Tuesday, September 30, 2014

Haji, mereka bukan barua

“Hutan adalah nyawa dan darah”. Betul, dan aku memesan kalian lain; “Kaum tertindas bukan barua. Mereka adalah kelas manusia yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW suatu masa dahulu”.

Pada 23 September 2014, seorang pengarah filem Inggeris yang masih muda akan menayangkan sebuah dokumentari berjudulSunset Over Selungo (2014) berdasarkan kehidupan dan perjuangan kaum Penan, Sarawak . Tayangan perdana tersebut adalah bersempena World Conference on Indigenous Peoples di ibu pejabat United Nations, New York.

Hanya sepuluh hari lalu, pada 13 September 2014 aku melancarkan novelku yang ke-25 berjudul Bagaimana Anyss Naik Ke Langit. Novel tersebut juga berkisarkan masalah, penderitaan dan perjuangan kaum natif ini yang masih berusaha mendapat perhatian dunia supaya usaha mereka didokongi semua.

Filem Sunset Over Selungo dihasilkan setelah karyawan filem itu berkampung di lembah Selungo tersebut selama enam minggu. Beliau mengikuti kehidupan harian Dennis, Unyang dan Sia yang amat bergantung kepada hasil hutan, yang menurut Sia adalah “nyawa dan darah” mereka. Lembah Selungo direntas oleh sungai Selungo yang mengalir melalui wilayah terpencil di kawasan pedalaman tanah tinggi Sarawak. Sang pengarah mengeksploit pemandangan indah hutan tebal dengan cerun dan rabung yang curam untuk membangkitkan emosi audien. Filem merakam hidup Penan yang perlu berburu, memancing dan menyumpit demi mengalas perut. Malah hutan, adalah segala-galanya buat mereka.

Sebagai penduduk asli hutan ini, adalah lumrah mereka berasa terancam oleh kegiatan pembalakan yang mendapat restu kerajaan negeri. Dokumentari juga memahamkan khalayak mengapa kaum Penan membuat sekatan manusia untuk menghalang pembalak masuk menerokai hutan yang mereka kasihi.

Sunset Over Selungo menunjukkan usaha keluarga Sia yang sejak tahun 2009, berkempen dan melobi 18 buah kampung Penan untuk bersatu demi menjadikan satu impian menjadi kenyataan; iaitu suatu kawasan hutan yang dilindungi. Mereka menamakan kawasan tersebut ‘Penan Peace Park’, suatu kawasan hutan yang dilindungi dan tidak diceroboh oleh pembalak. Orang Penan, mahu supaya mereka dapat mengekalkan budaya yang ada untuk generasi akan datang. Dokumentari ini menunjukkan budaya mereka tersebut.
Novelet Bagaimana Anyss Naik Ke Langit(2014) terbitan DuBook Press pula mengisahkan seorang ahli akademik dan aktivis hak asasi manusia, Profesor Anyss yang memilih membantu sekumpulan wanita Penan yang berusaha mendapatkan pembelaan sewajarnya untuk nasib malang mereka.

Bagaimanapun, usaha beliau mengalami gangguan, intimidasi dan juga halangan pihak tertentu. Profesor Anyss tidak perlu menjadi ‘perempuan sedap’ di Syria, dan Iraq untuk anggota militan ISIS bagi menegakkan Islam. Beliau tidak perlu percaya kepada negara Islam. Beliau memilih untuk menegakkan Islam dengan cara yang sebenar. Islam menurut beliau adalah membela kaum murbawan dan tertindas seperti mana yang pernah dilakukan para anbiya’.

Profesor Anyss terpaksa turun ke hutan kerana pada pandangan beliau para ulama haji sudah menjadi barua. Di akhirnya Profesor Anyss menempa sesuatu yang amat diidam oleh semua manusia beriman iaitu kesyahidan.

Pendekatan Sunset Over Selungo dan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit adalah serupa, iaitu menggunakan fakta disulami naratif. Gaya ini akan membantu sasaran faham dengan subjek dan isu yang dibawa. Novelku ini ditampilkan dalam genre ‘a slice of life’ dengan teknik imbas kembali, ia menyuguhkan kepada pembaca penggalan-penggalan laporan, dan juga liputan berita mengenai Penan sejak dua tiga dekad yang lalu sambil menyusuri detik-detik akhir kehidupan Profesor Anyss ketika in exile di Beijing, China.

Antara petikan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit yang dapat memahamkan pembaca serba-sedikit usaha protagonis;

[Niaru Beti baru pulang dari sungai. Kain kembannya disingkap ke atas. Mereka meregang kedua-dua tangan, membuka pahanya luas. Mereka menyeretnya dari tebing ke atas. Dan seorang demi seorang menusuk, merodok dan menajam sehingga dia luka rabak.

Niaru Beti menjerit dan menjerit meminta supaya mereka berhenti. Niaru Beti menggelupur. Dia berteriak, sakit, sakit, tolonglah berhenti. Tidakkah kamu semua mempunyai ibu, berhenti, ingatlah ibu kamu. Mereka semua tertawa. Tawa itu menguasai seluruh belantara. Salah seorang menghenjut Niaru Beti terlalu kuat, dia melaung dan menangis. Henjutan itu terlalu rakus, terlalu kasar, dan tulang bahu Niaru Beti patah, tulang paha kanannya ditekan amat kuat. Enam orang memperlakukan Niaru Beti sesuka hati. Lelaki terakhir merasa jijik kerana sudah ada air mani dari lima lelaki sebelumnya bertakungan dalam kolam Niaru Beti. Dia menerbalikkan Niaru Beti, meragut rambutnya dari belakang, membuka kangkang luas-luas dan menghunjam duburnya puas-puas. Kemudian mereka menyumbat serbuk kayu baung ke dalam pantatnya supaya Niaru Beti tahu, bahawa hutan adalah miliknya selama-lama.

Mereka…” Profesor Anyss teresak-esak, menekup telinga erat; “Berhenti..berhenti Ratu…berhenti. Kakak tak dapat mendengar semua ini.”

Ratu Sago membeliakkan mata, merenung Profesor Anyss, “Mahukah redo dja-au memberitahu orang di Petra Jaya tentang semua ini. Biar semua orang di Kuching tahu?”

“Mereka tak akan peduli. Mereka punca semua ini.” Profesor Anyss tersedu.

“Jika orang di Petra Jaya tidak peduli, mungkin mereka di Putra Jaya akan ambil peduli.”]
Jika filem Sunset Over Selungo terilham oleh ‘Penan Peace Park’, novel Bagaimana Anyss Naik Ke Langit terilham oleh satu rayuan yang sangat mengharukan dari Baram, dua puluh lima tahun yang lalu. Pada 15 September 1987 (benar sehari sebelum Hari Malaysia!), kaum-kaum asli Sarawak mengadakan sebuah bengkel, lanjutan dari bengkel pertama mereka yang sebelumnya berlangsung pada 15 dan 16 Julai 1987. Mereka berkumpul untuk membincangkan masalah seraya menyediakan satu pengisytiharan yang disepakati antara kaum-kaum asli dari komuniti yang berlainan. Pada malam 15 September tahun tersebut, enam puluh orang peserta mewakili lima belas komuniti yang berlainan; terdiri daripada kaum-kaum asli Kayan, Kenyah, Kelabit, Iban, Berawan, dan Penan memutuskan satu deklarasi yang dinamakan “Pengisytiharan Bengkel Kedua Kaum Asli 15 September 1987”.

Mereka merayu kepada dunia supaya jerit, rintih, dan laung mereka didengari. Seperti mana kaum hamba di era Musa alaihissalam dan era baginda junjungan Rasulullah SAW merayu supaya didengari, kaum natif Penan juga mohon supaya suara mereka melantun keluar ke seluruh pelosok dunia. Jika anda telah mendengar, apakah dan bagaimanakah anda akan menyambutnya?

Ada orang bertanya kepadaku, mengapa harus aku menempuh novel-novel seperti Perempuan nan Bercinta, dan kini Bagaimana Anyss Naik Ke Langit? Mengapa aku tidak lagi menulis seperti novelTunggu Teduh Dulu, yang bertendensi untuk difilemkan, atau mengarang saga seperti Bedar Sukma Bisu supaya aku boleh meraih tempat pertama sayembara. Mengapa misalnya aku tidak lagi berkegiatan selamat seperti pengarang-pengarang ahli PENA. Mereka mahu aku menempuh laluan tanpa lembah Selungo, supaya aku dapat naik ke langit sana.

Aku telah memberi jawapannya dalam novel Bagaimana Anyss Naik Ke Langit. Dalam novel tersebut, watak Mustaqim bertanya kepada ibunya, Profesor Anyss;

[“Mengapa orang kita rasa menolong Palestina lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?” Mustaqim pernah bertanya.

“Ya, bersedekah dan berperhatian untuk Gaza akan ke syurga. Penan? Mereka orang natif, pagan, dan tidak penting sama sekali.

Mungkinkah Tuhan tidak akan bertanya apa yang tidak kita lakukan untuk menjuarai nasib mereka?” Profesor Anyss menyetujui keluh geram Mustaqim.]

Ulama haji kita sedang khayal membaruakan manusia lain yang menurut mereka jahil. Ulama haji kita tidak berminat membela hak-hak asasi manusia lainnya. Mereka, para ulama haji sedang menggeluti kitab, hadis, dan upah lumayan mengajar di masjid.

Mereka, para ulama haji sedang menggelumangi siasah Islamiyyah yang menurut mereka mulia sekali jika matlamat akhirnya menegakkan hudud. Mereka, para ulama haji sedang menghimpun kekayaan sepertinya ulama di era Abbasiyyah.
Aku menulis Bagaimana Anyss Naik Ke Langitkerana aku percaya Nabi Muhammad yang menjadi pedoman umat Islam datang untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda mengajar tauhid yang dapat membebaskan manusia.

Namun, masih ada manusia yang belum bebas. Sebahagian besar manusia masih terpasung dan diperhamba oleh segelintir kecil manusia yang berkuasa. Ross Harrison, mungkin seorang humanis muda, mengarah dan membikin filem dokumentari Sunset Over Selungo kerana dia juga percaya sebahagian besar manusia di dunia (bahkan Malaysia!) masih jahil tentang perhambaan di Lembah Selungo.

Seperti kataku di awal, kaum tertindas bukan barua. Mereka adalah kelas manusia yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW suatu masa dahulu. Di hari berhimpun masyhar kelak, mereka akan mengadu kepada Sang Pencipta, dan mereka akan menuntut syurga mereka semula. Syurga yang pernah dijanjikan.


Bagaimana Anyss Naik Ke Langit boleh didapati dan dibeli di kedai buku Kinokuniya, KLCC.

No comments:

Post a Comment