Thursday, April 10, 2014

Lebih 100 warga Myanmar mendarat di Penaga

Sejumlah 113 orang termasuk 39 kanak-kanak warga Myanmar ditahan ketika mendarat di Jeti Sungai Abdul di Penaga di Kepala Batas awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan sekumpulan lelaki mencurigakan berada di Jeti Sungai Abdul, di Kepala Batas pada pukul 2.30 pagi.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis yang pergi ke tempat kejadian mendapati 23 lelaki warga Myanmar di kawasan itu dan hasil soal siasat mendapati mereka baru turun dari sebuah tongkang serta berenang ke jeti berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan, polis menemui tujuh orang lagi termasuk seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki bersembunyi berhampiran semak di situ," katanya kepada pemberita, di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata seorang daripada mereka yang ditahan itu memaklumkan terdapat sebuah tongkang di perairan Sungai Abdul dan masih banyak rakyat Myanmar di dalamnya.

Abdul Rahman berkata polis dengan bantuan nelayan di kawasan itu berjaya menjejaki tongkang berkenaan dan menundanya ke Jeti Bagan Ajam kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Dalam tongkang itu terdapat 83 orang termasuk dua tekong berusia 20-an dan hasil siasatan mendapati mereka yang merupakan etnik Rohingya belayar dari Myanmar sejak 15 hari lepas. Kebanyakan mereka dalam keadaan kelaparan berikutan bekalan makanan yang bawa telah habis," katanya.

Beliau berkata seorang daripada mereka yang ditahan itu patah kaki ketika cuba melompat keluar dari tongkang berkenaan dan lelaki berusia 30-an itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 58 lelaki dewasa; 25 kanak-kanak lelaki; 16 wanita; dan 14 kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hingga 50 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Lokap Berpusat di Bayan Baru, katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat sama ada mereka dibawa masuk untuk dijual kepada sindiket atau sebagainya.

Bernama

No comments:

Post a Comment