Tuesday, October 7, 2014

'Cukai 20 hartawan rahsia bawah Akta Cukai'


Jumlah cukai yang dibayar oleh hartawan-hartawan negara tidak boleh didedahkan kerana ia adalah rahsia di bawah Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

"Lembaga Hasil Dalam Negeri terikat kepada peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian individu di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan tidak boleh didedahkan amaun cukai individu sebenar yang dibayar oleh mereka.

"Selaras dengan Seksyen 138 Akta Percukaian 1967 menyatakan dengan izin, every classified person shall regard and deal with every clasified material as confidential.

"Jadi cukai pendapatan individu mereka yang terkaya itu kita tidak boleh dedahkan mengikut akta," kata Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan 2014) di Parlimen, petang ini.

Beliau memberi maklum balas kepada gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tengah hari tadi.

Anwar menggesa agar kerajaan mendedahkan kutipan cukai daripada 20 orang terkaya di Malaysia yang bertaraf bilionair.

MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin bangkit dan memohon Ahmad mendedahkan jumlah keseluruhan cukai 20 orang individu terkaya jika jumlah cukai persendirian mereka tidak boleh didedahkan.

Ahmad memberitahu Sim beliau tidak mempunyai statistik yang diminta itu dan perlu memeriksa semula jika ia dibenarkan untuk didedah.

"Pada saat dan ketika ini, angkanya tiada.

"Kemudian... kalau tidak melanggar akta ya," jawab Ahmad kepada Sim.

Bercakap lanjut, Ahmad menegaskan bahawa LHDN bertanggungjawab melaksanakan kutipan cukai "tanpa pilih bulu", dan secara "sama rata" tanpa mengira sama ada individu itu orang terkaya atau tidak.

Beliau turut menidakkan dakwaan Anwar pagi tadi yang mendakwa sesetengah hartawan menikmati kemudahan ansuran untuk membayar cukai sehingga 18 bulan lamanya.

Menurutnya, bayaran cukai secara ansuran boleh dibuat apabila ia melibatkan audit percukaian dan taksiran cukai dibuat oleh kerajaan.

"Tanggungan cukai boleh dibayar secara ansuran mengikut kemampuan kewangan sebenar mereka apabila melibatkan taksiran tambahan setelah aktiviti audit cukai dan tafsiran cukai dijalankan," kata Ahmad yang juga merupakan MP Pontian.

No comments:

Post a Comment