SHAH ALAM: Catuan air yang dilaksanakan secara berperingkat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Putrajaya sejak Februari lalu akan dihentikan serentak di semua kawasan terlibat mulai esok.
Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semua kawasan yang terlibat dengan catuan air akan memperolehi bekalan air seperti biasa bermula Khamis atau selewat-lewatnya Jumaat bagi kawasan bertekanan rendah.
“Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Pelan Catuan Bekalan Air Negeri Selangor pada Isnin yang disertai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) serta syarikat-syarikat konsesi,” katanya sewaktu sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz di Shah Alam.
Tambah Khalid, kerajaan negeri telah memaklumkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) untuk dipatuhi dan memastikan pengguna mendapat bekalan air seperti sediakala.
“Kerajaan negeri berpendapat tidak perlu untuk menunggu empangan mencapai tahap 50 peratus kerana yakin usaha keras yang dilaksanakan seperti mengepam air kolam selain hujan berterusan di kawasan tadahan air akan meningkatkan lagi paras empangan,” ujarnya.
Kata beliau lagi, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak yang terlibat seperti LUAS serta JPS akan terus memantau setiap hari perkembangan paras air bagi memastikan paaras air di empangan terus meningkat dan keputusan membatalkan perintah catuan ini akan dikaji dari semasa ke semasa.
Dalam pada masa yang sama, Khalid juga tidak dapat memberi jaminan sekiranya pada masa hadapan, catuan air akan dilakukan semula.
“Saya tidak dapat memberi jaminan bahawa pada masa hadapan bekalan air ini akan mencukupi dan jika perkara ini berlaku semula catuan air akan dilakukan,” katanya.
Bahkan, Khalid turut menolak andaian bahawa keputusan penamatan catuan air ini ada kaitan dengan Pemilihan PKR 2014 dan juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penamatan ini tiada kaitan dengan Pemilihan PKR, kerana keputusan penamatan ini bukan atas keputusan saya seorang tetapi keputusan bersama dan saya menafikan sekiranya keputusan penamatan catuan air ini adalah atas arahan Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim,” jelasnya.
Selain itu juga, Khalid juga telah menulis surat kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada 29 April lalu bagi mendapatkan sokongan dan kebenaran Kerajaan Malaysia untuk kerajaan negeri menggunakan kepakaran Thailand menjalankan pembenihan awan menggunakan kaedah ‘Ejectable Flare Rack’.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat sekatan untuk melakukan teknik ini kerana dipercayai mempunyai unsur-unsur yang mungkin memberi kesan kepada isu keselamatan.” katanya.
Sebelum ini, Khalid turut mengumumkan akan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membeli pam dan membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor
“Pam-pam ini akan digunakan untuk mengepam air sungai yang berlebihan ke kolam takungan sebagai persiapan awal dan akan dipam semula ke sungai apabila musim kering.
“Dengan kaedah ini, pelepasan air daripada empangan akan lebih terkawal dan tempoh untuk empangan mencapai tahap kritikal dapat dilanjutkan antara 5 hingga 6 bulan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment