Parti Islam se Malaysia (Pas) akan mengadakan
muktamar tahunan ke 58 bermula pada 16 hingga 17 November ini bertempat
di Pusat Tarbiyah Pengkalan Chepa (Putik). Muktamar ini dianggap
penting dan mustahak kerana ia merupakan muktamar akhir sebelum pilihan
raya umum ke-13 yang bakal menjelang bla-bila masa saja.
Pastinya ahli, penyokong Pas serta pemerhati memberi tumpuan kepada
muktamar ini. Pemerhati akan melihat berdasarkan muktaamr ini sejauh
manakah kesediaan dan kemantapan ahli Pas untuk berhadapan dengan
pilihan raya. Ia juga tidak terkecuali sedang diintip oleh pihak UBN
untuk melihat dan mengambil apa-apa peluang yang boleh menguntungkan
mereka dan dijadikan modal pilihan raya.
Sementara selain
muktamar ini menjadi satu kewajiban mengikut perlembagaan, muktamar
juga menjadi wadah mempertautan kasih sayang dan mengejatkan ikatan
silaturahim sesama ahli dan penyokong parti. Sebab itu mukatamar bukan
saja melaksana kehendak perlembagaan tetapi menghidupkan roh ukhwah
sesama ahli parti. Dengan begini saja parti akan menjadi mantap dan
perkasa kerana ia dijalin dengan kekuatan ukhwah Islamiyah. Dan inilah
keistimewaan dan keunikan Pas dan juga menjadi rahsia keutuhan parti
itu.
Lantaran itu bagi ahli parti yang komited mereka akan
merasa gembira dan tidak sabar untuk menanti kedatangan muktamar pada
setiap tahun. Muktamar dijadikan gelanggang bukan saja untuk bertemu
bagi membincang dan membahas hala tuju atau pemantapan parti, tetapi
juga untuk pengukuhan jiwa dan pengentalan semangat jihad fi sabilillah
dalam versi moden ini.
Segi formalitinya muktamar dijadikan
saluran untuk ahli di peringkat bawahan menyampaikan apa-apa pandangan
mereka atau membuat teguran untuk maslahat parti sebagai melaksanakan
tanggungjawab dan amanah. Lantara itu berbagai isu akan dikemukakan dan
dibangkit.
Sebenarnya paling mustahak dalam muktamar seperti
itu ialah, Pas berbincang bagaimana untuk kematapan parti keseluruhan
dan juga menjadikan parti sebuah wadah membela agama bangsa dan negara.
Perbahasan secara terbuka sesetengah elemen perkara itu tidak wajar,
sepatutnya diserahkan saja kepada jawatankuasa kerja Pas Pusat.
Tetapi ada juga kadang kala muktamar seperti itu tersasar dari
membincang perkara sebenarnya dan ada kalanya ahli tidak dapat
menahankan sabar turut membincang dan 'melembel' sesuatu dalam muktamar.
Lebih kesal lagi ada yang menjadikan muktamar sebagai ruang melepaskan
geram dan dendam. Ini menyebabkan muktamar menjadi kontroversi dan
hangat dan sehingga ia memberi 'makan' percuma kepada musuh-musuh Pas.
Sukar untuk pihak pengurusan Pas memasatikan ia berjalan dengan lancar
menempati kehendak perlembagaan sebenarnya. Apa lagi Pas kini bukan
lagi parti kecil dan pinggiran, sebaliknya ia sudah menjadi parti arus
perdana yang berpotensi besar di masa depan. Bayangan atau slogan Pas
mengganti Umno adalah tepat dalam konteks politik Islam dan Melayu di
negara ini. Hakikatnya Pas konsisten dalam melakanakan prinsip dan
dasar-dasarnya kecuali dari pandangan mereka yang matanya sudah
dipincingkan oleh Umno, yang disapu dengan serbu kebendaan dan pangkat.
Tidak ada masalahnya kalau ahli memanfaatlkan persidangan setahun
sekali itu untuk menyampaikan apa yang terpendam didalam hati mereka.
Itulah sebenarnya tanggungjawab dan tugas ahli. Namun dalam pada itu
ahli juga harus melihat dan merasai keadaan semasa sebelum pandangan
dan kritikan dilemparkan. Dalam hal ini perkara paling pokok ialah
kesejahtraan organisasi Pas itu sendiri. Setiap ahli Pas perlu
meletakkan parti di hadapan manakala kepentingan diri di belakang.
Yang perlu difahami Pas adalah sebuah parti politik yang turut sama
terpaksa mengikut lunas-lunas dan rukun politik demokrasi sekular.
Hendak tidak hendak ahli perlu fatanah didalam hal ini. Misalnya
soal-soal berbentuk personal berupa peribadi Pas atau isu yang tidak
mungkin dapat diterima masyarakat majmuk atas kepentingan-kepentingan
tertentu harus dielak dari dibahas secara terbuka. Apa dinamakan tahalul syiasi hendaklah difahami dan dihayati betul-betul oleh semua ahli.
