Wednesday, August 13, 2014

Kronologi krisis Menteri Besar Selangor

Tan-Sri-Khalid-Ibrahim-642x426SHAH ALAM: Krisis perebutan kerusi Menteri Besar Selangor tercetus dengan ‘Langkah Kajang’ yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas, bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
27 JANUARI: Wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kajang bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK kawasan itu.
Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut setelah gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipertaruhkan untuk kerusi itu.
26 FEBRUARI: Khalid Ibrahim, mewakili Kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak 2008. Tindakan itu mengecewakan pimpinan PKR yang mendakwa Abdul Khalid tidak membincangkan mengenai perkara tersebut dengan mereka.
26 JUN: Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan parti apabila tewas kepada bekas anggota Parlimen Kapar, S.Manikavasagam.
21 JULAI: PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Khalid Ibrahim.
22 JULAI: Khalid Ibrahim dalam kenyataan media berkata walaupun menghormati keputusan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai penggantinya, namun segala tatacara pelantikan perlu dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Khalid Ibrahim berkata sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, beliau akan terus menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar.
25 JULAI: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor atas alasan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
1 OGOS: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyuarakan sokongan penuh parti itu terhadap cadangan meletakkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
4 OGOS: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan nota setebal lebih 40 muka surat mengenai dakwaan salah laku Khalid Ibrahim seperti isu penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor kepada Eco World dan projek pembinaan rumah mampu milik di Sungai Sering, Ukay Perdana.
5 OGOS: Lembaga Disiplin PKR hantar surat tunjuk sebab kepada Khalid Ibrahim berhubung keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
6 & 8 OGOS: Khalid Ibrahim membalas surat tunjuk sebab.
9 OGOS: PKR memecat Abdul Khalid daripada parti berkuatkuasa serta-merta.
Khalid Ibrahim dalam kenyataan media kemudian memberitahu bahawa beliau menerima keputusan PKR untuk memecatnya dari parti walaupun beliau mendakwa tindakan itu salah dan cacat dari segi undang-undang.
10 OGOS: Khalid Ibrahim memberitahu pemberita bahawa beliau akan meneruskan tugasannya seperti biasa sehingga mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor diadakan pada 11 Ogos.
11 OGOS: Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor bagi memaklumkan pemecatannya daripada PKR selain membincangkan kemelut jawatan Menteri Besar.
11 OGOS: Dalam sidang media khas kemudiannya Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Menteri Besar itu turut menyarankan supaya anggota Exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau supaya meletak jawatan. Beliau juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau.
12 OGOS: Empat anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada PAS berkata akan terus berkhidmat di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim seperti yang diarahkan pucuk pimpinan parti itu.
Enam anggota Exco daripada DAP dan PKR dalam kenyataan bersama berkata mereka akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Khalid Ibrahim kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Selain itu, keenam-enam exco tersebut dilaporkan berkata dalam urusan melibatkan mereka, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik. Mereka juga berkata Khalid Ibrahim dan MMKN tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian.
12 OGOS: Khalid Ibrahim mengumumkan telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk memecat enam anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR yang tidak menyokong pentadbirannya.
Keenam-enam Exco terbabit bagaimanapun bertekad untuk datang ke pejabat masing-masing di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam esok kerana menganggap pemecatan itu tidak sah berikutan belum mendapat perkenan Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment