Wednesday, April 9, 2014

Tarik balik pertuduhan terhadap Mejar Zaidi - Hanipa

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan mahkamah tentera semalam yang menerima lima daripada tujuh bantahan awal pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad, peguamnya Hanipa Maidin menyeru pihak terbabit menarik balik kes itu.

Beliau berkata, Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan semalam menerima bantahan lima pertuduhan itu dengan alasan ianya tidak mendedahkan kesalahan.

Kesemua bantahan itu akan dirujuk kepada "pihak berkuasa sidang" untuk menentukan semula pertuduhan.

"Saya rasa pertuduhan tak perlu dibuat. Kepada pihak terbabit kalau boleh tarik balik.

"Dia (Mejar Zaidi) hanya laksana tanggungjawab sebagai seorang rakyat. Itu hak warganegara," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Hanipa sebelum ini mengemukakan bantahan itu mengikut Kaedah 62 Kaedah-kaedah Acara Angkatan Tentera (Mahkamah Tentera) 1976.

Beliau ketika mengemukakan hujahnya semalam berkata, lima pertuduhan yang dibantah itu mengandungi kecacatan dan tidak betul kerana ia tidak wujud dalam Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Meja Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Lima daripada tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 dan dua lagi mengikut Seksyen 51 akta sama, berhubung kesalahan menghantar pesanan SMS berbaur politik dan hasutan.

Pertuduhan berkenaan dijalankan ke atas Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia itu pada 7 Februari lalu.

Mahkamah semalam turut menetapkan tarikh 10, 11 dan 12 Jun sebagai tarikh baru untuk mahkamah bersidang semula sementara menunggu pertimbangan dari pihak berkuasa sidang.

Selain Zainurin dan Saadon, empat orang lagi ahli mahkamah yang mendengar kes ini adalah Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

No comments:

Post a Comment