Seramai kira-kira 800 pelajar menyertai
perarakan di ibu kota Kuala Lumpur hari ini bagi menuntut pilihan raya
kampus yang bersih dan berintegriti.
Kumpulan
itu mula berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan mula berarak pada
kira-kira jam 2.30 petang menuju ke kawasan pusat membeli belah Sogo di
Jalan Tuanku Abdul Rahman, melalui Jalan Raja Laut.
Sebelum berarak, kumpulan pelajar berkenaan menyanyikan lagu Negaraku.
Mereka
turut membawa bendera Jalur Gemilang dan kain rentang antaranya
bertulis "sistem pengundian yang telus", "peruntukan dana calon" dan
"penetapan tarikh PRK".
Kumpulan berkenaan turut melaungkan "bangkit anak muda", "tolak penipuan" dan "hidup mahasiswa".
Turut kelihatan, maskot bagi Pro-Mahasiswa- 'Mat Gempak'.
Sekumpulan
anggota polis dilihat berkawal di sekitar kawasan Dataran Merdeka dan
Masjid Jamek dan mengawal kumpulan pelajar yang berarak.
Anggota keselamatan itu turut memberi amaran kepada para siswa berkenaan agar tidak menghalang lalu lintas.
Perarakan
ini antaranya disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung
(Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Aksi Mahasiswa Peduli
(AKSI).
Setibanya di kawasan pusat membeli-belah Sogo, kumpulan
siswa berkenaan duduk dan mendengar ucapan daripada pimpinan pelajar
yang hadir kira-kira 30 minit.
Kumpulan itu kemudiannya
meneruskan perarakan melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Dataran
Merdeka di mana kumpulan itu membawa 'Deklarasi Mahasiswa' beramai-ramai
dan menyanyi lagu Negaraku sebelum bersurai pada jam kira-kira 4.15
petang.
Pada sidang media selepas perarakan ini, Pengerusi
Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto berkata tindakan yang
diadakan hari ini adalah bersempena Hari Malaysia dan menuntut agar enam
tuntutan pihaknya dilaksana sebelum pilihan raya kampus diadakan.
"Kita
minta agar enam tuntutan ini dilaksanakan. Walaupun pilihan raya kampus
semakin hampir, kita tetap akan desak. Apa yang kita nak buat ini bukan
untuk masa sekarang tapi untuk masa akan datang," kata Edikoup.
Enam
tuntutan tersebut ialah penetapan tarikh pilihan raya kampus, mahasiswa
terlibat menguruskan pilihan raya kampus, pemantauan pilihan raya
kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian telus dan peruntukan dana
kepada calon.
Sementara
itu, ketika ditemui pemberita, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP
Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung
kesalahan yang dilakukan siswa berkenaan dalam perarakan hari ini.
"Kita
akan siasat. Ada dua kesalahan. Pertama tidak beritahu polis untuk
mengadakan perhimpunan dan kedua kerana mengadakan protes di jalanan.
Semua ini akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012," kata
Zainuddin.
No comments:
Post a Comment