Dalam tulisan kali ini saya ingin membawa
ayat-ayat songsang. Saya ingin membuka surah yang telah di hafal tetapi
tidak difahami. Saya ingin membuka bait-bait yang sering dilaungkan
tetapi tidak dihayati. Saya ingin melagukan syair kasar yang tidak akan
menenteramkan jiwa. Surah dan bait-bait ini telah menjadi beban sejarah
jika tidak saya dendangkan kepada orang ramai.
Surah dan ayat
songsang ini ialah tentang PRU13 yang akan dijalankan tidak lama lagi.
Bila PRU13 ini akan diadakan saya tidak tahu. Saya bukan nujum. Malah
tarikh dan saat PRU13 ini untuk saya tidak begitu penting. Untuk saya
tarikh PRU13 bukan surah yang akan membawa kita semua ke jambatan yang
lurus.
Apa yang sahih, tarikh PRU13 ini hanya akan dijalankan
apabila semua persediaan untuk memastikan United Malays National
Organisation kembali berkuasa telah tersedia. Semua perancangan telah
diatur. Logistik telah tersusun rapi. Semua yang wajib dilakukan untuk
mengembalikan kuasa kepada BN telah dilakukan.
Pada hemat saya
keputusan PRU13 akan menafikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Pada
pemerhatian saya kerajaan Pakatan di Selangor akan jatuh ke tangan
United Malays National Organisation. Jelas apa yang saya tulis ini
adalah ayat-ayat songsang. Ayat-ayat ‘potong stim' yang ramai penyokong
Pakatan tidak akan bersetuju. Bunyi surah ini amat kasar tetapi inilah
hakikat realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.
Ayat-ayat
songsang dalam tulisan saya ini bukan saya pungut dari mimpi. Ayat ini
tidak saya terima melalui saka. Ayat-ayat ini berasaskan realpolitik
yang sedang berlaku di hadapan mata saya. Ayat-ayat ini datang dari
laporan demi laporan yang saya terima sebagai ahli jawatankuasa Pemandu
BERSIH 2.0.
Minggu lalu Dr Ong Kian Meng dari Malaysian
Electoral Roll Analysis Project (MERAP) bersama 2.0 telah membentangkan
laporan terakhir ke Parlimen. MERAP ialah satu badan ilmiah yang membuat
kajian tentang daftar pengundi. Laporan dari MERAP ini cukup
memeranjatkan. Justeru, dari laporan MERAP inilah munculnya sebahagian
dari ayat-ayat songsang yang saya tuliskan di sini.
MERAP telah
bertemu dengan 59,000 nama pengundi - saya ulangi lima puluh sembilan
ribu - pengundi luar negara. Jumlah ini dikenal pasti kerana dalam
senarai daftar nama-nama 59,000 ini menggunakan kod 71. Kod 71 ini
bermakna bakal pengundi ini lahir di luar negara. Ada dari Afrika, dari
Eropah, Vietnam, India dan dan dan.... Awas, Mat Indon dan Mat Bangla
bukan di sini nama mereka tercatit.
Nama 59,000 pengundi dengan
Kod 71 ini adalah warga negara Malaysia yang lahir di luar negara. Maka
Hairan bin Takjublah kita semua. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya
ramai orang Malaysia lahir di Uganda, Kenya, Sweden , Jerman, Qatar dan
di Itali.
Kita juga telah membaca dan mendengar surah bagaimana
nama-nama pengundi yang amat pelik lagi memelikkan telah ditemui dalam
senarai pengundi. Bukit bin Batu. Harimau binti Buaya. Kijang anak
lelaki Ular. Jintan binti Bawang. Dubai bin Abu Dhabi. Ini hanyalah
contoh nama-nama pelik di mana si ayah atau si ibu ketika mendaftar
telah hilang akal lalu menamakan bayi yang baru lahir ini Sungai binti
Laut.
Untuk pembaca yang tersenyum membaca nama Ular bin Lipan
pasti akan terbahak bahak ketawa apabila diberitahu ada juga pengundi
yang namanya "bin". Dan menjadi lawak seram kerana nama ini bukan
ditulis dengan ejaan Koma bin Noktah tetapi dengan simbol ‘.
Lebih memeranjatkan apabila MERAP membuktikan bagaimana satu alamat di
Jalan Papan Klang telah didiami oleh 46 orang pengundi. Pelik bin hairan
- bagaimana rumah teres ini dapat menampung 46 orang penghuni?
Kalau pun setiap bilik ini ada katil bertingkat-tingkat saya masih
musykil dan ingin bertanya ada berapa buah bilik mandi dan tandas dalam
rumah teres ini? Justeru saya membuat kesimpulan 46 orang penghuni rumah
ini akan tidur tegak berdiri untuk memastikan ada ruang untuk kesemua
46 orang. Untuk berak mereka ke belukar.
Awas! Sikap silaturahim
penghuni amat membanggakan. Dalam rumah ini ada Muthusamy, Abdullah,
Lim Ah Seng, Gobala, ada Jebeng Bibik, Fatimah dan Maureen Pillay.
Inilah contoh rumah Satu Malaysia.
Kes klasik sebuah rumah dengan
berpuluh-puluh penghuni ini terjadi juga di Lembah Pantai. Sebuah rumah
telah ditemui diduduki lebih dari 20 warga. Alhamdulillah, satu lagi
contoh Malaysia yang aman permai. Tetapi apabila ditemui lot alamat
rumah ini - yang tersergam ialah Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Baru. Ada
20 pengundi tinggal dalam bilik tol.
Pembaca sering mendengar
‘tuduhan' tentang Mat Bangla, Mat Filipina dan Mat Indon telah diberi
kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Apakah ini ayat-ayat
setan? Atau ini surah yang saharah? Mengikut MERAP telah ditemui 170,000
nama pengundi yang berdaftar. Kesemua 170,000 ini adalah pengundi yang
dilahirkan di luar negara. Di sini kita temui Bibik, Embak, Jebeng dan
Suhail. Mereka semuanya mendaftar dengan kod 71 yang mensahehkan mereka
tidak dilahirkan di Malaysia.
Untuk memedaskan lagi tempoyak
masam ini - banyak nama-nama ini tidak ada bin atau binti. Hanya ada
satu nama sahaja. Tidak diketahui jantan betinanya. Malah banyak
nama-nama ini tidak memiliki alamat rumah yang penuh. Contoh yang
diberikan oleh MERAP ialah kajian terperinci di Kampung Melayu Majidee
Johor Bahru. Dalam kompang ini ramai Jebeng, Bibik dan Embak yang
mendaftar tetapi tanpa alamat rumah dan nama jalan. Yang ditulis hanya
Suharto Kampong Majidee.
Surah- surah di atas ini hanyalah
sebahagian dari bukti yang telah ditemui oleh MERAP. Ini bukan lagi
dongeng atau kesah Haji Desas bin Lebai Desus. Ini sahih dengan fakta
dan kajian yang membuktikan ada perancangan untuk menipu dalam PRU13
ini.
Biar saya jelaskan sejelas mungkin. Untuk semua ahli dan
penyokong Pakatan mereka wajib sedar bahawa yang mereka lawan bukan
parti United Malays National Organisation. Mereka bukan berlawan dengan
MIC, MCA atau BN. Penyokong dan bakal pengundi Pakatan bukan melawan
polis, raja, Islam atau Perlembagaan Malaysia.
Apa yang dilawan oleh Pakatan ialah satu sistem pemilihan calon yang telah direka khusus untuk menipu. Melawan sistem tipu.
United Malays National Organisation dan konco-konconya telah tidak lagi
mendapat sokongan pengundi. Parti ketuanan Melayu ini telah
ditinggalkan oleh Melayu sendiri. Tetapi awas. Dalam PRU13 ini nanti
United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Hairan?
United
Malays National Organisation akan menang dalam PRU13 bukan kerana
sokongan rakyat tetapi kerana sistem pemilihan ini telah diatur untuk
menipu. Sistem pengundian ini telah disusun khas untuk memastikan
penipuan berjalan licin tanpa disedari oleh orang ramai.
Memang
betul semua pengundian akan dijalankan dengan mengikut prosedur. Memang
tepat semua pengundian dijalankan mengikut peraturan. Tetapi prosedur
dan peraturan ini semuanya disusun, semuanya dibuat untuk tujuan menipu.
Contohnya mesin ATM akan mengeluarkan duit sebanyak mana yang kita
minta - jika kita memiliki wang simpan dalam bank. Tetapi mesin ATM yang
dibuat oleh SPR ini akan memastikan jika kita meminta RM20 maka hanya
RM15 akan keluar dan RM25 akan ditolak dari jumlah simpanan kita. Ini
bukan satu yang mustahil. Ini penipuan. Sistem penipuanlah yang didakwa
sedang disusun oleh SPR.
SPR ini bukan hanya dikepali oleh
anggota ahli parti United Malays National Organisation. Sistem pengudian
tipu yang disusun SPR ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan
Pendaftran Negara, PDRM, Majlis Keselamatan Negara dan United Malays
National Organisation.
Contoh penipuan yang paling senang untuk
difahami ialah pengunaan dakwat kekal. Di negara-negara lain, biasanya
sesudah mengundi maka si pengundi akan mencelupkan jari ke dalam botol
dakwat.
Kunci ayat songsang ini ialah - SESUDAH. Tetapi dalam
sistem SPR Malaysia jari tidak dicelup ke dakwat kekal tapi hanya
dicalit halus. Untuk terus menipu calitan halus ini dibuat SEBELUM
memangkah.
Kenapa calit dakwat sebelum memangkah? Ini untuk
memastikan akan banyak undi rosak terpalit dakwat hitam. Undi rosak ini
pastilah undian untuk Pakatan. Penipuan guna dakwat hitam ini diteruskan
untuk apa yang dikenali sebagai pengundi awal. Sebelum ini tidak wujud
pengundi awal ini. Siapa pengundi awal ini?
Pengundi awal ialah
pekerja SPR di hari membuang undi. Dulu ada 100,000 - kini ditambah
untuk menjadi 240,000 - saya ulangi dua ratus empat puluh ribu pengundi.
Di katakan mereka akan mengundi awal tetapi tidak diketahui seawal
mana? Lima hari? Tujuh hari atau tiga hari? Lagi awal mengundi lagi baik
kerana tanda telah lama hilang. Mereka boleh mengundi beberapa kali
lagi.
Surah dan ayat-ayat syaitan di atas membuktikan bahawa apa
yang dilawan oleh Pakatan bukan parti politik. Yang dilawan ialah satu
sistem pemilihan yang dibentuk dan direka khas untuk menipu. Sistem
penipuan ini diwujudkan untuk memastikan United Malays National
Organisation akan kembali berkuasa. Itu saja ayat songsang? Tidak ada
lagi minggu depan.
No comments:
Post a Comment