Tuesday, July 22, 2014

Sidang tergempar parlimen wajar sertakan isu Palestin

0404hampirPETALING JAYA: Persidangan Parlimen tergempar berhubung tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Dewan Rakyat esok, wajar menyertakan sekali perbahasan mengenai serangan berterusan rejim zionis Israel ke atas Gaza, yang mengakibatkan angka kematian semakin meningkat,kata seorang ahli akademik.
Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata persidangan khas mengenai kedua-dua isu berkenaan sangat penting sebagai tanda Parlimen Malaysia mengutuk kekejaman dan keganasan ke atas masyarakat awam sama ada di darat atau di udara.
“Jadikan persidangan Parlimen itu sebagai satu persidangan khas kemanusiaan yang merangkumi dua isu utama dunia kini.
“Tindakan mengheret masyarakat awam ke kancah pembunuhan kejam seperti MH17 dan kezaliman yang berlaku di Gaza adalah petanda betapa keganasan mesti dibendung segera dan kezaliman yang membawa kemusnahan dan pembunuhan harus dihentikan,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khas mengenai nahas MH17 pada Jumaat lepas, mengumumkan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas MH17 dan bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap nahas tragis itu.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur jatuh terhempas, selepas dipercayai ditembak dengan peluru berpandu di Donetsk, timur Ukraine, pada Khamis lepas.
Ini merupakan kali pertama sidang Parlimen tergempar dipanggil untuk membincangkan isu kemanusiaan membabitkan Malaysia dan kali kedua selepas usul mengecam serangan rejim zionis Israel di Gaza, diadakan pada 12 Jan 2009.
Mengulas isu Palestin, Md Shukri berkata Malaysia dalam usulnya di Dewan Rakyat nanti wajar membidas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas kelemahannya mengambil sebarang tindakan ke atas Israel.
Beliau turut mencadangkan agar Malaysia memainkan peranan memujuk negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meninggalkan PBB selama sebulan sebagai langkah memboikot pertubuhan itu dan kuasa besar dunia yang tidak membantu Palestin.
Katanya Malaysia harus segera mendesak PBB memberikan status keanggotaan penuh kepada Palestin sebagai anggota PBB termasuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
Md Shukri berkata misi kemanusiaan dan bantuan yang disalurkan kepada Palestin pada masa ini bersifat jangka pendek namun dengan pengiktirafan Palestin sebagai negara baharu dan menjadi anggota PBB, bantuan pertahanan, ubat-ubatan dan makanan serta latihan ketenteraan akan lebih mudah disalurkan.
Menurut laporan media antarabangsa sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 6 Julai lepas, angka kematian rakyat Palestin mencecah lebih 500 orang dan lebih 1,600 rumah musnah, selain hospital dan masjid turut menjadi sasaran serangan. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment