SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama Exco bagi menetapkan tarikh pemberhentian catuan air.
Katanya lagi, perjumpaan tersebut akan diadakan pada hari Jumaat ini ataupun Isnin minggu hadapan.
“Paras air di ampangan mula meningkat dan sekiranya perjumpaan ini dilakukan segera adalah lebih baik,” ujarnya sewaktu di temui media di lobi Dewan Annex.
Bahkan, ADUN Pelabuhan Klang itu juga menyatakan beliau sendiri akan memantau perkembangan paras air di ampangan dari hari ke hari.
Hingga kini, sebanyak 3.6 juta orang di enam daerah iaitu Gombak, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor terlibat dalam proses pengagihan air berjadual ini.
Sementara itu, dalam perbahasan beliau berkata, kerajaan negeri telah bersedia dengan pelan alternatif menghadapi masalah air dan tahap kekurangan bekalan belum lagi mencapai darurat.
“Pada kebiasaannya pada April dan Mei adalah musim hujan tetapi takungan air biasanya dilakukan pada Oktober dan September, sebelum musim tengkujuh, saya berharap minggu ini kita akan dapat selesaikan masalah catuan ini,” katanya.
Semetara itu, ketika ditanya mengenai teknologi membran yang pernah digembar-gemburkan, beliau menjawab bahawa ia merupakan teknologi yang bagus, walau bagaimanapun memerlukan masa yang lama dari segi pembinaan.
“Dalam masa terdekat ini, saya akan menjelaskan kepada rakyat keadaan terkini air negeri dan pelan alternatif supaya mereka lebih faham.
“Saya juga tidak mahu sekiranya pelan catuan ini diteruskan dalam jangka masa yang lama kerana ia akan menunjukkan kelemahan negeri mengatasi krisis air, jadi kita cuba selesaikan segera,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau juga akan bertemu Menteri Teknologi, Air dan Hijau (KeTTHA) untuk perbincangan lanjut mengenai Seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air Selangor (WSIA 2006).
“Mesyuarat itu akan bincangkan bagaimana nak melaksanakan Seksyen 114, dan perkembangan terbaru mengenai syarikat konsesi air yang terlibat,” katanya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah meluluskan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Keempat yang akan berkuat kuasa sehingga 30 April.
Manakala pelan catuan peringkat pertama dan ketiga kekal dilaksanakan di kawasan terlibat berdasarkan jadual SPAN dan Syabas sebelum ini.
Dalam pada masa yang sama, Khalid turut menasihati agar semua ADUN menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke 13 tahun 2014, di Dewan Negeri Selangor.
“Jika tidak hadir, rakyat akan persoalkan kenapa sudah dipilih, tetapi tidak hadir ke dewan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Speaker tidak boleh ambil tindakan kepada ADUN yang tidak menghadiri Mesyuarat Sidang Dewan Negeri, kerana seseorang itu boleh hadir dan juga boleh tinggalkan dewan, begitu juga di dalam Parlimen.
“Jika seseorang itu tidak mahu hadir, mereka haruslah menulis surat kepada dewan, tetapi itu jika mereka tidak mahu hadir sepanjang sidang dewan, tetapi dalam seminggu dia hadir dua tiga kali dah kira okay,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment