Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini
diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi menteri
pertahanan pada 2006 bersetuju untuk memindahkan pemilikan tanah seluas
223.3 ekar (89.332ha) di Bukit Raja, Selangor daripada syarikat Awan
Megah Sdn Bhd kepada seorang syarikat penama milik ahli perniagaan
Deepak Jaikishan.
Hakim Zabariah Mohd Yusof bagaimanapun tidak
membenarkan Deepak mengemukakan satu surat bertarikh 25 September 2006
daripada Awan Megah kepada Najib sebagai bukti, memandangkan beliau
tidak memfailkan dokumen tersebut sebagai sebahagian daripada dokumennya
semasa pengurusan kes.
Deepak dalam keterangannya hari ini
mendakwa, Najib mempersetujui urusan berkenaan dan mahu timbalan ketua
setiausaha kementerian pertahanan meneliti pemindahan milik tersebut.
Deepak
memberitahu mahkamah bahawa beliau membantu untuk mengatur pertemuan di
antara Awan Mega, yang diwakili pengarahnya Senator Raja Ropiah Raja
Abdullah dengan Najib melalui isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ahli
perniagaan tersebut memberitahu mahkamah ketika disoal peguamnya R
Sivarasa, bahawa transaksi yang berlaku memandangkan Awan Megah tidak
berjaya mendapatkan bond tanah yang ditetapkan sebagai syarat untuk
meneruskan projek Institut Pengajian Pertahanan Nasional di Putrajaya.
Deepak
melalui syarikat Astacanggih Sdn Bhd, di mana beliau merupakan
pengarah, menamakan kerajaan Malaysia, Syarikat Tanah Harta Sdn Bhd,
Awan Megah dan Cebur Megah Development Sdn Bhd, di mana beliau turut
menjadi pengarah, sebagai defendan.
Bagaimanapun, Hakim Zabariah
mengeluarkan kerajaan Malaysia, Syarikat Tanah Harta, dan Cebur Megah
sebagai defendan dalam saman tersebut.
Keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
No comments:
Post a Comment