Friday, July 18, 2014

UMS sahkan pensyarahnya antara penumpang MH17


Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah mengesahkan seorang penumpang yang terlibat dalam nahas kapal terbang MH17 merupakan kakitangan akademik institusi pengajian tersebut.

Kakitangan tersebut ialah Ng Shi Ing, 33, yang merupakan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan dalam jurusan Teaching English as a Second Language (TESL) dan telah memulakan tugas di UMS sejak September 2011.

Mendiang baru sahaja selesai membuat pembentangan kertas kerja pada Persidangan Antwerp CALL 2014, the XVIth International CALL Research Conference di University of Antwerp, Belgium dan dalam perjalanan kembali ke Malaysia, kata Harun dalam suatu kenyataan rasmi yang dikeluarkan melalui bahagian media hari ini.

Katanya lagi, Ng yang sepatutnya kembali bertugas pada Isnin depan, turut ditemani anaknya yang berusia setahun serta adik perempuannya yang dipercayai turut terlibat dalam nahas tersebut.

Ng berasal dari Muar, Johor dan merupakan anak kedua daripada bilangan enam adik beradik kepada pasangan Ng Pae Soon, 67 dan Tan Ah Chin, 62.

Manakala suaminya pula, Lt Komander Lee Vee Weng, 35, merupakan seorang pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Teluk Sepanggar.

Harun menyifatkan beliau sebagai seorang yang berperwatakan ceria dan peramah. Manakala rakan-rakan beliau pula menyifatkan dia sebagi seorang pensyarah yang rajin dan amat berdedikasi terhadap tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Mendiang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Teaching English as a Second Language), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berkelulusan Sarjana Pendidikan  (Teaching English to Speakers of Other Languages) dari Edinburgh University, Scotland.

Sepanjang berkhidmat di UMS, beliau aktif menghadiri seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai pembentang kertas kerja .

Beliau pernah membentangkan kertas kerja di Providence University, Taichung, Taiwan dan Beijing Foreign Studies University, China.

Pesawat MAS MH17 yang dinaikainya dipercayai ditembak jatuh oleh pejuang pemisah di ruang udara Ukraine menggunakan peluru berpandu.

Pesawat Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas di Ukraine dekat sempadan Rusia.

Semua penumpang dan anak kapal dipercayai terbunuh dalam tragedi itu.

No comments:

Post a Comment