Friday, March 28, 2014

Walaupun berisiko Anwar tanding presiden PKR


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan bertanding jawatan presiden PKR  dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu kali ini.
Borang pencalonanya diserahkan oleh Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong sekitar jam 11 pagi tadi.

Pencadang Anwar untuk jawatan tersebut ialah bekas timbalan presiden, Dr Syed Husin Ali dan ia disokong oleh Low sendiri.

Namun begitu, Anwar berdepan dengan risiko pembatalan oleh Pendaftaran Pertubuhan jika beliau terpilih, ekoran sabitannya dalam kes liwat 11.

Karpal Singh pula sebaliknya hari ini mengumumkan melepaskan jawatan pengerusi DAP kebangsaan ekoran sabitannya dalam kes di bawah Akta Hasutan.

Anwar dan Karpal masing-masing telah memfailkan rayuan terhadap terhadap penghakiman dan sabitan ke atas mereka.

Mengikut Seksyen 9A (1) (b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika telah disabitkan atas apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden Tian Chua, masing-masing telah menyerah borang pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Anwar tidak hadir sewaktu borang pencalonannya diserahkan kerana berehat selepas pulang dari Kota Bharu, lewat malam tadi, kata Low.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mengumumkan senarai terkini pencalonan dalam sidang media ringkas pada jam 12 tengahari tadi.

Menurutnya, enam nama telah dicalonkan untuk jawatan naib presiden - Datuk Dr Mansor Othman, Baru Bian, Fuziah Salleh, N Surendran, Suresh Kumar, dan Mustafa Kamil Ayub.

MP Kuantan, Fuziah Salleh yang merupakan naib presiden akan mempertahankan jawatan yang dimenanginya pada pemilihan sebelum ini.

Sementara MP Padang Serai, N Surendran dan MP Nibong Tebal, Datuk Dr Mansor Othman pula akan mencuba nasib untuk dipilih selepas dilantik ke jawatan itu sebelum ini.

Suasana penamaan calon setakat ini berjalan lancar dengan tiga buah khemah didirikan di depan ibu pejabat PKR.

Tiga khemah tersebut digunakan sebagai ruang untuk penyokong calon berehat sementara calon mereka menyerahkan borang.

Penyerahan borang pencalonan bagi pemilihan parti itu bermula pukul 10 pagi pagi ini dan ditutup pada pukul 5 petang.

Pemilihan dijangka berlangsung bulan depan dan akan berterusan sehingga Mei untuk ahli parti itu memilih kepimpinan untuk beberapa peringkat termasuk cawangan, cabang dan kepimpinan pusat.

No comments:

Post a Comment