Friday, May 8, 2015

TPM Muhyiddin sokong kenyataan Pemuda Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda Umno yang mahukan Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi penjelasan berhubung pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.
  
Timbalan perdana menteri berkata walaupun transaksi jual beli itu sah dan berdasarkan kesediaan pembeli-kesediaan penjual, para penyimpan Tabung Haji melihatnya seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban 1MDB.
  
Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata demikian kepada media Malaysia di Milan pada Jumaat.
  
Beliau dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari ke sini sejak semalam.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno menzahirkan kebimbangan berhubung pembelian tanah itu daripada 1MDB yang bernilai RM188.5 juta.
  
Pemuda Umno meminta supaya penjelasan dibuat bagaimana transaksi pembelian tanah itu dilakukan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pengajaran utama BN daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan PRK Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini adalah rakyat mahukan jawapan konkrit dan tindakan segera kerajaan terhadap isu-isu berbangkit.
  
Menurutnya, rakyat mahu kerajaan tidak memandang remeh terhadap isu-isu semasa.
  
"Kita kena lihat pendekatan baru dalam tangani isu-isu rakyat," katanya kepada media Malaysia apabila ditanya mengenai pengajaran utama yang boleh dipelajari BN daripada PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh.

PRK Rompin diadakan pada 5 Mei lepas yang menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Datuk Hasan Arifin manakala PRK Permatang Pauh semalam dimenangi Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin berkata pada pandangan rakyat, isu berkenaan mesti diuruskan secepat mungkin dan tidak membiarkannya berlarutan.

"Ini bermakna setiap isu berbangkit yang dihadapi rakyat yang dibawa ke muka kerajaan, mesti diurus dan ditangani secepat mungkin...sama ada jawapan ke,penambahbaikan ke," katanya.

Antara isu-isu semasa yang dibangkitkan pada kedua-dua PRK itu ialah mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB.
  
Muhyiddin berkata respons daripada rakyat menunjukkan mereka mahukan kerajaan memberikan maklum balas yang cepat dan sesuai dengan perkembangan maklumat masa nyata yang terdapat di media sosial.
  
"Pada pandangan rakyat, sikap 'defensive' (mempertahankan diri) tidak membantu dalam jangka masa panjang. Sikap 'offensive' (strategik) mestilah bersedia dengan jawapan untuk rakyat," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata di sudut pandangan rakyat, mereka mahukan jawapan dan kebenaran.
   
Ditanya mengenai analisis awal BN terhadap keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh, Muhyiddin berkata eksploitasi pembangkang terhadap isu berbangkit menjadi antara punca kekalahan BN.
  
Analisis awal itu juga menunjukkan rakyat tidak tertarik lagi dengan isu-isu pembangunan yang diutarakan semasa berkempen, sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada isu-isu semasa.
  
Kegagalan BN menjawab isu semasa, sebagai contoh mengenai 1MDB, telah dieksploitasikan oleh pembangkang, kata beliau. 
  
Muhyiddin berkata analisis menyeluruh mengenai keputusan PRK itu perlu dibuat bagi mengelak ia menjadi trend sehingga boleh menjejaskan keputusan pilihan raya umum kelak.

- Bernama

No comments:

Post a Comment