Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan pertemuan peribadi
dengan jutawan George Soros - individu yang dilihat oleh penyokong setia
Umno sebagai musuh nombor satu - di New York dua tahun lalu.
Pertemuan tersebut - yang mula-mula didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa semasa berdebat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim - berlangsung di sebuah hotel mewah - Hotel Plaza di Manhattan.
Malaysiakini telah mengesahkan pertemuan Najib-Soros dengan satu
sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.
Pertemuan
perdana menteri dengan Soros, yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk
perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010.
Dipercayai sekurang-kurangnya seorang pemimpin tinggi Umno hadir di pertemuan tersebut.
Najib,
yang menjadi perdana menteri pada tahun 2009, menyampaikan ucapan
sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di
New York pada hari yang sama beliau bertemu dengan Soros.
Dalam ucapan di PBB itu, Najib mencetuskan 'gerakan global moderat' untuk menebus semula agenda keamanan dan pragmatisme.
Di
luar perhimpunan agung itu, Najib juga bertemu dengan Setiausaha Agung
PBB, Ban Ki-moon dan mengadakan perbincangan dengan beberapa ketua
kerajaan.
Antara mereka yang mengiringi Najib dalam lawatan itu
ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Anifah
Aman dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Jamaluddin Jarjis.
Soros,
seorang peniaga mata wang kontroversi dan seorang dermawan, telah
dipersalahkan sebagai punca konflik kewangan yang melanda Malaysia
semasa krisis ekonomi tahun 1997-98, dan baru-baru ini, didakwa pula
mahu menjatuhkan BN dengan membiayai NGO antikerajaan.
Sejak beberapa minggu lalu, sekumpulan penulis blog prokerajaan dan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia,
mengecam NGO, termasuk badan hak asasi manusia, Suaram dan gerakan
reformasi pilihan raya, BERSIH, kerana menerima pembiayaan daripada Open
Society Foundation Soros.
Malaysiakini juga, turut menjadi sasaran ekoran hubungannya dengan MDLF,
sebuah dana pelaburan yang memiliki 29 peratus kepentingan dalam portal
berita bebas itu. MDLF mengumpulkan modal dari bank, kerajaan dan
agensi-agensi pembiayaan, yang termasuk yayasan Soros.
Pada hari Ahad, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama menuduh Malaysiakini
bersekongkol dengan Soros untuk perubahan rejim bagi "meletakkan
calonnya sebagai perdana menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan
Malaysia".
"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang
penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan
wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara
yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr
Mahathir dalam New Straits Times.
Dengan menyambungkan
dua titik berbeza, beliau membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi
untuk pembangkang adalah undi untuk Soros."
Ironinya, ketika Dr
Mahathir menjadi perdana menteri, Bank Negara Malaysia menceburkan diri
dalam spekulasi mata wang yang berisiko tinggi - dan ia kerugian
sejumlah RM5.7 bilion kepada orang-orang seperti Soros pada awal tahun
1990-an.
Bulan lepas, Malaysiakini mendedahkan
bahawa Dr Mahathir, meskipun bermusuh dengan Soros, telah menulis
kepada jutawan itu memintanya menyokong projek Forum Keamanan Global
untuk mengharamkan peperangan sebagai satu cara bagi menyelesaikan
konflik manusia.
Menurut majalah mingguan antarabangsa Economist,
menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dilihat teramat penting, Umno
dan media yang menyokong Umno menyerang mana-mana organisasi yang
dianggap bersimpati kepada pembangkang.
"Semua cerita lama yang
tidak berasas mengenai pelbagai kumpulan yang dikatakan dibayar oleh
Zionis, Amerika atau George Soros, seorang pembiaya asing, telah
dikeluarkan semula," katanya dalam satu artikel yang disiarkan awal
minggu ini.
"Ia tidak jelas sama ada fitnah sumpama itu masih
mendapat tempat di hati pengundi di Malaysia, terutamanya di kalangan
umat Islam. Semua ini pastinya merupakan tanda-tanda terdesak."
No comments:
Post a Comment