Tuesday, September 18, 2012

Heret Suaram ke mahkamah bukti Najib balas dendam kes Scorpene

Pendakwaan ke atas Suara Rakyat Malaysia (Suaram) jelas menunjukkan Perdana Menteri mahu balas dendam ekoran skandal pembelian Scorpene yang dibongkar oleh organisasi hak asasi manusia itu, kata N Surendran.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menerima bantuan asing.

 
“Ia langsung bukan merupakan kesalahan di bawah undang-undang. Mendakwa Suaram atas alasan menerima dana dari luar adalah alasan paling dangkal pernah saya dengar hanya untuk menutup pendedahan kes Scorpene,” tempelak Surendran.
“Menerima dana untuk niat yang baik adalah sesuatu yang patut digalakkan bukan dikecam, malah kerajaan Malaysia sendiri banyak menyalur dan menerima dana dari luar,” katanya ketika dihubungi.
Surendran berkata, kesempatan ini diambil Datuk Seri Najib Razak dengan menekan Suaram melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Dalam kes ini, Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya apabila menggunakan SSM untuk menyiasat Suaram,” kata beliau lagi.
Pagi tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan Suaram akan didakwa minggu ini berikutan penerimaan dana sebanyak RM570,000 dari Open Society Institute kepunyaan George Soros.
Jika mendapat bantuan dana adalah kesalahan, maka mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih teruk kerana pernah membayar pelobi Zionis sebanyak AS$1.2 juta bagi mengatur pertemuannya dengan Presiden George W Bush.

 
Kerajaan Barisan Nasional juga membayar RM77 juta setahun membiayai APCO yang bertanggungjawab menghasilkan slogan 1Malaysia.
Najib juga menggunakan khidmat pegawai Israel, Paul Stadlen (bekas pegawai APCO) sebagai pegawai media di Jabatan Perdana Menteri.
Semua pembiayaan dana di atas tidak dikenakan apa-apa tindakan, justeru ia jelas membuktikan, siasatan dan dakwaan terhadap Suaram bukan atas sebarang kesalahan tetapi hanya untuk menutup kebenaran tentang skandal Scorpene yang semakin mendapat perhatian umum.

 Kempen ‘Stand Up for Suaram’ yang disertai 138 badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk keras siasatan bersungguh kerajaan berhubung dana yang diperoleh organisasi itu bertujuan menutup penyelewengan BN dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia.
 
 

Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah berkata, siasatan terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu tidak berasas kerana sebuah organisasi sosial selayaknya mendapat dana tidak kira dari dalam atau luar negara.
“Apa masalahnya dengan pembiayaan global? Kerajaan Malaysia sendiri banyak memberi dana kepada organisasi sosial di luar negara, apa yang penting motif dan perjuangan kita,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen itu pagi tadi.
Wakil peguam Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri mempersoal tujuan sebenar siasatan terhadap Suaram.
“Kenapa kerajaan begitu beriya-iya hendak mengejar dan siasat Suaram? Apakah untuk menutup kes Scorpene?” soal Fadiah.
Pagi tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) akan mengesyorkan kepada Peguam Negara untuk mendakwa syarikat Suara Inisiatif Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Suaram.

Sedia disiasat

Menurut Pengerusi Suaram, K Arumugam, mereka sedia untuk disiasat, namun katanya kes Scorpene juga perlu dibuka dan diperdengar kepada rakyat Malaysia.
“Kami tidak punya masalah dengan siasatan, tetapi agensi kerajaan juga perlu adil. Siasat sekali kes Scorpene, buka kes dan beri penjelasan kepada orang awam,” kata Arumugam.
Pelancaran kempen itu pagi tadi berlangsung di Menara SSM di Kuala Lumpur.
Apa yang mengejutkan, keratan akhbar anti-Suaram turut ditayangkan kepada umum menerusi televisyen lobi menara agensi kerajaan tersebut, sedangkan siasatan masih berjalan.
“Saya juga hairan mengapa liputan siasatan kes ini begitu meluas, bukan sahaja di berita TV, malah di lobi agensi ini. Jelas ada pendakwaan terpilih di sini,” tegas Ivy lagi.

Kejar Suaram tapi Najib, Razak Baginda dibiar bebas

Pembelian Scorpene mencuri perhatian ramai apabila Syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu, menerima komisen RM570 juta daripada kerajaan Malaysia untuk urusniaga itu.
Pelbagai desakan dibuat untuk meyiasat urusniaga yang meragukan itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil baik ke atas Razak Baginda atau Syarikat Perimekar sendiri.
Susulan itu, Suaram melantik peguam Joseph Breham pada tahun 2009 untuk memfailkan kes terhadap firma pembuat kapal selam Perancis, DCN, yang terlibat dalam urusniaga itu.
Pendedahan itu bukan sahaja membongkar isu Scorpene dan rasuah komisen yang menjahanamkan wang rakyat tetapi turut melibatkan isu pengkhianatan penjualan maklumat ketenteraan negara dan ia benar-benar mengancam pemimpin utama negara yang jelas mempunyai peranan.
Disebabkan itu, kerajaan mengenakan pelbagai tekanan kepada Suaram selepas badan hak asasi itu bertindak memfailkan kes untuk diadakan siasatan terhadap skandal pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.
Terbaru, Suaram ditohmah sebagai pengkhianat kerana mendapat bantuan dana asing sebanyak RM570,000 sejak 2007 dari yayasan Open Society Institute kepunyaan George Soros yang dilabel sebagai penyagak matawang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.
Dana yang diperoleh ditegaskan oleh Pengarah Suaram, Kua Kia Soong tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan spekulasi mata wang Soros, sebaliknya diguna untuk pencerahan hak asasi manusia di negara ini.
Penerimaan bantuan asing bukan perkara baru bagi NGO Malaysia. Bantuan dari negara Arab dan Eropah tidak dipersoalkan. Hanya Suaram yang menjadi mangsa kerana berani mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang melibatkan Najib.

No comments:

Post a Comment