Thursday, March 20, 2014

Pakatan cadang tubuh PSC siasat MH370



Pakatan Rakyat mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menyiasat kehilangan MH370, sekali gus menyokong usaha mencari dan menyelamat (SAR) dalam insiden itu.

Usul pindaan satu perenggan itu sebagai tambahan kepada usul ucapan menjunjung kasih oleh Tan Sri Shahrir Samad (BN-Johor Bharu) minggu lalu berdasarkan peraturan mesyuarat 261A, yang dibentangkan oleh Anthony Loke (MP-Seremban).

"Kita tidak ubah, kita tambah satu perenggan," katanya yang juga setiausaha organisasi DAP dalam sidang media di lobi perlimen.

Cadangan usul pindaan yang berbunyi:

"Bahawa dewan yang mulia ini juga mengambil ketetapan menyatakan sokongan penuh kepada semua usaha operasi mencari dan menyelamat dalam krisis kehilangan pesawat MH370 dan memutuskan bahawa Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen ditubuhkan serta merta untuk menyiasat segala aspek kehilangan MH370.”

Sambil membaca satu klausa peraturan mesyuarat, Anthony berkata usul yang dicadangkan berkaitan usul menjunjung kasih yang dibentangkan oleh Shahrir malah peristiwa kehilangan pesawat MH370 turut disentuh dalam titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Anthony yang juga ADUN Chennah berkata beliau akan menghantar notis cadangan pindaan usul itu kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas sidang media itu untuk pertimbangan dan kelulusannya.

"Saya menyeru kepada pihak kerajaan dan penyokong kerajaan supaya menyokong pindaan usul ini dan membenarkan usul ini diluluskan.

"Kita ada seminggu, dan sudah ada masa bagi kerajaan untuk (bersetuju) menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan khas parlimen selepas menteri-menteri menjawab perbahasan dalam usul ucapan titah diraja.

"(Kita) berharap perdana menteri dapat memberi jawapan dengan cepat supaya kita dapat menghantar mesej bahawa parlimen Malaysia sedia menjangkaui perbezaan politik," katanya.

Anthony sebelum itu, membentang usul pindaan itu dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee tidak dapat membuat keputusan segera memandangkan ia dibuat dalam perbahasan usul dan bukan dalam sesi yang khusus.

"Saya tidak boleh buat keputusan (bersetuju) serta merta, saya akan lihat kepada peraturan," kata Ronald.

No comments:

Post a Comment