Wednesday, April 30, 2014

Perutusan Hari Pekerja 2014 Menteri Besar Selangor


Mb-Selangor-Khalid-IbrahimAssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Muhibah.
(1) Alhamdulillah, dengan izin Allah, kita berpeluang sekali lagi menjengah tanggal 1 Mei 2014. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua kakitangan sektor awam dan sektor swasta di seluruh Malaysia secara amnya dan di Selangor secara khususnya.
(2) Kita semua maklum, sejak diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun 1973, 1 Mei saban tahun diraikan di Malaysia sebagai tarikh keramat untuk menghargai khidmat, keringat dan penat lelah pekerja di setiap peringkat serta meraikan jasa dan bakti mereka yang tidak terbalas. Hari ini lebih 80 negara lain di seluruh dunia turut merayakan tarikh tersebut. Wajar diakui bahawa setiap pekerja sama ada bergaji bulanan, mingguan atau harian malah berstatus tetap atau sementara berganding bahu berusaha dan menyumbang, banyak mahupun sedikit terhadap pembangunan negeri dan negara menurut kemampuan dan bidang tugas masing-masing, demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
(3) Tarikh 1 Mei saban tahun juga menzahirkan pelbagai reaksi dan ragam manusia yang berbeza dari satu tahun ke tahun yang lain. Apa yang pasti, saban tahun, rata-rata pekerja harus menempuh beban kerja yang bertambah sedangkan kenaikan upah atau gaji jelas tidak setimpal, jauh ketinggalan di belakang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara amnya.
(4) Meskipun ada semakan tahunan, nilai gaji atau upah menyusut disebabkan desakan kos sara hidup yang meningkat. Bayangkan jika pendapatan bulanan di bawah RM3,000 hari ini tidak cukup bagi menampung keperluan keluarga bersaiz empat orang terutama di kawasan bandar. Apatah lagi sekiranya pendapatan bulanan isirumah di bawah RM800 iaitu setara dengan paras garis kemiskinan (PGK) nasional sedangkan gaji minimum bulanan yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan adalah RM900 bagi tenaga kerja di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak!
(5) Di samping itu, jaminan pekerjaan atau mata pencarian tetap seumur hidup bukan lagi satu norma dalam pasaran buruh bagi mana-mana negara hari ini. Maka, soal sumber pendapatan tetap yang terjamin sentiasa menguasai benak fikiran semua golongan pekerja sama ada mereka yang berpangkat tinggi atau tidak.
(6) Di kesempatan ini, izinkan saya saya melahirkan rasa simpati yang tidak terperi kepada golongan pekerja berpendapatan rendah. Bukan sahaja mereka perlu berhadapan dengan kos sara hidup yang terus melambung malah nilai wang menyusut atas gaji yang meningkat pada kadar yang sangat perlahan. Walau apa pun, mahu tidak mahu, setiap pekerja terpaksa belajar berjimat-cermat dan berbelanja menurut keperluan dan kemampuan sahaja.
hari_pekerja(7) Maka, langkah proaktif Kerajaan Negeri Selangor menggunapakai PGK pada kadar RM1,500 harus dipuji kerana ia bukan sahaja lebih realistik malah membantu memperbetulkan gambaran yang kononnya kemiskinan sudah dibasmi di Malaysia atau hampir tiada rakyat yang hidup melarat atau terbeban akibat rasionalisasi subsidi sebagai punca utama lonjakan inflasi. Dengan PGK lebih tinggi ini, dianggarkan 30% rakyat Selangor hidup di bawah garis kemiskinan. Ini bermakna bilangan penerima bantuan yang layak meningkat di Selangor, sememangnya terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, sekaligus memberi impak kepada jumlah peruntukan Kerajaan Negeri bagi program membasmi kemiskinan dan kumpulan sasaran yang diutamakan.
(8) Selaras dengan hasrat Pakatan Rakyat mencapai sasaran pendapatan isirumah minimum sebanyak RM4,000, Kerajaan Negeri Selangor sedang memuktamadkan satu pelan tindakan strategik ke arah mencipta peluang pekerjaan inovatif alaf baharu yang berpendapatan tinggi. Antara lain, pelbagai program latihan teknikal khusus bagi belia luar bandar telah dirangka untuk menjalani kursus dalam bidang perbidanan, perpaipan dan elektrikal di mana terdapat permintaan industri yang tinggi bagi bakat-bakat dalam bidang khusus sebegini dari dalam dan luar negara.
(9) Bagi warga negeri Selangor, syukur Alhamdulillah, golongan pekerja pelbagai peringkat juga dapat menarik nafas lega kerana Kerajaan Negeri memberikan pelbagai bantuan bertujuan membantu meringankan beban rakyat menyara kehidupan diri dan keluarga.
(10) Rakyat Selangor dari usia bayi hingga usia emas, merangkumi kanak-kanak, belia, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, pesara atau pekerja, layak menerima pelbagai bantuan kebajikan melalui agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” atau MES sejak tahun 2008. Selain diberi air percuma 20 meter padu setiap bulan, golongan rakyat yang layak disediakan bantuan berupa Tabung Anak Selangor (Tawas) dan Hadiah Masuk Universiti.
(11) Rakyat Selangor juga mendapat bantuan tambang bas sekolah, pinjaman tanpa faedah untuk usahawan kecil, pengangkutan percuma di beberapa bandar terpilih, pemeriksaan kesihatan percuma, khairat kematian kepada waris ahli Tawas dan warga usia emas, latihan kemahiran untuk belia, peruntukan belanja membeli belah bagi warga usia emas, dan banyak lagi inisiatif berunsur kebajikan yang ditawarkan menerusi agenda MES.
pekerja_kuasa_perubahan(12) Menyedari kondisi yang menyedihkan dan tidak kondusif untuk dihuni di kebanyakan projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor yang majoritinya didiami oleh golongan pekerja berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah selian EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar untuk membuat kajian holistik dan mengenalpasti cara terbaik memberi wajah baru, membaikpulih dan menyelenggara bangunan, fasiliti awam seperti lif, dewan serbaguna, taman permainan, pusat kutipan sampah dan sebagainya serta memelihara persekitaran di kawasan PPR. Ini termasuk kos pelaksanaan inisiatif ini dan bagaimana ianya dibiayai, penglibatan semua pihak berkepentingan terutama penghuni PPR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta perkara-perkara berkaitan yang lain. Meskipun Jabatan Perumahan Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan agensi pelaksana utama PPR di seluruh Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor berpendapat PBT wajar memainkan peranan memastikan kesejahteraan dan kebajikan penduduk di Selangor di kawasan PPR yang boleh ditakrifkan sebagai “kampung dalam bandar” berdasarkan paras pendapatan dan pendidikan komuniti di situ.
(13) Akhir kata, saya menyeru kepada seluruh warga kerja agar sentiasa berusaha menjadi pekerja yang produktif, berhemah dan berintegriti. Untuk itu, kesihatan badan, jiwa dan minda yang banyak ditentukan oleh pemakanan yang seimbang, kegiatan jasmani yang cukup dan tempat kediaman yang bersih dan selesa, perlu sentiasa dijaga. Apabila ada kesempatan di hujung minggu atau hari cuti umum, pergilah berehat, bersukan atau carilah kedamaian untuk kembali bekerja dengan penuh semangat dan ketekunan yang tinggi.
Sekianlah sahaja. Terima kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Maju Jaya

No comments:

Post a Comment