maka berdosalah PAS kalau
tidak menyokong dan menolong jika ada usaha ikhlas dan langkah daripada
UMNO atau mana-mana pihak yang benar-benar menegakkan hukum Islam.
Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat ke arah itu. Bahkan,
seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan tertinggi UMNOlah yang
menghantar surat rasmi kepada Kerajaan PAS Kelantan suatu masa dahulu
untuk diambil tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras ingin
melaksanakan hukum Islam ini.
Perlu difahami oleh kita semua, bahawa
hukum Allah adalah amanah daripada Allah, kepada sesiapa sahaja yang
mengaku Islam apabila menjadi pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan,
bukan hanya khusus kepada PAS sahaja. Kalau tidak menunaikan amanah ini
bermakna khianat, dan sesiapa yang menyokong dan mendukungnya juga
adalah pengkhianat terhadap Allah dan Rasul Nya SAW. Laknatnya lebih
besar apabila melihat kemungkaran dan jenayah merebak di hadapan mata
kerana gagalnya undang-undang ciptaan manusia, namun tetap
mempertahankan undang-undang yang nyata lemah dan sesatnya.
Malangnya UMNO hanya memalu gendang
kosong melalui gendang media yang dikuasainya supaya PAS bersilat dengan
DAP dan ramai yang menjadi pemerhati dan menunggu PAS keletihan, atau
dipersalahkan, lalu tarikh pilihan raya pun diumumkan. UMNO tidak
menjawab apabila MCA berkata UMNO jangan hilang akal dengan hukum hudud.
Malangnya UMNO terus mengulit orang Melayu Islam dengan gendang dan
alat medianya, supaya terus menjadi bangsa khayal dengan janji, bangsa
pelupa dan mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam jahil murakkab
(tidak tahu, buat macam tahu).
Kepada sesiapa yang berkemampuan dan
berkenaan pula, termasuklah pengamal media arus perdana, jangan
selama-selamanya menjadi tukang sapu UMNO dan pembawa sampahnya, jagalah
maruah diri dan agama sebelum pintu taubat ditutup. PAS tetap istiqamah
dan menerima setiap pandangan yang membina dan menentang tanpa
berganjak terhadap semua penghalang, yang datang daripada segenap
penjuru dan semua kalangan, sama ada kerajaan, bukan kerajaan, dalam
Negara dan luar Negara, kerana yakin kepada Islam adalah daripada Allah
Pencipta Alam seluruhnya.
PRESIDEN PAS