Hishamuddin Rais
"Saya, yang menandatangani ini dengan penuh
kesedaran adalah ahli Perhimpunan Nasional untuk Rakyat Mesir, dengan
ini mengumumkan tidak lagi percaya kepada Presiden Republik, Dr Mohamed
Morsi Isa al-Ayyat, dan meminta diadakan pilihan raya presiden secepat
mungkin.
"Saya berpegang teguh dengan garis revolusi. Berusaha
untuk menjayakan revolusi. Akan menyebarkan garis revolusi kepada orang
ramai.
"Ini bertujuan untuk mendirikan sebuah masyarakat yang bermaruah, adil dan merdeka."
Dengan ayat-ayat ini anak-anak muda Mesir memulakan kempen tanda tangan
untuk menuntut presiden Morsi letak jawatan. Kempen ini berpayung bawah
kumpulan yang memanggil diri mereka Tamarod atau "melawan"atau
"berontak".
Minggu lalu saya cuba menerangkan latar tentang apa
yang sedang berlaku di Mesir. Masyarakat dunia telah menerima hakikat
bahawa telah berlaku rampasan kuasa di Mesir. Kutukan demi kutukan telah
diterima.
Presiden Morsi telah dan masih ditahan oleh tentera.
Kerajaan sementara ditubuhkan. Perlembagaan baru sedang dibuat. Pilihan
raya presiden dijanjikan akan dijalankan secepat mungkin. Tentera
berjanji akan berundur.
Ketika saya menulis ini kumpulan
penyokong Morsi masih lagi berhimpun di sekitar Masjid Rabiah
Al-Asdawiyah. Dalam masa yang sama berpuluh ribu anak muda Tamarod masih
juga berhimpun di Dataran Tahrir.
Jumlah warga Mesir yang gugur
terus bertambah. Ada yang menjadi mangsa soldadu. Ada yang terbunuh
dalam pergaduhan antara penyokong dan penentang Morsi.
Hakikatnya
keadaan politik Mesir dan ekonomi Mesir masih belum stabil. Suasana
masih cair dan tegang. Bulan puasa ini disambut oleh warga Mesir dengan
tidak ketentuan. Ditambah pula dengan melonjaknya harga bahan makanan.
Pada hemat saya, bukan sesuatu yang senang untuk memahami apa yang
berlaku di Mesir. Negara ini salah sebuah negara tertua dan penuh dengan
sejarah. Mesir - seperti China dan India - salah sebuah negara membawa
tamadun dan pencerahan kepada umat manusia.
Mesir selain dari
memperkenalkan bir dan alkohol juga memperkenalkan konsep Tuhan dan
konsep Yang Maha Esa kepada umat manusia. Ribuan tahun dahulu tamadun
ini diperintah oleh Firaun, diperintah oleh Raja, pernah dijajah oleh
Rom kuno.
Napoleon pada tahun 1798 datang menakluk Mesir.
British, Itali dan Perancis - kuasa imperialis Barat ini - semuanya
pernah menjadi tuan kepada Mesir.
Politik Mesir moden bermula
dengan Revolusi 1952 apabila soldadu merampas kuasa dari raja. Kumpulan
tentera yang memanggil diri mereka Free Officers Movement menghalau Raja
Farouk dari bumi Mesir.
Rampasan kuasa tentera ini melahirkan Republik Arab Mesir.
Dekri tak boleh dakwa presiden
Gamal Abdel Nasser menjadi presiden kedua pada tahun 1956. Nasser, sama
seperti Presiden Sukarno adalah kaum nasionalis yang memperjuangkan
kemerdekaan dan bangun melawan penjajah.
Nasser bekas kolonel
antiimperialis yang membawa garis politik progresif ke dalam politik
Mesir dan bumi Arab. Justeru kita akan gagal memahami peranan soldadu
dan tentera Mesir jika kita hanya berupaya mengambil contoh
tentera-tentera dari negara bekas tanah jajahan British.
Contohnya, dari segi sejarah Askar Melayu ditubuhkan oleh British bukan
untuk melawan British tetapi untuk menjaga kepentingan British. Askar
Melayu bukan melawan British tetapi melawan "orang yang melawan
British".
