Kerajaan Saba' (Mamlakah Saba'), sebuah kerajaan manusia klasik yang
teragung dan yang terbesar. Menurut satu riwayat kerajaan ini pernah
menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah Arab pada zaman
lampau. Kerajaan ini mungkin saja berada di Ethiopia saat ini atau
Yaman saat ini, atau bahkan kedua-duannya. Kerajaan Saba’ mempunyai
pemerintahan yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950
SM sehingga 115 SM. Oleh sebab keagungan yang telah dilalui oleh mereka
ini, maka kisah ini di rakamkan oleh Allah di dalam surah Saba' dan
surah an Naml.
Firman Allah di dalam surah Saba':
"Sesungguhnya
bagi penduduk Saba' di negeri mereka ada suatu ayat (tanda kekuasaan
Allah) iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri,
(dikatakan kepada mereka), Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah
kepadanya, Inilah negeri yang baik dan tuhan yang pengampun." (Surah
Saba': ayat 15)
Ayat ini adalah sebahagian daripada ayat di
dalam surah Saba' yang menceritakan tentang kisah tamadun di zaman
lampau yang menjadi kuasa besar di bahagian selatan semenanjung tanah
Arab. Suatu kuasa yang telah melalui zaman pembinaan, zaman kegemilangan
dan zaman kajatuhan. Ayat di atas menceritakan zaman kegemilangan kaum
Saba', (kitab injil menyebut Sh'va - Sheba) yang bukan sahaja merupakan
model sebuah negara yang kaya, bahkan merupakan sebuah negara yang
mendapat pengampunan daripada tuhan - Baldatun Toyyibatun wa Rabbul
Ghafur -.
Kemajuan Kerajaan Saba' dan Kegemilangannya
Jikalau
kita melihat di dalam kitab-kitab sejarah, seperti Al-Bidayah Wa
Al-Nihayah, maka kita dapati ketinggian Tamaddun Saba' ini mempunyai
beberapa keistimewaan jika dibandingkan dengan tamadun Arab lain seperti
kerajaan Himyar, Main, Qataban dan lain-lain. Keistimewaan ini adalah
antara punca kerajaan Saba' mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi.
Walaupun telah di gariskan banyak punca kecemerlangan, di sini saya
kemukakan noktah yang paling penting yang menjadi punca kemajuan mereka,
iaitu kemajuan mereka adalah kemajuan yang di dorong oleh aspek
ketakwaan kepada Allah dan akidah yang tulen.
Maka dengan sebab inilah Saba' disifatkan sebagai negara yang makmur, dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah.
Jika
kita mengkaji kitab sejarah, seperti Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah
wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini,
maka kita akan dapati bahawa zaman kegemilangan ini berpunca daripada
perutusan Nabi Allah Sulaiman AS, yang telah menjadikan Ratu Balqis,
Ratu yang memerintah Saba' sebagai seorang yang beriman kepada Allah
Taala. Maka bermulalah zaman keagungan Saba'.
Maka kita percaya dan beriman tentang janji Allah Taala, iaitu;
"Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami
(Allah) akan tumpahkan keberkatan daripada langit dan keberkatan dari
bumi, dan sebaliknya jika kebenaran itu didustakan, maka Allah akan
menyeksa mereka di sebabkan perbuatannya itu." (Surah al A'raaf : ayat
96)
Tamadun Saba' pada Zaman Iman Menjadi Contoh Ikutan
Apakah
kita tidak percaya pada janji Allah yang menjanjikan limpahan berkat
daripada langit dan bumi, jika negara kita negara yang beriman? Apakah
kita tidak yakin dengan janji ini sebagaimana orang bukan Islam tidak
mengimaninya? atau kita lebih yakin kepada Barat yang merupakan tamadun
yang tidak islam pada hari ini sebagai ikutan kita untuk mencapai tahap
kemajuan?
Perbezaan antara tamadun Saba' dan tamadun Barat pada
hari ini amat berbeza. Tamadun Barat pada hari ini hanyalah maju dari
sudut ekonomi, teknologi dan ketenteraan sahaja. Tetapi Kerajaan Saba'
bukan setakat itu, bahkan mendapat kemajuan dari sudut sosial di samping
mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang
tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan
masih kekal sehingga ke hari ini.
Kemakmuran dan keberkatan ini
kita dapat lihat, melalui kesenangan yang di rasai oleh penduduk mereka;
sehinggakan perempuan yang melalui di bawah pohonan buah tidak perlu
memetik dengan cara memanjat atau mangait buah-buahan yang berada di
atas kepala mereka, tetapi cukup dengan menjunjung bakul di bawah
pohonan tersebut, kerana buah-buahan akan masuk dengan sendirinya ke
dalam bakul mereka sebagaimana yang telah di ceritakan oleh Qatadah.
Begitu
juga perjalanan mereka yang berulang alik daripada Saba' dan Syam yang
memakan jarak ribuan kilometer, sang musafir tidak memerlukan kepada
bekalan dan tidak takut kepada ancaman perompak, penyamun dan
seumpamanya sebagaimana yang telah diceritakan oleh Zamakhsyari.
Apakah
ini kita dapati ada pada tamadun sekarang, bahkan negara yang apabila
semakin maju, maka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin ramai
penjenayah yang rakus di dalam negara tersebut. Maka jika kita
memandang dengan pandangan iman dan ilmu, maka kita dapat simpulkan
bahawa tamadun Barat hari ini bukan lah merupakan tamadun yang sebenar
kerana tidak merangkumi semua aspek kemajuan. Maka tidak perlu menjadi
kebanggaan kepada kita dan negara kita sebagai ikutan.
Zaman Keruntuhan dan Kehancuran
Yang
menjadi perhatian kita di dalam kisah ini ialah zaman keruntuhan
kerajaan Saba'. Jika kita melihat ayat-ayat yang menceritakan tentang
tamadun Saba', hanya terdapat dua ayat sahaja yang menceritakan tentang
keagungan mereka, dan selebihnya ialah sebab-sebab kehancuran dan
kejatuhan mereka. Antara sebab-sebab yang jelas yang di ceritakan oleh
Allah Taala ialah kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang telah di
kurniakan oleh-Nya sebagaimana firman-Nya :
"Kemudian mereka
berpaling, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir yang merobohkan
bendungan dan kami tukar kedua kebun mereka dengan dua kebun lain yang
mempunyai buah yang pahit dan pohon atsl (pohon kayu yang tidak berbuah)
dan sedikit pohon sidr." (Surah Saba: ayat 16)
Atsl adalah
pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah
pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.
Apakah makna
"...Kemudian mereka berpaling?" Adakah mereka tidak mengucap
alhamdulillah? Atau tidak bertahmid? Bukan, bukan. Bahkan ulama' tafsir
menyatakan mereka berpaling daripada mengikuti ajaran Rasul, yakni
ajaran tauhid. Maka inilah di antara perkara yang punca dan penyebab
kecelakaan sesuatu umat.
Kejatuhan kerajaan Firaun yang besar di
tangan Nabi Musa, kerajaan Babylon di zaman Nabi Ibrahim, dan kerajaan
Parsi dan Rom pada zaman Nabi Muhammad dan umatnya, tidak lain dan tidak
bukan melainkan kerana mereka tidak mengikuti ajaran Para Nabi yang
diutuskan kepada mereka. Maka apakah negara kita telah melaksanakan
ajaran yang di bawa oleh Nabi sehingga negara kita dianggap sebagai
negara yang syukur dan tidak berpaling sebagaimana yang telah dinyatakan
di dalam ayat ini?
Maka bersegeralah kita bermuhasabah. Sebagai
orang beriman dan orang yang Muslim dan membaca al-Quran. Antara sebab
kecelakaan sesuatu kaum Saba' ialah berlakunya monopoli, yang disifatkan
sebagai sikap yang berpunca daripada pemerintah yang menyebabkan
sesebuah negara hancur. Sikap inilah juga yang menjadi punca kepada
keruntuhan kaum Saba'. Firman Allah Taala :
"(Maka kamakmuran
dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata;
Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah
bandar dengan yang lain). Dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka
sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut
orang ramai, serta Kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai.
Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang
besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang Mukmin) yang sentiasa
bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur." (Surah Saba': ayat 19)
Mereka
berdoa selepas Allah memberikan kesenangan dengan memudahkan perjalanan
daripada Yaman ke Syam sehingga orang-orang miskin dapat bermusafir
dengan mudah. Tetapi ini perkara yang tidak disenangi oleh pembesar
negeri sehinggakan mereka berharap supaya perjalanan dari yang mudah
supaya dipayahkan, supaya golongan miskin tidak dapat ikut serta dan
mengecapi kesenangan tersebut.
Atau dengan kata lain kesenangan
dan kemewahan di dalam negara mahu dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu
sahaja, sama ada berupa syarikat-syarikat besar di dalam negara atau
projek-projek yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja tanpa mengambil
kira golongan miskin : seperti tol, kenaikan minyak dan seumpamanya,
serta yang terbaharu AES.
Maka ini adalah di antara sebab mengapa
mereka dibinasakan. Dan Allah menyifatkan ini sebagai perbuatan yang
menzalimi diri mereka sendiri. Negara kebajikan semakin lenyap. Negara
perniagaan semakin terserlah. Sikap monopoli semakin berleluasa. Prinsip
negara kebajikan yang dibina oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul semakin
hilang. Model kerajaan kebajikan pada zaman Iskandar Zulkarnain
terhakis.
