Waktu rehat dari keletihan yang diharungi dalam usaha menyelamatkan negara ini melalui Pilihan Raya Umum ke-13 pada tanggal 5 Mei tahun lalu telah sampai ke penghujungnya. Kini sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersedia untuk aksi lebih besar.
Belum pun masuk setahun kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan pada PRU 13, mereka menunjukkan taring dengan menghukum bukan sahaja pemimpin politik lawannya, malah rakyat jelata turut menjadi mangsa kezaliman. Satu persatu pemimpin dan pejuang rakyat dalam rangka disumbat ke penjara, dalam masa sama juga satu persatu janji ‘Rakyat Didahulukan’ dicemari tanpa ehsan.
Justeru itu, ayuh kita tamatkan segera onar penderitaan rakyat dengan bersama melancarkan satu fasa gagasan perjuangan yang diperbaharui – #RakyatBangkit Reformasi 2.0 “Kembalikan Keadilan – Hentikan Kezaliman”.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai tuan rumah aksi kali ini menyeru kehadiran orang ramai pada malam ini, 21 Mac 2014 jam 8.30 malam di Stadium Kajang dalam aksi Pelancaran Jelajah #RakyatBangkit Reformasi 2.0. Ia sebuah himpunan permulaan, hadirlah dengan tema hitam sebagai lambang perlawanan, ini masanya rakyat menunjukkan kekuatan.
Penjelasan mengenai kecurangan sistem kehakiman dalam pengendalian rayuan kes Fitnah II ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes hasutan Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh akan dibarisi oleh Anwar dan Karpal sendiri selain Mat Sabu, Tian Chua, Anthony Loke, Dr Hatta Ramli, Chegu Bard dan Rafizi Ramli.
SAMM menggesa semua pihak bersatu, kerana rakyat yang bersatu tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana regim sekalipun. SAMM menjemput semua pihak bersama menjayakan hari besar titik mula perlawanan baru ini.
Siri himpunan #RakyatBangkit Reformasi 2.0 akan menjelajah ke seluruh negara sebelum hari kemuncaknya – bersama himpunan gergasi 1 Mei di medan jalan raya.
Kehadiran awal di sebelah petang amatlah digalakkan bagi memeriahkan program sebelumnya iaitu “Bersama Srikandi Masa Depan Negara” yang bermula jam 5 petang. Turut bersama dalam program 5 petang ialah YB Nurul Izzah Anwar, YB Rodziah Ismail, YB Kashturi Pato, YB Elizabeth Wong, Aishah, Aiman Athirah, Cikgu Mala, YB Fuziah Salleh, YB Dr Siti Mariah dan YB Hannah Yeoh.
Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard
Pengasas SAMM
Pengasas SAMM
No comments:
Post a Comment