Tuesday, September 23, 2014

Azmin angkat sumpah MB baharu Selangor

KLANG 23 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10.50 pagi ini.
Azmin Ali
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Azmin yang berbaju Melayu hitam serta bertanjak sambil memegang lembing Sang Buana turut melafazkan ikrar 10 aku janji.
Beliau kemudiannya menandatangani surat cara perlantikan jawatan Menteri Besar sambil disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa menerima surat perlantikan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, petang semalam.
KEADILAN dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong perlantikan Azmin dengan memberikan sokongan majoriti kepada beliau.
Kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu sebelum ini hanya menghantar satu nama calon iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ekoran itu, Wan Azizah dalam kenyataan menyatakan, beliau menerima dengan hati terbuka perlantikan Azmin sekaligus menarik diri dari pencalonan dan mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN agar Azmin diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor.
MPP yang bermesyuarat pada semalam juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Menurut Wan Azizah, keputusan tersebut demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin.
“Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi Raja Berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor,” katanya.
Munir dalam kenyataan hari ini berkata, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi Menteri Besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.
PAS pula menyatakan akan mengikut  calon pilihan dari Sultan Selangor.
Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.
Turut hadir, isteri Azmin, Shamsidar Taharin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan empat Exco PAS iaitu Dr Halimah Ali, Iskandar Samad, Dr Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi serta Speaker Selangor, Hannah Yeoh.

No comments:

Post a Comment