Tuesday, August 12, 2014

Sedarlah Khalid, yang kamu pecat Exco K’jaan Negeri bukan Exco K’jaan Menteri

eXCO
Kita sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Abdul Khalid Ibrahim memecat 6 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkuatkuasa serta merta.
Tindakan Abdul Khalid Ibrahim tersebut kononnya dibuat berikutan tindakan 6 orang Exco tersebut yang telah membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu blok bertujuan untuk mengurangkan keberkesanan Exco. Adakah tindakan Abdul Khalid itu betul dan berperlembagaan?
Perkara 53(2)(b) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan bahawa atas nasihat Menteri Besar, Sultan hendaklah melantik tidak lebih dari 10 orang dan tidak kurang dari 4 orang dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Berdasarkan peruntukan ini, kuasa melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan terletak pada Sultan atas nasihat Menteri Besar. Perkara 53(7) pula menyatakan bahawa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan memegang jawatan selama yang diperkenankan oleh Sultan dan ahli-ahli termasuk Menteri Besar boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa sahaja.
Abdul Khalid Ibrahim sering meratibkan penyingkirannya harus dibuat selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor nyata tersilap dan bertindak membelakangkan undang-undang apabila memecat 6 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini.
Kenapa saya mengatakan sedemikian? Kerana hanya Sultan sahaja yang boleh memecat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Walaupun Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak menyatakan secara spesifik kuasa pemecatan, saya berpendapat Perkara 53(7) sudah memadai.
Tambahan Seksyen 47 Akta Interpretasi 1948 dan 1967 (Akta 338) menyatakan bahawa sesiapa yang diberikan oleh undang-undang kuasa untuk melantik maka dia juga mempunyai kuasa untuk memecat, menggantung dan lain-lain. Abdul Khalid Ibrahim hanya bertanggungjawab menasihati Sultan dan tidak lebih dari itu.
Peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidaklah jauh berbeza dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Menteri-Menteri selain Perdana Menteri memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, melainkan perlantikan mana-mana Menteri dibatalkan oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Di dalam kes Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri hanya menasihati Yang Dipertuan Agong dan pembatalan dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong.
Saya kira Abdul Khalid Ibrahim perlu sedar dan maklum bahawa keenam-enam yang dipecat serta-merta adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bukan Ahli Majlis Kerajaan Menteri. Oleh itu pemecatan mereka hendaklah mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan bukan sesuka hati.
Afiq M Noor
Lawyers for Liberty (LFL)

No comments:

Post a Comment