Ini tidak berlaku dalam budaya soldadu dan tentera Mesir. Tentera Mesir bangun 'bertamarod' menentang British.
Tentera
Mesir bertamarod menghalau kaum feudal. Apa yang saya maksudkan ialah
soldadu Mesir ini memiliki sejarah menyebelahi rakyat.
Mari kita
lihat apa yang terjadi sehingga menyebabkan tentera Mesir merampas
kuasa. Semuanya bermula apabila anak-anak muda Mesir sedar bahawa
revolusi pertama mereka telah dibajak.
Cita-cita untuk
mendirikan Mesir yang lebih demokratik gagal. Presiden Morsi dari parti
Ikhwan Muslimin gagal menunaikan janji pendemokrasian.
Tuntutan
utama anak muda untuk mengenal dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab
ke atas kematian lebih dari 100 orang dalam revolusi pertama.
Menuntut
agar dilakukan dasar ekonomi yang membantu kaum miskin. Mengambil dasar
pro-Palestin dan memutus hubungan dengan Israel. Tetapi Morsi tidak
ambil 'pot'.
Bagaimanapun, ada satu langkah politik Morsi yang
cukup memeranjatkan Mesir. Morsi meluluskan dekri yang mana sang
presiden tidak boleh didakwa 'dakwi'.
Ini mengejutkan seluruh
rakyat Mesir dan meyakinkan orang ramai bahawa revolusi mereka telah
dibajak. Dekri ini ditentang habis-habisan. Tidak dapat tidak Morsi yang
menunjukkan sikap antidemokrasi terpaksa memansuhkan dekri ini.
Dekri
seperti ini tidak pernah wujud walaupun dalam pemerintahan Mubarak.
Semua ini menjana gerakan pendemokrasian untuk menyingkirkan Morsi.
Pada pertengahan bulan April 2013, anak-anak muda memulakan kempen
tandatangan menuntut Morsi berundur. Kempen bawah payung Tamarod ini hanya bercadang untuk mendapatkan 15 juta tanda tangan.
Angka 15 juta diambil sebagai menganjing. Ini kerana Morsi mendapat sokongan 13 juta pengundi.
Justeru Tamarod mahu dilihat mendapat dua juta sokongan yang lebih banyak dari apa yang Morsi dapat dalam pilihan raya presiden.
22 juta tandatangan tolak Morsi
Presiden Morsi pada awalnya memperlekehkan kempen ini. Sama seperti
yang sering berlaku dalam politik Malaysia, Subhi Saleh, seorang
pemimpin Ikhwan Muslimin menyifatkan kempen Tamarod sebagai ‘gerakan
cemburu' .
Tidak cukup dengan agenda ‘cemburu', Ahamad
al-Mughayyir ketua Pemuda Ikhwan mencadangkan agar anak muda di belakang
Tamarod dilucutkan kerakyatan.
Presiden Morsi akhirnya
mengarahkan polis menahan pemimpin pelajar dan anak muda yang
melancarkan kempen Tamarod. Penangkapan berlaku.
Sepuluh orang
pelajar dari Universiti Kaherah dan empat dari Universiti Sohag ditahan.
Mereka ditahan menggunakan undang-undang yang sering digunakan Mubarak
untuk menggodam anak muda dan mahasiswa.
Ini sama seperti yang
berlaku di Kedah - bekas negeri Pakatan Rakyat - pada tahun 2011 yang
lalu. Menteri besar ketika itu, Azizan Razak mahu menggunakan AUKU -
yang ditentang Pakatan - untuk membuang lima anak mahasiswa dari pelajar
Kolej Universiti Insaniah Kedah.
Tanpa disangka-sangka, kempen
tandatangan Tamarod ini melimpah ruah ke seluruh Mesir. Dari bandar ke
pekan, dari pekan ke kampung.
Akhirnya 22 juta tanda tangan dikumpulkan. Dengan ini Tamarod merasa bahawa masanya telah sampai untuk presiden Morsi mengundur.
Pada 30 Jun 2012 yang lalu, warga Mesir sekali lagi turun ke jalan
raya. Sama ada 10 atau 15 atau 30 juta warga Mesir turun ke jalan raya
menuntut Morsi mengundur akan terus menjadi tajuk bualan dan terus
dibincangkan.
Untuk saya ini tidak penting. Apa yang penting,
Tamarod - gerakan anak muda - mengambil garis politik yang tepat.
Tamarod mengambil wadah jalan raya untuk membuka ruang demokrasi.
Presiden Morsi diberi tarikh berundur. Dalam ucapan terakhirnya sebagai
presiden, Morsi berkata hampir 30 kali tentang haknya sebagai presiden.
Sayangnya tidak sekali pun presiden Morsi menyentuh tentang
keadaan ekonomi rakyat atau menyentuh tentang tuntutan jutaan anak muda
yang sedang berkumpul di Dataran Tahrir.
Justeru, tiga hari kemudian tentera masuk untuk mengambil alih kuasa.
Dari sini timbul persoalan apakah peranan tentera itu demokratik atau
antidemokratik. Dalam bab ini perbincangan masih diteruskan. General
Abdel-Fattah el-Siss berkata tentera Mesir mencelah masuk untuk
memastikan daulah Mesir tidak runtuh.
Kita wajib sedar, walaupun
tentera Mesir memiliki sejarah prorakyat, lembaga ini juga berjaya
dirasuah oleh Hosni Mubarak selama 30 tahun.
Tentera Mesir kini
menjadi elit politik dan elit ekonomi di negara itu. Pembaca mungkin
susah untuk melihat jelas tentang peranan tentera Mesir ini.
Ini kerana di Malaysia, peranan soldadu kita hanya satu - mempertahankan negara dari serangan musuh luar.
Tentera Malaysia belum pernah menjadi kuasa penentu arah politik tanah air dan belum pernah berperang.
Saudi pertama iktiraf rampasan kuasa
Tentera Mesir lain coraknya. Dalam konteks politik Timur Tengah, Mesir
adalah negara Arab terbesar dengan 84 juta penduduk. Tentera Mesir
terulung di bumi Arab.
Tentera Mesir pernah berjaya memerangi Israel pada Oktober 1973 untuk mendapatkan kembali Semenanjung Sinai.
Hanya Perjanian Camp David 1978 yang membatalkan permushan antara Mesir dengan Israel.
Tentera Mesir wajib dimandulkan. Amerika melihat tentera Mesir sebagai
bala tentera yang berpontensi melawan Israel. Justeru tentera Mesir
telah, sedang dan akan terus dipersenjatai dan diberi dana oleh Amerika.
Bukan bertujuan untuk menyerang Isreal. Mereka diberi dana agar
tentera Mesir sentiasa tunduk setia untuk menjadi budak suruhan kepada
kuasa imperial Anglo-Amerika.
Kuasa imperialis Anglo-Amerika
tahu bagaimana pada satu ketika dahulu bawah Presiden Nasser, bukan
sahaja Mesir menjadi progresif malah politik Mesir yang antifeudal
mempengaruhi Syria untuk bersatu dengannya pada tahun 1958.
Pengaruh
Mesir di Iraq membawa kepada rampasan kuasa pada tahun 1958 dan
dihapuskan kuasa raja. Di Libya, Kolonel Gadaffy merampas kuasa pada
tahun 1969 dan menghalau Raja Idris - sama seperti yang telah dilakukan
Gamal Abdel Nasser pada tahun 1952.
Fahaman nasionalis antifeudal dari tentera Mesir jelas mengancam kepentingan kuasa politik dan ekonomi ekonomi Anglo-Amerika.
Sistem
ekonomi kapitalis yang berpaksikan bahan bakar petroleum akan runtuh
jika telaga minyak ini dimiliki dan dikawal oleh kaum nasionalis
progresif.
Jangan hairan apabila Presiden Obama terus memberi sokongan senjata dan lambakan dana kepada tentera Mesir.
Harus dihitamputihkan di sini bahawa bahawa negara pertama yang mengiktiraf rampasan kuasa di Mesir datang dari Arab Saudi.
Ini
diikuti dengan berbilion dolar yang dijanjikan oleh Saudi, Kuwait dan
Qatar kepada rejim baru di Kaherah. Apa makna semua ini?