Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata peratusan itu ialah yang tertinggi dan tidak pernah dicatat dalam pilihan raya umum atau PRK sebelum ini.
"PRK Kajang sehingga 12 tengah hari hanya 40 peratus turun mengundi tetapi pada PRK Balingian pada pukul 11 pagi 53 peratus atau 7,085 pengundi dah keluar mengundi, ini satu sejarah amat baik.
"Jika berterusan kita yakin apabila pusat-pusat pengundian ditutup pada sebelah petang ini akan mencapai sasaran 80 peratus yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya kepada pemberita di Mukah.
Beliau juga berkata proses pengundian pada sebelah pagi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan provokasi.
"Ada isu teknikal seperti pengundi yang memeluk agama Islam menggunakan nama lain tetapi dalam MyKad nama lain dan ada seorang pengundi kad pengenalan rosak tetapi ingat nombor kad pengenalan namun ini berjaya diselesaikan,"katanya.
Beliau berkata SPR juga sedang menyiasat dakwaan seorang pemilih yang datang untuk mengundi namun namanya tiada dalam senarai daftar pemilih walaupun pernah mengundi di kawasan sama sebanyak dua kali.
"Kita akan semak dengan teliti sama ada dakwaan itu benar atau bohong, biasanya jarang berlaku nama pengundi dipotong atau dipindahkan ke tempat lain," katanya lagi.
Sementara itu, proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bermula pada pukul 8 pagi ini dengan 13,233 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
SPR membuka 21 pusat pengundian melibatkan 16 buah sekolah rendah dan menengah, tiga dewan serba guna/balai raya serta dua rumah panjang.
Abdul Aziz berkata daripada 21 pusat pengundian itu pusat undi di Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick Mukah di Kuala Lama mempunyai jumlah pengundi terbanyak iaitu 1,323 orang dan akan ditutup pada pukul 5 petang.
"Pusat mengundi SK Kuala Kenyana Mukah dari daerah Kenyana mempunyai jumlah pengundi paling sedikit iaitu 152 pengundi dan akan ditutup pada pukul 2 petang," katanya.
PRK Balingian menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas pegawai daerah Dalat Yussibnosh Balo, 48, dan seorang ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang,55, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Yussibnosh adalah anak tempatan manakala Abdul Jalil berasal dari Bintulu, tiga jam perjalanan
Yussibnosh akan mengundi di Dewan Serba guna Kampung Tellian Tengah, Mukah yang terletak tidak jauh daripada kediaman ibu bapanya manakala Abdul Jalil bukan pengundi berdaftar di DUN itu.
Proses pengundian awal PRK DUN Balingian berlangsung pada 25 Mac lepas dengan 132 atau 99.25 peratus pengundi awal menjalankan tanggungjawab di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Mukah.
SPR menjangka 10,586 atau 80 peratus pemilih akan keluar mengundi hari ini.
- Bernama
No comments:
Post a Comment