Lima isu penting perlu diawasi
Memandangkan Pas akan berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13 ada
beberapa isu yang dikira tidak perlu diketengahkan secara lantang dalam
muktamar minggu depan. Isu-isu ini boleh menjadi hangat dan bakal
menimbulkan kontroversi di mana bakal menyusahkan Pas jika ia
dieksploikan oleh pihak musuh Pas. Kurang kebijaksanaan menagannya
menyebabkan Pas akan keletihan dan membuang masa untuk memperbetulkannya
bila ia dipusing belitkan oleh media PB. Tiada manfaatnya kita
mendapat tepukan atau takbir gemuruh atas isu yang kita bahas atau
kemukakan tetapi esok ianya disiarkan dimuka depan Utusan Malaysia? (Catatan: Setiap berita Pas yang disiarkan akhbar berkenaan adalah yang buruk dan menyusahkan Pas).
Justeru ahli-ahli yang kini sedang merangka ucapan untuk membahas
isu-isu berkenaan sekiranya ia ditimbulkan patut berfikir panjang
ataupun ...mancari kaedah bagaimana ianya tidak ditimbulkan atau kalau
ditumbulkan biarkan dalam keadaan baik dan tidak menjadi masalah kepada
parti. Sekiranya ahli Pas perlu melakukan istikharah untuk menilai
apakah isu ini penting atau tidak, wajar ianya di istikharahkan dulu.
Isu-isu ialah:
1. Hukum hudud dan slogan negara berkebajikan.
2. Kerjasama dengan DAP dan PKR.
3. Isu jawatan perdana menteri dan pembahagian kerusi.
4.
Perkara melibatkan pemimpin parti rakan, seperti kenyataan Nurul Izzah
mengenai kebebasan beragama dan juga dakwaan musuh Pakatan Rakyat
kononnya Anwar Ibrahim mengamalkan pluralisme dalam beragama.
5. Pemecatan Hasan Ali dan juga kedudukan bekas timbalan presiden Pas.
Inilah isu-isu penting yang kini sedang dinantikan oleh pihak musuh
Pas. Wajar kalau ianya dielakkan dari dibincangkan secara mendalam dan
melibatkan perbahasan perwakilan. Pihak pengurusan muktamar khasnya
pengerusi tetap harus memandang berat perkara ini sebelum ianya
dibenarkan untuk dibincangkan walaupun ia ada relevensinya bagi dibahas.
Misalnya isu hudud tidak wajar dipertikaikan kerana kedudukannya sudah
jelas dalam agenda perjuangan Pas. Hudud perkara yang tidak akan
terubah dalam juzuk perjuangan Pas kerana ia antara perkara yang
termaktub dalam kitab mutlak Pas (perlembagaan). Mereka yang bijaksana
akan dapat melihat mauduk ini di celah mana ia terselit didalam
perlembnagaan Pas.
Pas tidak pernah mengubah agenda
perjuangannya apa lagi terpesong, kecualilah ia diterjemahkan oleh
media massa PB yang tidak memahami Islam dan method perjuangan Pas
dengan bersandarkan ahli Pas yang munafik sebagai suara autoriti. Di
sinilah malangnya ahli Pas dan menyebabkan mereka terkeliru kerana
mengambil media massa PB sebagai pewari dan sanad ke atas perkembangan
dalam Pas.
Perlu difahami pihak musuh sengaja mencari jalan
untuk ahli Pas membincangkan secara terbuka dengan mengharap akan ada
konflit di antara sesama ahli Pas dengan cara itu memudahkan mereka
hendak putar belit isu dan melaga-lagakan sesama ahli Pas. Hari ini
media PB sudah memahami bahawa parti memerintah sudah tidak ada modal
yang dapat menyakinkan rakyat, maka jalan lain perlu dicari bagi
memastikan rakyat terus terpesona dengannya, caranya dengan
memburuk-burukan parti pembangkang termasuk Pas. Mudahnya, parti UBN
sudah tidak mahu berdepan secara gentlemen lagi kerana mereka menyedari kejujuran dan kebenaran tidak akan berpihak kepada mereka.
Dalam hal ini salah satu isu yang dinanti-nanti ahli Pas mengulasnya
ialah berhubung kontroversi yang berlaku terhadap pandangan Nurul Izzah
berhubung kebebasan beragama yang kini dijadika isu mentah oleh pihak
lawan. Kalaulah ada ahli Pas ikut sama membangkitkan perkara itu dalam
muktamar adalah sangat dangkal dan ini menggambarkan ahli Pas sendiri
kabur mengenai ayat-ayat Quran berhubung subjek diperkatakan Nurul Izzah
itu.
Media massa sangat berharap agar ada penentangan ahli
Pas terhadap pandangan Nurul Izzah ini, biarlah tidak ramai kalau
seorang pembahas mengungkitkannya, menentang pandangan itu sudah cukup
untuk akhbar PB menjadikan ia sebagai lead di muka depan.
Makanya diharap benar mukatamar ini bijak mengelakkan dari isu-isu
disebut di atas tadi dibangkitkan dan dibahas. Pesanan tertuju khusus
untuk kalangan pemuda Pas yang dilihat begitu ambisi dengan Islam
tradisi dan gaya kepimpinan ulamak pekat.
