Tuesday, December 11, 2012

PDRM dipaksa guna khidmat Apco: Desak SPRM siasat pendedahan Musa Hassan

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor hari ini mendesak satu siasatan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berikutan tindakan Tan Sri Musa Hassan mendedahkan satu projek komunikasi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bernilai ratusan juta ringgit mempunyai kaitan dengan perunding perhubungan awam, Apco Worldwide.

AMK Selangor menyelar skandal penyelewengan ini kerana dengan jelas sistem keselamatan dalam negara adalah tidak lagi tulen, dan terdedah untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Projek tersebut dikatakan diperolehi pada akhir 2009 dahulu, iaitu setahun sebelum perihal Apco didedahkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim di dalam sidang Dewan Rakyat sehingga membawa kepada penggantungan beliau dari sesi Parlimen.

Tan Sri Musa Hassan turut menamakan bekas anggota penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang sebagai individu yang mengarahkan pegawai polis untuk meluluskan projek tersebut.
 
Malah tindakan Robert Phang mengugut untuk menukar pegawai itu dalam masa 24 jam sekiranya tidak meluluskan sistem komunikasi tersebut, menimbulkan tanda tanya betapa rapuhnya pengurusan PDRM sehingga orang luar mampu memberikan arahan langsung serta mengugut mana-mana pegawai polis sesuka hati.

AMK Selangor mempersoalkan siapakah sebenarnya yang berkuasa dalam PDRM dan sekiranya Ketua Polis Negara tidak mempunyai kawalan penuh, apakah nasib 28 juta rakyat Malaysia yang bergantung harap terhadap keselamatan hidup mereka di negara ini?
Desak PDRM jawab 24 jam

AMK Selangor memandang serius dengan dakwaan Tan Sri Musa Hassan, dan berharap Polis Diraja Malaysia dapat segera menjawab dakwaan tersebut dalam masa 24 jam bagi meredakan keresahan orang ramai berhubung skandal ini.

AMK Selangor yakin rakyat berada dalam keadaan terkejut dan memerlukan penjelasan segera bagi mengembalikan keyakinan mereka terhadap sistem keselamatan dalam negara.

AMK Selangor turut mempersoalkan adakah keadaan ini akan menyebabkan penjenayah kecil-kecilan ditangkap, tetapi penjenayah besar terlepas kerana sistem keselamatan negara boleh diakses sewenang-wenangnya oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab.

AMK Selangor memberi amaran, sekiranya tindakan lanjut tidak diambil, keyakinan dan rasa hormat orang awam terhadap PDRM akan segera terhakis, sekaligus menyebabkan krisis kepercayaan terhadap badan keselamatan itu dan keadaan ini tidak baik untuk kestabilan sosial.

AMK Selangor sedia mendepani skandal ini, dan akan memberi perhatian serius tentang tindakan lanjut yang akan diambil oleh Kementerian Dalam Negeri serta PDRM. Sekiranya gagal, AMK Selangor akan membawa perkara ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kerana dengan jelas, terdapat penyelewengan kuasa dan campur tangan ini membawa kesan negatif terhadap keselamatan dalam negara.

Tidak ada ruang untuk bermain dengan masa depan dan keselamatan orang awam, pencerobohan kuasa ini adalah serius dan perlu diambil tindakan segera bagi menanganinya.

Azmizam Zaman Huri Ketua AMK Selangor Naib Ketua AMK Malaysia

No comments:

Post a Comment