Ramai orang Muslim sayangkan Nabi Muhammad
SAW. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu
seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan
baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang dari beberapa sudut.
Kadang-kala
ia datang dari musuh-musuh, kadang-kala ia datang dari umat Islam itu
sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang
baginda.
Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi SAW.
Palsu dan cacat
Umat
yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang
palsu mengenai Nabi SAW lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang
dikaitkan dengan baginda.
Mereka inilah yang Nabi SAW sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir:
"Sesungguhnya
berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke
atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke
atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka".
Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka.
Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi SAW digambarkan bagaikan seorang ahli politik seperti mereka.
Sifat-sifat
indah baginda dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi
SAW seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara.
Sementara
yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan baginda seakan sibuk
untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang
masa.
Bagi yang berperwatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi SAW itu keras sepertinya.
Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Rasulullah SAW itu sentiasa tewas dan mengalah.
Adapun
yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi SAW yang seakan
mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh
kononnya.
Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari
dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau
batasan Islam.
Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut
dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi SAW seakan sepanjang masa
memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai.
Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida' ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi SAW itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu.
Padahal,
baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda
memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai
lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.
Hidup Nabi SAW bukan
sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup
mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin
politik, pemimpin perang dan segalanya.
Keindahan peribadi baginda
Dalam
catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang
peribadi Nabi SAW untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil
dari riwayat yang sahih.
Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim,
Rasulullah SAW itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya.
Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas
kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah
Allah.
Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa.
Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang.
Apabila
baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang
tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda
kasihi.
Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga
disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci
sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.
Baginda selalu
memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: "Sejak aku menjadi
muslim, tidak pernah Rasulullah SAw berjumpa denganku melainkan senyum
padaku." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata ‘Abdullah bin
al-Harith: "Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman
daripada Rasulullah SAW." (Riwayat al-Tirmizi, hadis sahih)
Dalam
hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi SAW itu apabila berjabat tangan
dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang
tersebut menariknya.
Percakapan baginda pula jelas, tidak
tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda
ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut:
"Mengapa si
dia itu melakukan atau berkata begitu", tetapi baginda menyebut:
"Mengapa ada pihak yang berkata sebegini." (Riwayat Abu Daud, sahih)
Kehalusan budi
Kata
Anas bin Malik: "Aku berkhidmat kepada Nabi SAW sepuluh tahun, tidak
pernah baginda berkata kepadaku ‘Ah! (mengherdik). Tidak pula berkata
kepada apa yang aku lakukan: 'Mengapa engkau buat begitu?'. Tidak kepada
apa yang aku tidak buat: "Mengapa engkau tidak buat?" (Riwayat
al-Tirmizi, sahih)
Rasulullah SAW seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak' apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:
"Jika
aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam
sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk
membayar hutang." (Riwayat al-Bukhari).
Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida' (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda.
Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.
Nabi
SAW itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang
Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang,
mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak
tentang masalah mereka.
Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat.
Baginda
bersabda kepada tuannya: "Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai
haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia
telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya."
(Riwayat Abu Daud, sahih).
Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.
Nabi SAW seorang yang tawaduk ( rendah diri), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka.
Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya.
Baginda
pernah bersabda: "Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun
nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku
terima." (Riwayat al-Bukhari)
Ini sehingga baginda pernah diracun
oleh wanita Yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga
membawa kesan ke akhir hayat.
Baginda juga memanja dan bermain
dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak
apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.
Banyak
lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang
insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak
perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China
ataupun India.
Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.
Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya.
Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-Muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.
No comments:
Post a Comment