"(Mereka berkata); Wahai Zulkarnain, sesungguhnya
kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu,
setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil
pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara
kami dengan mereka."
"Dia (Zulkarnain) menjawab; (kekuasaan dan
kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari
bayaran kamu), oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai)
aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang
kukuh." (Surah al Kahfi: ayat 94-95)
"Negara kebajikan" yang
diterangkan di dalam ayat ini menunjukkan Zulkarnain tidak menerima
cukai yang hendak diberikan oleh rakyat, tetapi bantuan yang dipinta
diberikan tanpa balasan. Raja yang beriman ini tidak memikirkan
cara-cara memaksimumkan kemasukan hasil dalam negara, tetapi memikirkan
bagaimana membantu rakyat dengan percuma supaya diakhirnya nanti mereka
bersyukur kepada Allah Taala.
Jika pemimpin negara sentiasa
memikirkan cara memaksimumkan kemasukan negara dan meminimumkan
pengeluaran negara walaupun membebankan rakyat, maka negara ini dianggap
sebagai "negara perniagaan" yang menjanjikan kegelapan dan kehancuran
sebagaimana yang disebut oleh seorang tokoh sosiologi terkenal, iaitu
Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya (hlmn.83), "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan (kepada rakyat) merupakan kemusnahan."
Kekayaan
kerajaan yang hakikatnya menguntungkan sesetengah pihak dibina di atas
keperitan rakyat. Bebanan tol, kenaikan minyak, AES dan barangan
ditanggung oleh rakyat pertengahan dan miskin, dan dalam masa yang sama
elaun pembesar-pembesar dinaikkan. Rumah-rumah rakyat diroboh demi
kepentingan politik, kuasa dan niaga menjadi keutamaan, manakala dendam
membutakan mata hati mereka sehingga tidak dapat menafikan hak rakyat
yang sepatutnya dikongsikan secara adil dan saksama.
Sikap
monopoli seperti inilah, akhirnya menyebabkan kaum saba' ditimpa banjir
batu yang besar sebagai bala daripada Allah, seperti yang dinyatakan
dalam ayat 16, Surah Saba’ di atas tadi..
Empangan raksasa yang
menjadi mercu ketamadunan kerajaan Saba' rosak dan tidak dapat lagi
menahan takungan air banjir dan hujan, terutama air bah yang disebut
"Sailul Arim". Justeru itu mereka terus lemah dan akhirnya kerajaan
Saba' ini telah digantikan dengan kerajaan Himyar atau Tubba' yang di
sebut oleh Allah Taala :
"(Mengapa mereka masih berdegil
dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya
atau kaum - Tubba' - dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka?
Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya
mereka adalah orang-orang yang berdosa." (Surah Dukhaan : ayat 37)
Hakikat Kekayaan dan Konsep Syukur Yang Dituntut
Dua
perkara yang menarik perhatian kita di dalam masalah ini iaitu sikap
tidak mengikut ajaran keagamaan dan sikap monopoli di dalam sesebuah
negara perlu menjadi pengajaran kepada kita semua sebagai seorang yang
beriman kepada Allah. Kita sebagai seorang Islam yakin dengan janji yang
telah Allah janjikan kepada kita tentang pengurniaan berkat di sebalik
ketakwaan penduduk sesebuah negara, sebagaimana firman-Nya dalam Surah
al A'raaf ayat 96 (seperti di atas).
Maka kita dapat melihat
kekayaan hanyalah dimiliki oleh negara yang beriman dan negara umat
Islam sahaja. Emas hitam yang dikenali sebagai petrol hanya dimiliki di
negara umat Islam dan tidak wujud di negara yang bukan Islam melainkan
kadar yang sedikit sahaja. Maka, ini adalah nikmat yang perlu kita
syukuri, dengan cara kita melaksanakan ajaran Allah, dan menjauhkan
larangannya. Bersyukur dengan tidak memonopolinya dan tidak mengagihkan
keuntungan tersebut kepada golongan yang tertentu sahaja.
Tidak
mempolitikkan nikmat ini, sehingga golongan yang berhak menerimanya
dipinggirkan, dan golongan yang telah "kenyang perut" mendapat habuan,
sedangkan nikmat ini di kurniakan oleh Allah kepada golongan yang
bertakwa, bukan golongan pemonopoli yang menjadikan wasilah politik
sebagai medan ke arah ini. Kalau tidak kerana golongan pengislah wujud
di dalam negara, nescaya negara itu telah dilanda bala bencana daripada
Allah.
Firman Allah Taala :
"Dan Tuhanmu tidak
sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman
penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri."
(Surah Hud: ayat 117)
Semoga matlamat dunia mendapat berkat dan matlamat akhirat tidak dilupakan.
No comments:
Post a Comment