Wednesday, April 9, 2014

Azmin ungkit isu MOU air dalam DUN

Radzi Razak

Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mahu kerajaan Selangor memastikan sebarang perjanjian mengenai air selepas ini dibentangkan kepada ADUN terlebih dahulu dan dikecualikan dari Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau mempertikaikan keputusan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak mendedahkan kandungan MOU antara negeri dan pusat itu.

"Sebelum perjanjian ini ditandatangani saya desak perlu ada persetujuan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar ada mukadimah desak agar perjanjian tidak terikat dengan OSA kerajaan persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau perkara perjanjian itu penting kerana segala keputusan akan memberi impak kepada rakyat Selangor.

Bagaimanapun Azmin masih mempertahankan Khalid apabila Budiman Mohd Zuhdi (BN-Sg Panjang) bertanya adakah Azmin bersetuju Khalid tidak mendapat nasihat yang betul.

"Saya mengambil pendirian (perkara) ini tanggungjawab bersama yang harus dipikul MB, exco dan ahli yang berhormat dalam dewan ini," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment