Friday, April 11, 2014

Selangor catat jumlah pelaburan kedua tertinggi di Malaysia

selangor flagSHAH ALAM: Selangor mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.833 bilion pada tahun 2013 dan 228 projek telah diluluskan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, dari jumlah tersebut sebanyak RM3.625 bilion adalah penyertaan pelabur asing dan RM6.208 bilion daripada tempatan.
Menurutnya, lima negara pelabur asing paling utama di Selangor pada 2013 adalah Jepun, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Switzerland.
“Nilai pelaburan Jepun (RM1.017 bilion), Singapura (RM840 juta), Amerika Syarikat (RM459 juta), China (Rm228 juta) dan Switzerland (RM211 juta) melibatkan projek berasaskan teknologi tinggi.
“Syarikat berkenaan adalah, Schlumberger, Upeca Aerotech Sdn Bhd, Upera Flowtech Sdn Bhd, Denso (Malaysia) Sdn Bhd, dan Shin-Etsu Polymer,” Katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Tanjong Sepat, Mohd Haslin Hassan ketika sidang DUN.
Antara lain yang turut meningkatkan jaringan dengan kedutaan asing di Malaysia, dewan-dewan peniaga asing menerusi program kunjungan hormat yang diadakan dari masa ke semasa.
Selain itu, Selangor  juga mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan syarikat milikan asing yang ada di Selangor bagi memperkenalkan negeri kepada pelabur-pelabur di negara mereka.

No comments:

Post a Comment