Thursday, August 14, 2014

Azizah bukti dapat sokongan, gesa Khalid letak jawatan

WawiFiza Abd Halim
SUBANG 14 OGOS : 30 Adun Pakatan Rakyat menyatakan sokongan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Menurut Wan Azizah pentadbiran Selangor perlu dikembalikan kepada Pakatan Rakyat seperti yang dimandatkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.
Jelas Adun Kajang itu lagi, sokongan mereka dinyatakan secara bertulis dalam Akuan Bersumpah yang ditandatangani oleh kesemua 30 ADUN berkenaan, selain mereka hadir sendiri pada hari ini untuk menyatakan sokongan.
“Dengan perkembangan ini, kami yang hadir mengesahkan bahawa kami mempunyai majoriti dalam Dewan Negeri, sekurang-kurangnya sebanyak empat orang ahli berbanding seorang ahli bebas, 12 ahli dari Umno dan 13 ahli dari PAS yang masih belum menyatakan sokongan terbuka.
“Oleh yang demikian, saya telah mengutuskan satu surat kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor pada jam 11.30 pagi ini untuk memohon menghadap dan mempersembahkan sokongan majoriti untuk perkenaan DYMM Tuanku seperti yang diperuntukkkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri,” tegasnya pada sidang media tergempar di Empire Hotel Subang.
Wan Azizah juga  memohon untuk mendapatkan pandangan DYMM Tuanku Sultan Selangor sekiranya ada keperluan bagi YB Speaker memanggil sidang Dewan Negeri Selangor untuk memuktamadkan proses pertukaran YAB Menteri Besar.
Sehubungan itu, Wan Azizah menasihatkan Khalid supaya menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi dengan segera meletakkan jawatan kerana beliau telah hilang sokongan majoriti.
“Beliau seharusnya memudahkan proses peralihan kuasa secara tertib dan tidak membuat sebarang keputusan dasar atau pentadbiran setelah sah kini dengan terbatalnya keabsahan (legitimacy) beliau sebagai menteri besar.
“Keutamaan saya ialah mengembalikan pentadbiran Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat agar segala perancangan dan dasar Pakatan Rakyat dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan seperti mandat yang diberikan rakyat.
“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya rakan-rakan ahli Dewan Negeri dari Pakatan Rakyat yang lain yang belum membuat penyataan sokongan terbuka mempertimbangkan keperluan mendesak ini untuk mengembalikan urusan pentadbiran Kerajaan Selangor seperti biasa.
“Saya juga memuji kesabaran rakyat Selangor dalam menghadapi perkembangan politik mutakhir ini dan menasihati orang ramai agar terus bertenang sementara menunggu ia diselesaikan secara baik melalui jalan perundangan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri,” tegas Wan Azizah.

No comments:

Post a Comment