Thursday, August 23, 2012

Mesir minta pinjaman USD4.8b dari IMF

Jazeera terjemahan Mohamad Yahya,
KAHERAH: Kerajaan Mesir telah meminta pinjaman sebanyak USD4.8b untuk membantu meningkatkan ekonomi negara tersebut dalam sebuah mesyuarat dengan Christine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
(Hisham Qandil, Lagarde dan Morsi dalam pertemuan mereka)


Lagarde bertemu dengan Presiden Mohammed Morsi dan Perdana Menteri Hisham Qandil Rabu lalu untuk membincangkan berkaitan pinjaman tersebut dan meneliti program reformasi ekonomi Mesir dan pelan ransangan ekonomi Mesir.

Televisyen Mesir telah melaporkan permintaan pinjaman oleh Mesir, walaupun Lagarde belum lagi mengesahkannya.

"Kami tidak berbincang butir-butir mengenai amaun atau syarat," Lagarde memberitahu sidang akhbar bersama Qandil.

"Perdana Menteri mempunyai angka (pinjaman) tertentu, tetapi jumlah itu akan bergantung kepada rundingan antara pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa dan pegawai-pegawai Mesir.

"Saya sedar tentang strategi dan cita-cita mereka untuk masa depan ekonomi dan sosial di Mesir, dan saya memberi jaminan kepada mereka tentang komitmen yang berterusan daripada pihak kami untuk menyokong Mesir dan rakyatnya dalam tempoh peralihan yang bersejarah ini," ujar beliau.

Qandil berkata bahawa Mesir mempunyai kata putus tentang bagaimana wang pinjaman tersebut akan dibelanjakan.

Mesir telah membuat satu permintaan pinjaman bernilai USD3.2b awal tahun ini. Perjanjian pinjaman tersebut sepatutnya ditandatangani pada musim bunga, tetapi ia telah ditangguhkan kerana percanggahan pendapat antara parlimen yang kini telah dibubarkan dan bekas kerajaan, yang ditubuhkan oleh majlis tentera sebelum pilihan raya presiden.

'Cabaran yang besar'


"IMF masih meneruskan dialog berkaitan dasar ekonomi dengan pihak berkuasa Mesir sejak permulaan peralihan dan menyediakan banyak bantuan teknikal atas permintaan daripada pihak kerajaan," ujar Lagarde dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang akhbar.

Pada bulan Januari tahun 2011, Mesir menolak pinjaman dari Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia (World Bank) selepas Qatar dan Arab Saudi menghadiahkan Mesir dengan wang tunai yang banyak - 500m USD dari Qatar – untuk menyokong belanjawan Mesir.

Satu pasukan teknikal akan tiba di Kaherah awal September untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan program ekonomi Mesir dan membincangkan kemungkinan bentuk-bentuk sokongan kewangan daripada IMF.

"Mesir menghadapi cabaran yang besar, termasuk keperluan untuk memulakan semula pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan defisit belanjawan dan imbangan pembayaran. Untuk ekonomi Mesiri kembali berada di landasan yang betul dan meningkatkan taraf hidup untuk semua rakyat bukanlah satu tugas yang mudah," kata Lagarde.

Puluhan penunjuk perasaan berhaluan kiri berkumpul berhampiran ibu pejabat kabinet di tengah bandar Kaherah untuk memprotes lawatan Lagarde dan mengutuk IMF yang mereka sifatkan "meletakkan syarat-syarat yang hanya sesuai dengan ahli perniagaan".

Mereka turut menyalahkan IMF dan Bank Dunia untuk program penswastaan yang dilaksanakan oleh rejim Mubarak.

No comments:

Post a Comment