Friday, July 18, 2014

Perairan negara terus diceroboh, Rafizi saran Najib letak jawatan

rafizi_pkrHQ_Mosti










Lyn Nasir
KUALA LUMPUR 15 Julai: Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli memberi tekanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan jawatan susulan isu perairan negara yang terus diceroboh.
Katanya, kegagalan pentadbiran Najib memastikan keselamatan di Sabah sehingga mengorbankan nyawa anggota pasukan keselamatan mewajarkan beliau berbuat demikian.
Malah katanya, Najib hingga kini masih gagal menyelesaikan kehilangan pesawat MAS, MH370 meskipun sudah hampir lima bulan insiden itu berlalu.
“Pencerobohan Lahad Datu pada 2013  anggota keselamatan ditembak dan terbunuh. Terbaru anggota polis mati dan seorang lagi dipercayai diculik (di Semporna). (Kehilangan) MH370 tidak dijumpai sehingga kini,”
“Dengan semua kegagalan itu, kalau Najib seorang yang bertanggungjawab, beliau perlu letak jawatan dan undurkan diri daripada dunia politik serta-merta,” katanya ketika dihubungi.
Rafizi berkata demikian susulan serangan hendap terbaru ke atas pasukan keselamatan oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna Sabtu lalu.
Dalam kejadian 11.10 malam itu anggota pasukan polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban manakala rakan setugasnya Konstabel Zakia Aleip, 26, diculik.
Kejadian itu bukan pertama kali selepas pengganas Sulu melancarkan serangan di Lahad Datu pada Mac 2013, mengakibatkan lapan anggota pasukan keselamatan terkorban.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata beliau tidak nampak keseriusan kerajaan dalam mengambil langkah progresif untuk membendung isu keselamatan di perairan Sabah.
Katanya, sekiranya dahulu isu kredibiliti seperti rasuah dan pembaziran wang rakyat menjadi isu utama kegagalan Najib, namun kini ia turut melibatkan faktor keselamatan.
“Kalau dulu melibatkan kerugian dan wang rakyat yang dibazirkan, tapi kali ni melibatkan nyawa orang pula. Sebab itu saya kata Najib perlu undur diri dan letak jawatan sebagai perdana menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment