Tuesday, February 25, 2014

Forensik polis bawa itik, poster Teresa untuk siasatan



Unit forensik ibu pejabat polis daerah Brickfields membawa itik dan tiga keping poster Teresa Kok yang dimasukkan ke dalam plastik bagi tujuan siasatan.

Dalam pastik itu mengandungi beras dan jarum yang dicelup cat merah.

Pegawai forensik memulakan siasatan di Malaysiakini kira-kira jam 1:30 petang ini.

Sebelum itu, anggota polis unit siasatan mendapatkan maklumat bahan bukti berhubung insiden di pejabat Malaysiakini pagi tadi.

Malaysiakini difahamkan bahawa itik tersebut dibawa ke makmal forensik untuk mengenalpasti cap jari yang terdapat pada tali rafia yang diikat pada kaki itiknya.

Selain itu, anggota forensik membawa enam plastik cat berwarna merah yang dilemparkan pada dinding bangunan serta papan tanda Malaysiakini untuk siasatan lanjut.

Dalam insiden yang dikesan awal pagi tadi, cat merah turut disimbah pada dinding dan papan tanda Malaysiakini.

Gambar ahli parlimen Seputeh Teresa Kok dilekatkan pada dinding bangunan pejabat berita portal itu.

Editor Grafik Malaysiakini Azlan Zamhari, staf pertama yang sampai ke pejabat pada jam 6.15 pagi, mendapati cat merah itu masih lagi basah.

Laporan polis dibuat di IPD Brickfields kira-kira jam 10:40 pagi tadi.

Serangan terhadap Malaysiakini dibuat selepas seminggu pejabat Teresa disimbah cat merah dan diletakkan bangkai ayam di tangga menuju ke pejabatnya.

No comments:

Post a Comment