Monday, January 21, 2013

AMK Selangor mohon Sultan campur tangan isu air

Aliff Fikri
21 Jan 2013


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menganjurkan ‘Himpunan Kembalikan Air Kepada Rakyat’ Jumaat ini mendesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyerahkan operasi merawat dan membekal air kepada kerajaan negeri.
Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, ia berikutan kegagalan Syabas menunaikan tanggungjawab membekalkan air terawat mencukupi.

“AMK Selangor terkesan dengan kesusahan dan kepayahan rakyat di beberapa kawasan di Selangor yang masih berdepan masalah kekurangan air.

“AMK Selangor akan bekerjasama dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan untuk mengadakan satu himpunan di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang, selepas selesai solat Jumaat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, tengah hari tadi.

Menurut beliau, AMK Selangor juga akan memohon jasa baik Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campur tangan dalam permasalahan ini.
“Dalam himpunan nanti, kita juga akan berarak ke Istana Alam Shah untuk merafak sembah dan menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan supaya berkenan campur tangan dan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada baginda bagi membantu usaha kerajaan Selangor dalam mengambil alih Syabas.

“AMK percaya kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik kepada rakyat dengan kadar tarif yang berpatutan serta tidak membebankan rakyat,” ujar Naib Ketua AMK Pusat itu.

Azmizam turut mengecam tindakan terdesak Umno BN yang sengaja memutarbelit fakta.
“Isu ini sengaja dipolitikkan secara melampau oleh Umno BN yang terdesak menawan Selangor dengan memesongkan fakta sebenar.

“Umno BN menerusi media kawalan mereka secara berterusan memanipulasi isu seolah-olah ia berpunca dari keengganan Selangor untuk memberi kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2.

“Hakikatnya, Syabas selaku syarikat konsesi yang diberikan kontrak gagal dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” tegasnya.

Tambah beliau, pelbagai langkah diambil oleh AMK Selangor dan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor untuk menangani masalah tersebut, namun pihak Syabas yang diterajui Tan Sri Rozali Ismail tanpa sebarang tindakan untuk mengatasinya.

“Memorandum demi memorandum dikemukakan dari peringkat pengurusan Syabas hingga ke Istana Negara.

“Hingga hari ini tiada sebarang hasil positif dari Syabas,” katanya.

No comments:

Post a Comment