Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya bahawa pendakwaan yang dihadapi Rafizi Ramli hari ini bertujuan untuk menghalang pengarah strategi parti itu daripada terus mendedahkan dakwaan skandal penyelewengan BN.
"Saya yakin bahawa penangkapan Rafizi adalah berkaitan dengan isu skandal National Feedlot Cooporation (NFC) dan juga George Kent yang baharu sahaja diberikan kontrak jutaan ringgit.
"Motif penangkapan yang amat jelas berunsurkan politk semata-mata bertujuan untuk memastikan Rafizi untuk berdiam daripada terus mendedahkan pelbagai lagi dokumen-dokumen yang melibatkan pimpinan kerajaan Umno dan BN," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar mendakwa, Rafizi mendapat ramai "seteru yang berkuasa" sejak membuat pendedahan mengenai projek NFC tahun lalu.
Golongan ini, kata Anwar, akan menggunakan apa sahaja untuk mendiamkan Rafizi.
Selangor tubuh tabung khas
"Ini menggambarkan politik dendam yang ditunjangi perdana menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan menggunakan agensi-agensi kerajaan yang dikawal penuh," katanya yang mengecam keras tindakan ke atas Rafizi.
Kecaman sama turut disuarakan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali yang mendakwa Umno dan BN terdesak sehingga mengheret Rafizi ke mahkamah atas dakwaan mengikut Akta Institusi Perbankan dan Kewangan itu kerana mendedahkan skandal NFC.
"PKR percaya Umno dan BN sedang menggunakan pelbagai cara untuk menutup segala pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor turut menyatakan sokongan kepada Rafizi dengan menyatakan dana khas bagi membiaya kos guaman bekas ketua pegawai eksekutif di pejabat penasihat ekonomi negeri Selangor itu.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, langkah itu sebagai memenuhi janji kerajaan negeri untuk membanteras rasuah.
"Tindakan terhadap saudara Rafizi membuktikan bahawa komitmen kerajaan BN terhadap ketelusan dan pertanggungjawaban yang diuar-uarkan oleh perdana menteri ternyata hanya janji kosong," katanya.
Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail.
Rafizi didakwa menzahirkan baki akaun peribadi NFC, National Meet and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Mohd Salleh kepada perunding media Yusuf Abdullah dan Erle Martin Carvalhoe.
Beliau didakwa bawah Seksyen 97, Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia). Jika sabit kesalahan Rafizi (gambar kiri, di tengah-tengah) boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM3 juta.
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan kes pada 10 September.
Sementara itu, bekas kerani Public Bank Johari Osman turut didakwa bersama Rafizi bawah Seksyen 112(1)(c) Bafia.
Selepas pengumuman George Kent dapat projek
Ditemui ketika tiba di mahkamah, Rafizi membangkitkan masa pendakwaan itu dibuat kerana siasatan itu telah lama dibuat. Beliau mengaitkannya dengan pendedahan terbarunya berhubung isu sambungan LRT Ampang yang diumumkan diperoleh konsortium diketuai George Kent (Malaysia) Bhd.
"Kebetulan kontrak sambungan LRT Ampang kepada George Kent diumumkan semalam dan saya diangkut pagi ini?" soalnya.
Beliau pagi ini ditangkap polis atas alasan sama. Beliau berkata pihak polis datang ke rumahnya pada kira-kira jam 7 pagi ini.
"Saya percaya saya sedang dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk didakwa," katanya.
Rafizi disiasat bawah Bafia kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.
Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 Ogos ini bagi mendengar kes saman bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.
Kes saman RM100 juta itu dikemukakan oleh Shahrizat berhubung dakwaan penyelewengan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang telah didedahkan oleh kedua-dua pemimpin PKR itu.
Zuraida yang ditemui Harakahdaily memberitahu, beliau dan Rafizi sudah bertemu dan berbincang dengan barisan peguamnya bagaimana untuk mengendalikan kes saman tersebut pada 6 Ogos nanti.
"Saya dan Rafizi telah berbincang dengan barisan peguam dan banyak perkara perlu kita persiapkan bagi mengendalikan kes saman ini.
"Saya yakin kita boleh menang dalam kes ini, bagi saya tindakan saman dari Shahrizat itu adalah satu langkah yang silap," jelasnya.
Tambahnya lagi, secara umumnya seluruh rakyat telah mengetahui penyelewengan dan ketidak telusan yang berlaku dalam projek NFC.
"Mahkamah adalah langkah terbaik untuk kita membuat pendedahan dan saya pasti segala apa yang kita bongkarkan selama ini akan kita dedahkan.
"Shahrizat perlu menjawab setiap apa yang kita persoalankan selama ini," sambungnya lagi.
Sebelum itu pada 19 Januari yang lalu Shahrizat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau berhubung projek NFC.
Namun pada 9 Mac pula, Rafizi dan Zuraida telah memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung satu ucapan didakwa "berbau fitnah" yang diujarkan bekas menteri tersebut.
Jelas Rafizi sebelum ini, langkah itu diambil untuk memastikan kes melibatkan syarikat National Feedlot Corporation yang diusahakan keluarga menteri itu terus dibawa ke mahkamah.
Saman balas itu diambil kerana khuatir pihak plantif mungkin mengambil keputusan melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.
PAS menyifatkan segala janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan tranformasi politik hanya cakap politik semata-mata.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar yang ditemui di Mahkamah Shah Alam berkata, segala janji Najib itu terbatal dengan hanya tindakan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli hari ini.
"Kes pendakwaan hari ini membuktikan segala janji kerajaan di bawah Najib dalam membawa perbaharuan selaras dengan demokrasi semuanya terbatal.
"Apa yang dijanjikan oleh beliau itu hanya sekadar cakap-cakap politik Umno-Barisan Nasional sahaja," jelasnya ketiaka ditemui di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Beliau yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi berkata, sempena bulan Ramadhan ini sepatutnya kerajaan menggalakkan rakyat meningkatkan ibadat serta meningkat amalan kebaikan.
Namun katanya, tindakan pendakwaan terhadap individu yang menegakkan kebaikkan telah mencemar kesucian bulan Ramadhan.
"Kesucian bulan Ramadhan akhirnya tercemar apabila tiba-tiba orang yang ingin membawa perubahan kebaikan dalam menonjolkan penyelewengan dan rasuah akhirnya didakwa.
"Pendedahan penyelewengan dilakukan kerana ia melibatkan ratusan juta wang rakyat dan wang negara namun kerajaan di bawah Najib tetap meneruskan pendakwaan," katanya.
Kamarudin turut menyatakan, ini bukti yang jelas bahawa semua rakyat mesti memahami bahawa kerajaan di bawah Najib seperti mahu melindungi mereka-mereka yang terlibat dalam rasuah serta penyelewengan.
"Kita melihat tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang dilakukan oleh Najib dalam mengambil tindakan serta menghukum mereka yang melakukan jenayah terutamanya rasuah walaupun bukti yang jelas telah didedahkan.
"Malah Najib masih lagi mahu melindungi mereka-mereka ini serta memberi peluang untuk mereka-mereka yang terlibat membersihkan nama," tambahnya.
Beliau yang ketika ditanya tentang peluang kemenangan dalam kes hari ini memberitahu bahawa pendakwaan hari ini memberi peluang untuk melakukan pendedahan yang lebih mendalam.
"Bagi kes ini telah memberi ruang kepada kita membuat lebih pendedahan dan kita berpeluang untuk menang.
"Selain itu juga peluang kepada kita menjelaskan lagi kepada rakyat bahawa tidak ada penyelesaian terhadap masalah hari ini jika berada di bawah Umno-Barisan Nasional kecuali melakukan perubahan melalui pilihanraya umum yang akan datang," tegasnya.
No comments:
Post a Comment