Di dalam muktamar ini
apa yang penting dan diberikan penekanan ialah berhubung persiapan
pilihan raya. Semua ahli perlu mengambil semangat dari muktamar itu
untuk dijadikan bekalan berhadapan dengan pilihan raya. Cadangan dan
pandangan konstruktif untuk menguatkan jentera pilihan raya sangat
penting dan dialu-alukan. Bahkan dirasakan itulah harapan dan dapatan
diperlukan oleh muktamar kali ini.
Muktamar juga perlu
meletakkan cita-cita untuk ke Putrajaya sebagai subjek utama dan
menjadi agenda mesyuarat paling teratas. Setiap ahli atau muktamirin
yang hendak melangkah ke dewan muktamar harus memasangkan cita-cita itu
- menawan Putrajaya. Sementara ahli yang datang dengan membusung
suruhan dan cocokan daripada pihak musuh, seekoknya membatalkan niat
mereka sebaik sampai di muka pintu Putik tempat berlangsung muktamar.
Ahli perlus membincangkan bagaimana mahu melurus dan melebarkan jalan
menuju ke Putrajaya. Jangan pula ada yang primif dengan menyempitkan
jalan ke Putraja dengan menzahirkan kebimbangan ataupun konfius; DAP
akan menyekat pelaksanaan Islam ataupun masih konfius apakah suci
ataupun tidak Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri? Perkara itu
tidak perlu ditimbulkan dan yang penting gapai dulu Putrajaya kemudian
baru bahaskan.
Demikian juga pembahagian kerusi dan desakan
agar Pas bertanding lebih banyak dari PKR tidak wajar dibincangkan. Pas
harus melihat kepada kekuatan sendiri dan rasional dalam menghitung
kemenangan. Pas jangan tamak. Lebih baik Pas menang sedikit daripada
menang besar kalau penyertaan itu memberi untung kepada Umno. Juga
tidak ada gunanya Pas menang besar kalau kemenangan itu nanti digunakan
untuk bergabung dengan Umno tanpa ada konsensus dari ahli?
Penggabungan Pas dengan Umno baik sebelum atau selepas akan disumpah
sebagai satu pengkhinatan yang tidak akan dimaaf.
Seperkara yang perlu disorotkan juga ialah mengenai kerjasama Pas dengan Umno atas spirit
dan api jiwa agama dan bangsa. Walaupun perkara ini penting tetapi
tidak elok kalau ditimbulkan dalam muktamar kerana ia boleh menyinggung
rakan Pakatan yang lain. Saya percaya perkara ini sedang diintip oleh
media massa dan isu ini menjadikan perkara utama untuk memecah belahkan
Pas.
Begitu juga isu siapa yang akan jadi perdana menteri
sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah juga tidak perlu ditimbulkan.
Walaupun kedudukan Anwar hari ini sebagai perdana menteri, tetapi yang
nyata tidak ada apa-apa pleadings mengenai hal itu.
Sebenarnya soal siapa perdana menteri masih terbuka. Kesediaan Abdul
Hadi Awang untuk memberi laluan kepada Anwar tidak boleh dilihat ianya
sudah muktamad. Namun sebagai ikon perjuangan dan bagi meletakkan
fikrah Pakatan Rakyat bulat menghadapi Umno dan Najib terimalah bahawa
Anwar adalah bakal perdana menteri. Ketepatannya kerana ternyata Anwar
saja yang mampu menyatukan jasad Pas dengan DAP walaupun beliau tidak
mungkin mampu memsebatikan jiwa di antara keduanya.
Mengenai
apakah Pas kini sudah terpesong dari landasan asal jangan ada yang
termakan dengan pancing pihak media dan orang tertentu hatta dari Pas
sendiri yang kini sudah bercakap atas nada Umno. Mereka sudah jauh
termasuk ke dalam perut Umno yang menjajah semula mereka dengan alasan
demi agama dan bangsa. Yakin dan percayalah mereka yang 'mufarakah' dari
saf Pas adalah mereka yang kehilangan kompas perjuangan dalam terang.
Mereka juga merupakan golongan munafik yang tidak ikhlas dan jujur
dengan perjuangan, yang kini menjadi tikus yang cuba membaiki labu.
Sekiranya mereka ikhlas, mereka akan mendiamkan diri jika tidak
bersetuju dengan suara majoriti parti. Mereka boleh berusaha untuk
kembali semula ke dalam parti dan memperbaikikan apa yang mereka lihat
cacat. Dia berkokok di luar atas canggung musuh, maka jelaslah siapa dan
apakah watak mereka. Jadi isu-isu mengenai mereka ini, cadangan dan
lontaran idea yang diberikan menerusi surat beracun jangan dipedulikan.
Diharap semoga muktamar berjalan dengan lancar dan penuh keberkatan
dari mula hingga akhirnya. Akhirnya diucapkan selamat bermuktamar
dengan penuh prihatin, tanggungjawab dan rasa penuh beramanah kepada
Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment