Friday, September 28, 2012

Fikiran yang mengharukan Umno

KOLUM Ada yang bertanya mengapa saya sering mengkritik aliran yang saya sifatkan literal yang dipegang oleh beberapa orang agamawan muda dalam Umno?

Saya kata bahawa saya tidak kisah untuk sesiapa menjadi ulama tua ataupun muda kepada mana-mana parti selagi berpegang kepada prinsip agama ini.

Umno dan PAS, semuanya sahabat saya. Prinsip agama itu lurus, fatwa agama tidak boleh berpihak. Hal ini terpakai untuk bukan sahaja untuk Umno, tetapi untuk PAS juga.

PAS pun dalam sejarahnya bukan tiada fatwa yang berbahaya termasuk yang boleh membawa kepada kafir mengkafir. Hari ini nampaknya keadaan itu sudah berkurangan.

Sebenarnya, aliran literal itu sendiri jika kena pada tempatnya tidak salah. Mazhab Zahiri (literalisme) walau dikritik hebat, ia diiktiraf dalam fikah Islam.

Tokoh besar Zahiri iaitu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan kitabnya al-Muhalla menjadi rujukan fekah yang penting.

Literalis dalam Umno harukan proses keadilan

Saya mengkritik golongan literalis dalam Umno kerana pemikiran yang dibawa itu boleh mengharukan proses keadilan yang wujud dalam negara ini keseluruhannya.

Hari ini mungkin sesetengah orang Umno seronok apabila terdapat beberapa orang agama yang boleh berhujah dengan nas-nas agama untuk membela Umno. Biasanya perkara ini dibuat oleh PAS.

Namun tanpa mereka sedar fatwa-fatwa aliran literalis tersebut jika diaplikasi dalam sistem politik negara ini, ia akan meruntuhkan keseimbangan, kemaslahatan dan keadilan politik yang menjadi tonggak kepada tujuan berpolitik.

Umpamanya, apabila mereka berfatwa haram mengkritik kepimpinan politik negara secara terbuka. Hanya yang dibenarkan berjumpa dan menasihati secara tertutup.

Pengharaman ini jika diterima bererti sistem Parlimen yang membolehkan ahli-ahlinya Parlimen membahas dan mengkritik dasar dan perlaksanaan kerajaan secara terbuka kepada pengetahuan awam adalah haram.

Perhimpunan Agung Umno yang sering kali kita mendengar para perwakilan meluahkan perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan juga haram.

Golongan literalis ini mungkin berfikir bahawa hukum yang mereka keluar boleh digunakan untuk menentang pihak pembangkang, tetapi mereka lupa implikasinya meruntuhkan sistem negara dan parti itu sendiri.

Bahkan dalam sejarah Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan mantan perdana menteri dan presiden Umno sendiri apabila tidak puas hati dengan kepimpinan penggantinya Tun Abdullah Badawi, melakukan kritikan terbuka.

Kebanyakan tokoh Umno yang ada, pernah melakukan hal yang sama apabila mereka berbeza ‘kem politik’. Bahkan Umno dan ulama muda itu sendiri mengkritik terbuka kepimpinan kerajaan Kelantan, Selangor dan Kedah.

Malang sekali jika golongan ini hanya terfikir fatwa berkenaan terkena pembangkang sahaja, padahal ia juga terkena kepada ‘tubuh sendiri’. Tentu mereka tidak akan kata “haram untuk kau, halal untuk aku”.

Ilmu matan hadis


Saya tidak mahu kata golongan ini berniat memperalatkan agama. Saya rasa sebab hal ini terjadi kerana cara fikir yang literal dan tidak menghayati ilmu mukhtalaf al-hadith yang merupakan ilmu penting dalam memahami matan sesuatu hadis.

Ilmu tersebut membantu untuk menyelaraskan hadis-hadis yang pada zahirnya nampak bercanggah dengan teks al-Quran dan as-Sunnah.

Umpamanya apabila mereka membaca hadis:

“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya.”
(Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah, sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani).

Mereka mengambil hadis ini tanpa mempedulikan hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.

Ini seperti hadis: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”
(Riwayat al-Tabarani, dinilai hasan).

Para sahabah bangun mengkritik al-Khulafa al-Rashidin dalam majlis-majlis mereka seperti Salman al-Farisi yang mempersoalkan Saidina ‘Umar al-Khattab semasa beliau berucap.

Sepatutnya perbezaan hadis-hadis ini diselaraskan dengan merujuk kepada kes yang berbeza. Isu dosa peribadi pemimpin hendaklah dibicarakan secara tertutup.

Adapun yang membabitkan kepentingan awam maka rakyat yang terbabit boleh membahaskannya sekalipun terbuka.

Sejarah perdebatan dalam Islam

Begitu juga apabila timbul trend politik kita yang banyak mengadakan debat isu rakyat secara terbuka. Ramai juga pihak kerajaan dan pembangkang yang terbabit.

Apabila ada pemimpin atasan yang menyatakan debat bukan budaya kita, mereka pun mengeluarkan sabda Nabi SAW:

“Aku menjamin sebuah rumah dalam syurga bagi mereka yang meninggalkan debat mesti pun dia berada di pihak yang benar.” (Riwayat Daud).

Ini bagi menyokong kenyataan pemimpin atasan.

Mereka tidak mengambil kira bahawa al-Quran menyebut: “Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”
(Surah al-Nahl: 125)

Dan juga dalam al-Quran ada Surah al-Mujadilah (wanita yang berdebat). Perkataan yang digunakan dalam hadis ialah al-mira’ yang boleh diertikan sebagai al-jidal (debat).

Dalam Islam terlalu banyak sejarah perdebatan ilmu yang menyebabkan ilmu berkembang. Debat yang dilarang ialah debat yang sia-sia hasilnya, sekalipun benar.

Inilah yang disebut dalam kitab-kitab syarah hadis seperti Faidh al-Qadir oleh al-Imam al-Munawi, Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Imam al-Mubarakfuri.

Jika hadis di atas difahami secara literal, tentu Parlimen kita lembab dan tidak berfungsi kerana semua ahlinya akan mengelakkan berbahas.

Bajet negara akan diterima bulat-bulat tanpa didebatkan kerana semua ingin mendapat rumah dalam syurga. Peguam dan pendakwa juga tidak ada berdebat di mahkamah.

Sepatutnya mereka kena sebut hadis ini semasa setiap kali mesyuarat Umno hendak dimulakan. Tentulah semua ahli menelan bulat-bulat minit mesyuarat tanpa mempertikaikannya sedikit pun.

Fatwa literal

Dulu saya pernah kritik apabila mereka sering membaca hadis ini di khalayak ramai:

“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunah bukan dengan sunahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan.

“Kata Huzaifah: Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?. Jawab baginda: Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini dibaca seakan rakyat dalam apa keadaan pun tidak boleh membantah kerajaan walaupun buruk mana sekalipun. Mereka lupa kerajaan dalam negara ini bukan sahaja Umno, ada juga kerajaan PAS dan PKR.

Hadis ini dibaca tanpa melihat kepada hadis-hadis lain yang memberikan penegasan yang berbeza.

Antaranya hadis (bermaksud): “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukuman-Nya”.
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai, dengan sanad yang sahih).

Dalam sejarah pemikiran fikah, tokoh aliran literalis yang paling terkemuka ialah al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H). Dia terkenal kerana kebijaksanaannya tetapi literal dalam memahami nas-nas syarak.

Banyak fatwa literalnya dikritik oleh para sarjana. Pun begitu, beliau apabila ditanya tentang hadis di atas, menjawab:

“Adapun apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar bersabar atas pengambilan harta dan pukulan di belakang, itu semua tanpa syak jika pemerintah menguruskan itu dengan cara yang sebenar, maka tidak syak wajib ke atas kita sabar… Adapun jika dengan cara yang batil maka berlindung dengan Allah untuk Rasulullah SAW menyuruh bersabar untuk itu.

“Dalilnya firman Allah: Tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.

“Kita tahu bahawa kalam Rasulullah tidak akan menyanggahi kalam Tuhannya… maka sah bahawa apa yang Rasulullah SAW sabda adalah wahyu dari sisi Allah azza wa jalla, tiada perbezaan, tiada percanggahan dan pertentangan.

“Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak yang diketahui oleh setiap Muslim bahawa mengambil harta Muslim ataupun zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram.

“Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari).

“Maka tiada syak dan perbezaan pendapat kalangan Muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas al-Quran….”
(Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji)

Jika pemerintah itu dibiarkan untuk memukul dan mengambil harta tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan yang diperintah oleh Islam untuk diwujudkan? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama?

Maha suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu!

Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan Muslim seperti yang disebut oleh Nabi SAW:

"Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah).”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi SAW juga menyebut: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pemikiran agama yang literal seperti ini sebenarnya boleh merosakkan maksud dan imej agama itu sendiri jika dipegang oleh mereka yang berkuasa. Saya tidak mahu campur dengan urusan kepartian Umno ataupun PAS.

Namun apabila membabitkan urusan agama, saya hanya ingin memberikan pandangan bahawa pemikiran ini dalam kerangka keseluruhan ‘memeningkan’ negara dan Umno itu sendiri.

No comments:

Post a Comment