Tiga nama ini sebetulnya subteks jujur sebagai perlambangan tiga tokoh parti Melayu (walau PKR lebih pelbagai kaum) yang berupaya merebut Putrajaya.
Najib Abdul Razak melontarkan tiga nama ini sewaktu berceramah ketika melancarkan manifesto BN hujung minggu lalu.
Selain bimbang asakan Pakatan Rakyat, beliau juga kelihatannya risau tahap sokongan dari dalam parti BN sendiri.
Pilihan senarai calon BN, seperti juga Pakatan, akan menentukan tahap sokongan dan sabotaj.
BN awal-awal lagi cuba mendisiplinkan "warlords" di peringkat bahagian dengan mengugut mereka agar mematuhi pucuk pimpinan.
Isu disiplin sentiasa menjadi agenda majlis tertinggi Umno dan media arus perdana sejak Najib memperkenalkan konsep "winnable candidates".
Pintar, tapi bukan begitu popular
Difahamkan, sejak dua tahun lalu, presiden Umno terpaksa menggunakan saluran maklum balas akar umbi yang berharga puluhan juta ringgit dan jenteranya sendiri untuk memastikan konsep ini dapat dijayakan.
Melaluinya, sekali gus akan membelakangkan saluran Umno bahagian bersama "warlords" masing-masing, wang pelincir jentera tersebut akan disalurkan terus kepada "calon-calon boleh menang" pilihan Najib.
Langkah Najib ini bolehlah dikira pintar tetapi beliau bukanlah terlalu popular sehingga jentera tradisi bahagian-bahagian Umno boleh menerimanya sebegitu sahaja.
Umno bahagian -- seperti juga parti-parti Pakatan -- ada waktu-waktunya boleh melancarkan "serangan balas" melalui pelbagai taktik sabotaj -- sama ada membiarkan calon sendirian, menyokong calon lawan, merosakkan jentera kempen atau tidak keluar mengundi.
Selain bermacam-macam kontroversi Najib, isterinya Rosmah Mansor dikatakan satu daripada beberapa punca akar umbi parti itu sulit untuk mempertahankan Umno daripada asakan pembangkang.
Penjelasan Jacob & Co, tauke barang kemas tersohor dunia, Sabtu lalu dalam hal cincin RM24 juta menunjukkan betapa seriusnya palitan kontroversi itu terhadap keluarga Najib dan risiko isu ini pada pilihan raya umum.
Gara-gara cincin "puaka" ini, Rosmah sebelumnya terpaksa bersumpah dalam satu majlis makan malam di Kementerian Pertahanan dan juga mengulangkan penafiannya dalam buku autobiografinya yang terbit baru-baru ini.
Layanan istimewa pada isteri PM
Tidak hairanlah, kononnya, satu kajian di sebuah universiti menunjukkan tanggapan terhadap Rosmah jauh lebih buruk di kalangan ahli Umno berbanding orang ramai yang sedia negatif sikapnya.
Namun, mungkin keluarga Najib tidak menyedari betapa ganjil imej isterinya di mata umum.
Apakah pernah ada sebuah buku isteri seorang perdana menteri yang baru memerintah selama empat tahun mendapat layanan seistimewa ini?
Namun, bukan hanya Najib bergelut dengan kontroversi. Calon perdana menteri Anwar Ibrahim juga tidak pernah kering daripada kontroversi.
Selain kes mahkamah sejak 1998 dan gosip-gosip seksual terkini, Anwar juga berdepan krisis kepercayaan di kalangan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan sendiri, khususnya PAS.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang kelihatan tidak bercita-cita memimpin negara juga tidak selesa dengan Anwar.
Bagi PAS, lebih baik Tengku Razaleigh Hamzah -- rakan kongsi lama dalam projek Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 -- dipilih menerajui negara daripada Anwar.
Ahli parlimen Gua Musang akan berpindah kiblat politik sekiranya PAS mengundangnya berbuat demikian. Sejauh mana tokoh Umno Kelantan itu bersetuju dengan 'grand design' tersebut tidaklah dapat dipastikan.
Kontroversi reformasi vs kontroversi transformasi
Begitulah, khabarnya, keraguan kumpulan pemimpin atasan PAS terhadap Anwar.
Bagaimanapun selepas beberapa siri rundingan antara PAS dengan PKR yang menawarkan Ku Li dan siri rundingan balas yang dibuat PKR terhadap PAS, isu tersebut yang bermula sekitar Februari kini sudah reda.
Satu-satunya calon perdana menteri Pakatan, setakat hari ini (hari lain mungkin berubah lagi), hanyalah Anwar.
Jadi, apabila nama Hadi disebut oleh Najib, beliau sendiri tahu bahawa tokoh utama PAS itu bukanlah pencabar dekatnya.
Bukan sahaja Hadi kekok berdepan dengan Umno, malah berdepan dengan PKR atau DAP. Hadi hanyalah seorang tuan guru yang selesa dengan kehebatannya itu.
Malah disebut-sebut juga ada presiden "de facto" dalam PAS yang menggerakkan Hadi; tidak ubah menteri besar "de facto" semasa parti itu menguasai Terengganu.
Maka, perdana menteri tidak menjadikan Hadi sebagai sasaran serangannya di Bukit Jalil. Sebaliknya Anwar diburuk-burukkan oleh Najib.
Tetapi rakyat tentunya sedar -- sama ada perdana menteri atau calon perdana menteri -- kedua-duanya bergelumang dengan kontroversi yang besar dan kedua-duanya juga berdepan dengan sabotaj dalaman yang boleh merosakkan peluang masing-masing.
Di hari mengundi nanti, kita layak memberikan kata dua kepada Najib dan Anwar.
Dan sekali gus terpaksa menjawab persoalan ini: Kontroversi siapakah yang mahu kita sokong -- kontroversi reformasi atau kontroversi transformasi?
No comments:
Post a Comment