Oleh: Sekretariat Politik IKRAM Siswa Nasional
Sejarah lampau yang memakan masa ratusan tahun telah mewujudkan sebuah negara yang kita namakan hari ini sebagai Malaysia. Merangkumi 13 negeri di tanah besar Asia dan Borneo serta satu Wilayah Persekutuan, kita telah diadun sebegini rupa, rupa rakyat Malaysia yang berbilang kaum, adat, agama dan kepercayaan dalam keadaan semua kaum bebas mengamalkan adat dan kepercayaan masing-masing tanpa sesiapa perlu mengorbankan identiti asalnya.
Sehingga hari ini, “Tanah Melayu” telah pun mencapai usia 57 tahun manakala Persekutuan Malaysia pula akan mencapai umur 51. Telah lebih separuh abad Malaysia menjadi negara yang bebas daripada kuasa kolonial dengan perjanjian yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin-pemimpin masa lampau.
Menerima realiti perjanjian bersama membina Malaysia
Meneliti hal ini, sewajarnya kita mengakui realiti bahawa walaupun negara ini telah melalui satu sejarah yang panjang bersama latar sosio-masyarakatnya. Rakyat Malaysia harus sedar bahawa wujudnya Malaysia ini adalah melalui perjanjian dan mempunyai identitinya yang tersendiri. Maka, apabila kita berhadapan dengan konflik kepelbagaian kaum yang merupakan salah satu norma masyarakat multikultural, seharusnya kita kembali kepada dokumen-dokumen penting sedia ada yang pada asasnya, membentuk Malaysia – Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia – yang telah menggariskan panduan dan prinsip asas dalam konteks kita sebagai rakyat Malaysia dalam negara ini.
Apabila timbulnya kecelaruan dan keraguan tentang bagaimana sepatutnya identiti atau rupa Malaysia itu, sebagai rakyat yang telah menikmati kemerdekaan lebih separuh abad, seharusnya mampu untuk merujuk kembali tentang bagaimana rupa dan adat Malaysia sepertimana yang dirancang dan dipersetujui dahulu. Sebagaimana seorang Muslim itu seharusnya merujuk pada intipati Al-Quran dalam urusan hariannya, rakyat Malaysia juga perlu merujuk pada dokumen-dokumen asas pembentukkannya. Pengalaman separuh abad yang telah kita terajui bersama menjadi kayu pengukur sama ada kita mampu duduk berbincang secara jujur dan mencari penyelesaian hingga semua pihak dapat berlapang dada.
Perlu diakui bahawa budaya, adat dan kepercayaan setiap individu itu terjamin dan terpelihara. Maka, adalah tidak wajar untuk memaksakan budaya dan kepercayaan terhadap sesuatu kelompok masyarakat. Mengambil penghapusan sekolah vernacular sebagai contohnya, jalan penyelesaian harmoni haruslah dibincang dengan jujur agar dapat dirungkai pembentukan identiti Malaysia ini dalam kerangka hidup komunikasi dan persefahaman hidup bermasyarakat.
Sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci Al-Quran (49:13):
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah Kami jadikan kamu laki-laki dan wanita, dan Kami jadikan kamu berbagai suku dan puak agar kamu mengenali satu sama lain…”
Pendidikan yang membangun intelektualisme, bukan melahirkan Pak Turut
Retorik perpaduan akan kekal retorik sekiranya keperluan idea itu sendiri tidak dapat dipenuhi. Idea juga akan kekal sebagai idea sekiranya ia tidak direalisasikan melalui sistem pendidikan yang ada. Maka, mahu tidak mahu, kualiti pendidikan juga harus dititikberatkan bermula diperingkat akar umbi lagi.
Mempertimbangkan perkara ini, kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu dengan aktif dalam penggemblengan tenaga dan idea untuk menzahirkan pendidikan yang jujur kepada anak-anak. Jujur dalam erti kata mematlamatkan pembangunan menyeluruh dan holistik agar berfikiran kritis dan kreatif bagi pembangunan intelektualisme yang berkesan, bukan berorientasikan kerjaya semata-mata. Pendidikan ideal ini hasilnya dapat melahirkan lebih ramai negarawan, bukan sekadar menambah tenaga kerja yang pasif.
Pendidikan terhadap generasi seterusnya harus mengambil kira keperluan-keperluan sosial, memaknai roh peradaban dan kemanusiaan, serta meningkatkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Pendidikan bukannya semata-mata untuk memenuhi keperluan materialistik dan kemodenan semata-mata. Saban tahun, negara kita melahirkan berjuta-juta tenaga kerja dalam pelbagai bidang, malangnya tidak kurang juga gejala rasuah, pecah amanah, dan ketirisan berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Apakah ertinya kemajuan materialistik yang kita kecapi pada hari ini andai rakyat hidup dalam keruntuhan moral?
Hal ini perlu diambil serius kerana golongan inilah yang akan mencorakkan polisi dan gerak kerja membina Malaysia pada masa hadapan. Hari ini, kita melihat fenomena di mana persepsi masyarakat tidak kira ibu bapa ataupun guru-guru bahawa hanya pekerjaan tertentu seperti doktor, jurutera dan peguam sahaja pekerjaan yang baik dan “berkelas” buat anak-anak. Akhirnya, ruang lingkup pemikiran anak-anak ini hanya tertakluk pada perkembangan kerjaya berbanding tanggungjawab sosial dalam membangunkan kumpulan masyarakat yang lebih besar. Apatah lagi program-program kenegaraan yang dirancang lebih bersifat kepartian yang tidak mengajar dan menggalakkan mereka untuk kembali menyumbang kepada negara.
Soalan yang perlu kita tanyakan; adakah sistem pendidikan yang ada sekarang mampu melahirkan pemimpin yang mampu berdiri sama tinggi dengan pemimpin dari rantau yang lain? Atau adakah sekadar melahirkan generasi akan datang yang hanya mampu mencedok dengan tidak kritis idea zaman dahulu dalam mendepani cabaran masa depan yang pastinya rencam dan lebih kompleks nanti?
Literasi politik dan kepentingan masyarakat madani
Selain pendidikan yang holistik, tahap kecaknaan rakyat terhadap polisi-polisi pentadbiran negara juga menjadi faktor membawa Malaysia ke hadapan negara ini membangun sebagai sebuah negara yang demokratik. Keterlibatan rakyat atau partisipasi dalam ruang politik sedikit sebanyak akan meningkatkan upaya rakyat seterusnya menggerakkan mereka agar turut sama menyumbang ke arah masa depan negara yang lebih baik.
Namun realitinya di Malaysia, walaupun benar kesedaran politik didakwa meningkat berdasarkan peratusan pengundi berdaftar yang keluar mengundi, hal ini tidaklah semestinya melambangkan literasi politik rakyat. Rakyat mungkin makin sedar kepentingan memilih di peti undi dan mengenal nama-nama calon yang bertanding dan parti yang diwakilinya. Namun, bagaimanakah kita pasti bahawa rakyat dan ahli politik menanggapi nilai dan kualiti manifesto dan janji mereka selain usaha mereka untuk merealisasikannya selepas pilihan raya?
Kebelakangan ini kerap diperlihat betapa banyaknya krisis dalam parti politik yang tak berkesudahan. Ahli politik yang sepatutnya memberi khidmat terbaik untuk rakyat yang memilih mereka sepatutnya melakukan semakan dan imbangan (check and balance) yang berterusan bagi memastikan kualiti penyempurnaan janji dan manifesto dan perkhidmatan lebih diutamakan. Lebih malang lagi, dalam banyak krisis politik kepartian yang berlaku ini, rakyat langsung tiada kuasa dalam menentukan apa-apa untuk terjadi walaupun keadaan kian meruncing yang akhirnya membawa mudarat kepada rakyat.
Dahulunya kita percaya dengan wujudnya gabungan parti pembangkang yang kuat iaitu Pakatan Rakyat (PR) akan dapat melakukan proses semak-imbang ini bagi memastikan akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat memberi perkhidmatan yang terbaik. Namun tatkala beradu di kancah politik, ramai juga yang tewas dalam pertandingan yang sempit ini.
Maka perlulah rakyat sendiri terlibat dalam memainkan peranan ini kerana akhirnya rakyat juga yang akan menikmati atau menderita hasil kerja tangan ahli politik ini. Cadangan ini mampu terlaksana dengan partisipasi aktif rakyat dalam badan berkecuali tanpa untung terutamanya dalam badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat madani (sivil) sebagai kuasa ketiga (third force) dalam mempengaruhi polisi semasa negara.
Antara gabungan pertubuhan masyarakat madani yang aktif dan neutral dalam pendirian politik yang boleh dipuji ialah Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang bertekad merancang Malaysia yang lebih baik dengan cara meningkatkan upaya rakyat dalam hal-ehwal kenegaraan, hubungan antara kaum, aspek sosio-ekonomi, politik nasional serta pendidikan agar rakyat yang diupayakan ini dapat menyumbang kembali idea kreatif dan kritis dan sumbang saran yang bernas untuk mempengaruhi polisi negara bagi mewujudkan Malaysia untuk rakyat sejagat.
Akhir kata, Malaysia dan identiti bangsanya yang ideal akan hanya tinggal retorik tak menjejak ke bumi andai kita membiarkan diri kita tenggelam dalam arus krisis dan kontroversi tanpa memikirkan langkah jangka masa panjang. Namun, kita tidak seharusnya bersifat pesimistik dengan konflik yang melanda. Bahkan, konflik inilah yang akan membentuk dialektika ke arah Malaysia yang lebih membangun di masa hadapan.
Sudah lebih separuh abad berlalu buat Malaysia. Kita mahu separuh abad yang seterusnya membentuk kematangan Malaysia dengan berani berasaskan nilai; bukan sentimen, populariti dan publisiti semata-mata.
Moga Malaysia terus makmur dan sejahtera dan teguh dalam mendepani cabaran mendatang!
No comments:
Post a Comment