Masdar Wahid
PETALING JAYA 19 JUN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yakin, penubuhan jawatankuasa mengurangkan defisit negara yang diumum
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan gagal berikutan banyak
langkah utama yang diputuskan penuh ‘kerahsiaan’.
“Saya mengambil pendirian berhati-hati terhadap pengumuman Najib
dalam usaha membentuk sebuah jawatankuasa yang akan memberi tumpuan
kepada usaha mengurangkan defisit belanjawan negara kepada tiga peratus
pada 2015.
“Ini
kerana soal kerangka ekonomi tidak selesai tanpa kenyataan, peraturan
dan langkah kebijakan lebih tepat bagi menjamin kelangsungan dan
kemampanan pertumbuhan ekonomi untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat
tidak disentuh.
“(Kenyataan itu) dipersulitkan kerana beberapa langkah utama yang
diputuskan Najib masih dalam peringkat penuh kerahsiaan,” kata Anwar
pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Tambahnya, polisi ekonomi negara oleh kerajaan BN itu tidak wajar melibatkan rakyat.
“Kerajaan BN tidak perlu mengheret rakyat untuk menampung ketidakcekapan ekonomi yang diurus mereka,” kata Anwar.
Najib mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal semalam
kononnya untuk pengurusan hutang negara yang lebih baik. Ia
dipengerusikan beliau sendiri yang juga Menteri Kewangan.
Jawatankuasa itu akan turut disertai barisan Menteri Kabinet serta ketua-ketua jabatan di setiap Kementerian.
Dalam isu berkaitan, Anwar berkata, Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) tidak boleh dilaksana selagi pendapatan rakyat terutama golongan
berpendapatan rendah tidak meningkat.
“Pakatan Rakyat mengulangi pendirian bahawa GST hanya munasabah jika kedudukan pendapatan rakyat meningkat.
“(Walaupun) ia harus dilaksanakan secara berperingkat, tidak boleh
dilakukan bila mana kita menyaksikan pertumbuhan pendapatan golongan
berpendapatan rendah masih ditahap 2.6 peratus (seperti) dicapai antara
tahun 2000 hingga 2010,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar bimbang terhadap Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) yang dirahsiakan kepada umum dan menerima desakan
bertubi-tubi rakyat, Pakatan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO).
“Dasar Kabinet Najib dalam soal TPPA yang akan menyentuh kerangka,
kedudukan dan kebijakan ekonomi tidak diketahui rakyat terbanyak
termasuk pakar ekonomi, parti politik dan NGO berkaitan,” katanya.
Turut hadir sidang media, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
No comments:
Post a Comment