Tuesday, November 27, 2012

Kes Scorpene: Malaysia digesa beri kerjasama

Mohd Rashidi Hassan
27 Nov 2012


SINGAPURA: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli menggesa kerajaan Malaysia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada penyiasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang sedang disiasat kerajaan Perancis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, berdasarkan fakta yang dibentangkan peguam Apolene Cagnat mewakili Suaram hari ini, memberikan keyakinan bahawa dakwaan pemberian komisyen pembelian kapal selam kepada individu tertentu mempunyai asas.

Tegas beliau, penyiasataan yang dibuat dua orang hakim Perancis sedang berjalan sekarang dan pihak pendakwa memang mengambil isu ini secara serius kerana ia membabitkan komisyen sebanyak RM500 juta.

Tegasnya untuk menyegerakan siasatan yang akhirnya pendakwaan boleh dilakukan, pihak Perancis memerlukan kerjasama orang-orang yang disapina, khususnya tujuh nama yang disenarikan peguam Perancis.

"Namun kita masih belum pasti bagaimana kerjasama itu akan dibuat. Tetapi saya rasa, jika kita mahu menyegerakan lagi siasatan ini, kita perlu mempunyai sebuah kerajaan yang mahukan kebenaran. Justeru kita tidak boleh mengharapkan kerajaan Barisan Nasional memberikan kerjasama, kerana mereka terbabit," ujarnya.

Oleh yang demikian kita menyeru pada PRU ini rakyat bersama kita membuat perubahan dan mengheret orang yang terbabit ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menghadiri taklimat Scorpene menjelaskan, kes yang sedang disiasat itu membuktikan kerajaan Perancis benar-benar serius untuk membongkar penyelewengan yang didakwa wujud.

Walaupun katanya, ia masih lagi belum sampai ke peringkat perbicaraan, tetapi pihak pendakwaraya sudah menyerahkan kes ini kepada dua orang hakim untuk membuat penyiasatan terperinci, membuktikan ianya suatu kes yang mempunyai asas yang kukuh.

"Berdasakan kepada penjelasan yang disampaikan peguam tadi, jelasa ada orang-orang yang akan dikenakan sapina dan kita menggesa mereka hadir untuk memberikan penjelasan kepada hakim terbabit," ujar beliau.

Tegasnya isu yang disiasat adalah berkaitan rasuah, sama ada  membabitkan orang Perancis atau rakyat Malaysia.

Ujar beliau, jika kerajaan Malaysia yakin transaksi pembelian kapal selam itu tidak menyeleweng, tiada sebab kerajaan takut untuk memberikan kerjasama dengan kerajaan Perancis.

"Kita pun ragui kenapa peguam Perancis sebelum ini dilarang masuk, dan kenapa Parlimen menghalang taklimat Scorpene diadakan secara terbuka?" soal beliau.


Peguam kes Scorpene di Perancis menegaskan mahkamah negara tersebut bakal memanggil dua orang kenamaan terkemuka di Malaysia, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Abdul Razak Baginda sebagai saksi kes tersebut.

Mereka adalah di antara tujuh orang yang bakal dipanggil sebagai saksi, antaranya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bapa Altantuya, Dr Shaariibu Setev, penyiasat Balasubramaniam dan seorang korporat Lodin Wok Kamaruddin.


Bagaimanapun belum dapat dijelaskan, bilakah tarikh mereka akan dipanggil mahkamah.

Maklumat tersebut dijelaskan dalam taklimat mengenai kes Scorpene yang sepatutnya diadakan di Parlimen hari ini, terpaksa dipindahkan ke Changi, Singapura.


Taklimat disampaikan peguam, Apolene Cagnat  yang juga rakan kongsi peguam William Bourdon yang mewakili Suaram dalam kes Scorpene yang didakwa membabitkan penyelewengan ratusan juta ringgit.


Hadir sama mendengar wakil kedutaan Malaysia di Singapura. Cagnat ditemani peguam Suaram, Fadiah Nadwa Fikri.


Taklimat dihadiri ahli-ahli Parlimen daripada PAS, PKR dan DAP, mewakili Pakatan Rakyat.


Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikr Amin Mulia menolak permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus melarang taklimat peguam yang dibawa khas dari Perancis.


Sebelum ini Bourdon tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.


Sementara itu Sekretariat Suaram, Cynthia Gabriel kesal, taklimat tepaksa diadakan di Singapura kerana Kerajaan Malaysia berusaha keras menghalang maklumat sebenar mengenai Scorpene diketahui rakyat.

No comments:

Post a Comment