PKR hari ini mendakwa tanah hutan simpan
Jeram Padang Selatan di Jempol, Negeri Sembilan seluas 48.73 hektar
diteroka secara haram untuk aktiviti pembalakan.Pengarah
strateginya Rafizi Ramli mendakwa, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976
dilanggar apabila kawasan itu diteroka untuk "manfaat syarikat yang ada
kaitan dengan pemimpin BN Negeri Sembilan" pada tahun 2004.
"Cukuplah kita katakan tanah itu dipindah milik kepada beberapa syarikat dan individu..dan kita akan dedahkan perkara ini.
"Sesetengah
(ahli politik) bijak apabila menggunakan orang tengah tetapi ada juga
yang mempunyai pemilikan terus dalam syarikat ini," kata Rafizi kepada
wartawan.
Bercakap pada sidang media hari ini, yang disifatkannya
sebagai pendedahan pertama daripada siri pendedahan akan datang, Rafizi
mendakwa tindakan itu bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah
menyebabkan banjir besar di kawasan Pekan Jelai pada tahun 2010.
Dakwanya, pembalakan di hutan simpan tersebut bermula pada tahun 2009.
Dakwanya,
penerokaan hutan simpan Jeram Padang Selatan yang digazetkan pada tahun
1918, melanggar Seksyen 18(1) akta itu yang menetapkan tiada tanah
boleh digunakan jika penggunaanya bertentangan dengan pelan tempatan.
Menurut
Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002-2015, hutan simpan Jeram Padang
Selatan ditandakan sebagai Zon Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS)
Tahap 1 yang tidak membenarkan sebarang bentuk pembangunan dilakukan.
Rancangan
Struktur Negeri Sembilan 2001 - 2020 pula menyatakan agar kawasan
ditanda sebagai KSAS "dipelihara supaya tidak membawa bencana alam
seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda
masyarakat".
Rafiziz mendakwa, kerjasama di antara ahli politik
dan ahli perniagaan yang korup untuk memindahkan hak milik tanah itu
adalah satu kitaran yang berterusan.
"Mereka kemudian dapat
manfaat dari proses membalak yang meluas, kemudian mengkomersilkan
kawasan itu untuk kelapa sawit dan selepas itu ia menjadi kawasan
perumahan.
"Ini meninggalkan kesan mendalam kerana kawasan ini adalah kawasan tadahan air," katanya.
Beliau
mendakwa, ramai tidak mengetahui bahawa kawasan hutan simpan di Negeri
Sembilan adalah yang paling banyak diteroka untuk pembalakan.
Dakwanya sebanyak 8,616 hektar atau 5.3 peratus hutan simpan diteroka di negeri itu dari tahun 2005 sehingga 2011.
"Semua ini berlaku di bawah kepimpinan MB (Datuk Seri) Mohamad Hassan," dakwanya.
Turut hadir pada sidang media tadi adalah setiausaha PKR Negeri Sembilan Sabaruddin Mohd Yassin dan ADUN Ampangan Rashid Latiff.
No comments:
Post a Comment