Abdul Aziz Mustafa
28 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak
terkejut apabila Tun Dr Mahathir Mohamad tidak malu menggunakan
‘jawapan fotostat’ untuk mempertikai Manifesto Rakyat.
"Dah tak ada hujah yang masuk akal nak guna untuk sanggah manifesto
kita, guna jawapan fotostat pun Dr Mahathir tak malu dah," katanya.
Mahfuz menyifatkan dakwaan Dr Mahathir bahawa manifesto Pakatan
Rakyat (PR) itu boleh menyebabkan kerajaan menjadi muflis sebagai
jawapan fotostat.
"Kita dah agak dari awal lagi mereka akan fotostat hujah kitar semula itu untuk menolak Manifesto Rakyat.
"Saya difahamkan, tak sampai sembilan jam selepas diumumkan
media-media Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan penuh histeria
meratib-ratib perkataan bankrap dan muflis," kata Ahli Parlimen Pokok
Sena itu.
Isnin lalu, PR melancarkan Manifesto Rakyat dengan tema 'Pakatan Harapan Rakyat' di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Dua hari selepas itu, PR mencabar BN untuk mengadakan debat
terbuka mengenai keupayaan manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang
diumumkan gabungan tersebut.
Setakat berita ini ditulis, tidak ada laporan yang menyatakan BN menyambut cabaran berdebat itu.
No comments:
Post a Comment