Monday, September 24, 2012

Politik bola dan Terengganu

Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun Batu Burok, Terengganu

Selain dari Kelantan, rakyat Terengganu juga memang terkenal dengan sifat fanatik mereka dalam memberi sokongan kepada pasukan bolasepak negeri yang mereka sayangi.

Penyokong-penyokong 'Peteh' ini akan melakukan apa sahaja bagi memastikan pasukan mereka menang dan cemerlang dalam setiap pertandingan yang dijalankan.

Begitu juga dengan sebahagian besar anak-anak muda di seluruh negeri Terengganu yang cukup fanatik menyokong pasukan mereka dan seolah-olah tidak dapat menerima sebarang kekalahan.

Selain dari perbualan politik dan pilihanraya yang amat rancak berjalan setiap sudut kedai-kedai kopi serta warung-warung, kini isu kegagalan pasukan bolasepak Terengganu juga menjadi topik perbincangan yang hangat diperbincangkan di semua peringkat.

Kemana sahaja kita pergi, mereka bukan sahaja berbincang mengenai isu-isu politik tempatan dan nasional, tetapi juga amat rancak berbincang tentang kegagalan pasukan bolasepak Terengganu mara ke pertandingan peringkat kedua Piala Malaysia.

Kemelut yang melanda pasukan bola sepak Terengganu dilihat amat suram apabila pasukan ini berhadapan dengan kemarahan ramai penyokong pasukan yang majoritinya terdiri dari anak-anak muda yang secara terbuka melahirkan rasa tidak puashati mereka kepada pentadbiran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang dilihat tidak profesional dan pincang menguruskan pasukan serta lebih kepada campurtangan ahli-ahli politik yang berkepentingan.

Sikap fanatik ini dapat dilihat apabila pada 22 April 2012, kira-kira 100 penyokong bola sepak ‘Peteh’ telah bertindak nekad dengan ‘menyerang’ kediaman Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh di Panji Alam, Kuala Terengganu.

Mereka didakwa bertindak liar dengan membaling batu dan merosakkan pintu pagar kediaman Presiden PBNST itu selepas berang dengan kekalahan skuad Penyu di tangan KL Sime Darby.

Pada 3 November, 2011 pula, kira-kira 1,000 penyokong bola sepak Terengganu juga telah mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bagi meminta perubahan besar-besaran dilakukan dalam pengurusan PBSNT serta mahukan Presiden PSNT, Datuk  Che Mat Jusuh segera berundur dari jawatan  kerana didakwa melakukan salah guna kuasa.

Bagi mengurangkan rasa kemarahan penyokong pasukan 'peteh' ini, pihak PBSNT telah mengambil tindakan untuk melantik Marzuki Sulong sebagai pengurus pasukan menggantikan Datuk Che Mat Jusoh, yang masih kekal selaku Yang DiPertua PBSNT.

Begitu juga dengan tindakan menamatkan kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva, manakala sembilan lagi pemain telah ditamatkan kontrak mereka.

Namun tindakan ini gagal meredakan kemarahan kebanyakan penyokong bolasepak Terengganu. Ramai beranggapan, kehilangan barisan pemain yang berbakat ini akan memberi kesan terhadap pembangunan bolasepak Terengganu. Kebanyakan pemain yang dilepaskan adalah anak tempatan serta mempunyai potensi yang amat baik.


Akibat dari tindakan ini, mereka menuntut agar di lakukan rombakan besar-besaran terhadap pengurusan PBSNT, terutamanya menggantikan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh yang dilihat terlalu lama memegang jawatan tersebut.

Ini ditambah lagi apabila ramai kalangan yang mmberi komen bahawa ada kalangan pihak pengurusan PBSNT yang hanya menjaga kepentingan diri sendiri dan mengabaikan soal pembangunan bolasepak negeri Terengganu.


Mereka kesal kerana PBST sering melakukan rombakan kepada pasukan 'penyu' apabila mereka mengalami prestasi yang menurun tetapi tidak pernah mahu melakukan  rombakan dalaman secara besar-besaran terhadap pengurusan PBSNT sendiri sejak sekian lama.

Adalah difahamkan kerajaan negeri Terengganu kini membelanjakan antara RM3 hingga RM5 juta bagi membiayai pasukan bolasepak Terengganu yang bertanding di peringkat nasional.

Penyokong-penyokong setia 'peteh’ pula sentiasa memenuhi stadium setiap kali ada pertandingan yang dijalankan. Namun akibat dari keruntuhan bumbung serta kerosakan yang berlaku kepada Stadium Sultan Mizan pada tahun 2009, penyokong bolasepak hanya dapat menyaksikan pertandingan di stadium lama yang mampu memuatkan sekitar 10 hingga 15 ribu penyokong sahaja.

Seperti juga Kelantan, bolasepak dan politik tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan harian kebanyakan rakyat Terengganu.


Persoalannya, apakah kemarahan anak muda Terengganu terhadap kepincangan pengurusan bolesepak negari ini akan menjadi petanda kepada mereka untuk tidak menyokong parti yang memerintah dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

No comments:

Post a Comment