Sabtu 12 Januari 2013 minggu ini satu juta
anak semua bangsa – tua dan muda - akan berhimpun di Kuala Lumpur. Ini
adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). Satu juta rakyat yang hadir di
Kuala Lumpur telah disusun oleh badan-badan NGO dengan kerjasama yang
rapat dengan parti-parti politik dari Pakatan Rakyat.
Pelancaran
rasmi HKR ini telah diadakan pada 3 November tahun lalu di Seremban.
Pelancaran ini telah disambut oleh 30,000 warga yang tidak berganjak
walaupun hujan turun mencurah-curah. Kehadiran dalam hujan lebat ini
telah dibaca sebagai ‘mood’ rakyat telah bersedia keluar ke jalan raya
untuk membuat tuntutan. Lalu angka 1 juta dijadikan sasaran.
Selama
dua bulan ini para aktivis NGO bersama pekerja dan pemimpin Pakatan
Rakyat telah ke hulu ke hilir berkempen untuk meledakkan kemarahan orang
ramai. Para aktvis Ngo, perkerja dan pemimpin Pakatan Rakyat telah ‘
mengocak dan mengacau’ dari negeri ke negeri – dari kota ke kota – dari
kampung ke kampung - dengan niat jujur untuk menerangkan jenayah United
Malays National Organisation.
Saya terlibat secara langsung.
Tanpa segan silu saya telah memperkenalkan satu ‘terminaloji baru’ –
MENGHASUT - dalam istilah politik kontemperori Malaysia. Saya telah
merampas kembali perkataan HASUT yang selama ini melalui Akta Hasutan
telah digunakan untuk menindas rakyat. Tanpa berselindung, tanpa
berlapik – saya telah menjelajah seluruh Semenanjung untuk ‘menghasut’
anak semua bangsa – tua dan muda – agar turun pada hari Sabtu ini.
Pasti
ada yang akan bertanya : apakah tujuan HKR ini akan menghasilkan
sesuatu? Apakah himpunan 1 juta orang ramai ini akan mengubah lanskap
politik tanah air? Apakah himpunan ini akan membawa apa-apa kebaikkan?
Apakah ianya akan membawa mudarat dan musibah ke atas Pakatan Rakyat?
Apakah nanti himpunan ini akan ditohmah dan difitnah?
Semua
soalan ini adalah soalan yang jujur. Soalan sademikian lahir dari hati
jujur penyokong Pakatan Rakyat yang mahukan satu kerajaan dan pentabiran
baru didirikan di Putrajaya. Justeru saya wajib menjawab soalan-soalan
ini dalam usaha bersama-sama untuk membawa pencerahan dan perubahan.
Himpunan
Kebangkitan Rakyat ini adalah jalinan kerjasama antara NGO dengan
Pakatan Rakyat. Tujuan kerjasama ini cukup jelas. Yang terlibat dalam
HKR adalah NGO-NGO yang partisan – yang berpihak. NGO yang berpihak
kepada rakyat dan kebenaran. NGO yang berpihak ini mengajukan ‘regime
change – ubah kerajaan’ sebagai induk dasar perjuangan mereka. Ini bukan
gerakan NGO yang kuntau muntau, berdolak dalik, lembik lagi mandul
dengan dasar perjuangan – non partisan – tidak menyebelahi yang zalim
atau yang dizalimi.
Himpunan Kebangkitan Rakyat ini bukan gerak
kerja ngo yang takut dengan falsafah ‘regime change’. Atau NGO yang
secara senyap-senyap menyamar sebagai pro-rakyat tetapi hakikatnya
bersubahat dengan United Malays National Organisation. NGO-NGO mandul
ini berpura-pura melawan untuk menipu orang ramai walhal, hakikatnya
pengamal NGO bentuk ini menikmati hidup lumayan kerana bersubahat.
Dengan konsep ‘non partisan’ – tidak menyebelahi mana-mana pihak -
mereka ingin dilihat ‘melawan’ tetapi hakikatnya mereka membantu
memanjangkan umur United Malays National Organisation.
NGO
sperti ANAK, SAMM, UBU, Himpunanan Hijau, Royalti, GMI, SMM, ABU,
Mufakat atau NGO anti-PPSMI – adalah pendukUng tegar HKR. NGO-NGO ini
tidak menolak jalan raya sebagai kancah politik. NGO ini menerima tunjuk
perasaan sebagai wadah politik. NGO-NGO ini secara jelas lagi lantang
mahukan ‘regime change’. NGO-NGO ini telah letih dan penat menghantar
memo. Mereka telah lelah dan lesu membuat laporan polis. Mereka telah
bosan ke mahkamah.
NGO-NGO ini telah mengumpulkan pengalaman.
Mereka melihat memo mereka ditong sampahkan. Mereka naik bosan
berbincang tak habis-habis. Akhirnya mereka menyedari bahawa polis dan
mahkamah adalah milik United Malays National Organisation. Mereka juga
sedar bahawa SPR dan SPRM pekakas United Malays National Organisation.
Pengalaman
mereka telah menunjukkan bahawa membuat sesuatu yang sama
berulang-ulang kali dengan harapan ianya akan menghasilkan jawapan yang
berbeza adalah kerja orang gila. Hantar memo, buat laporan polis atau ke
mahkamah telah menjadi kerja bangang yang tidak membawa apa-apa hasil.
Justeru mereka turun ke jalan raya untuk mengampohkan lagi tuntutan
mereka.
Jangan silap faham – NGO ini bukan pro-pembangkang. NGO
ini bukan alat pembangkang. NGO-NGO ini adalah penyokong dan penggerak
masyarakat madani yang anti-kerajaan. Menuduh NGO ini sebagai
pro-pembangkang ialah satu penghinaan. Konsep Pro-Pembangkang dengan
konsep anti-kerajaan adalah dua konsep yang berbeza-beza - gula dan
garam tidak sama.
Kerana itu jika kerajaan baru Pakatan Rakyat
tidak menunaikan tuntutan-tuntan ini maka semua lembaga NGO ini akan
sekali lagi bangun melawan. Justeru Deklarasi 12 Januari yang akan
dinobatkan pada malam Sabtu ini nanti akan mengajukan dan mengingatkan
tuntutan bukan hanya kepada kerajaan yang berkuasa pada hari ini.
Tuntutan ini juga diajukan kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang akan
datang.
Apakah 1 juta di jalan raya ini akan mengubah lanskap
politik negara? Jawapannya : sudah pasti. Kemunculan 1 juta warga nanti
adalah untuk membuktikan kepada umum bahawa Pakatan Rakyat dengan
sokongan NGO memiliki kekuatan yang ampoh. Dalam bahasa asing... a show
of strength...’ ini membuktikan tuNtutan orang ramai untuk mendirikan
kerajaan baru cukup kuat lagi ampoh.
Kehadiran satu juta di
Jalan raya akan menenggelamkan segala tohmahan seperti - Amanat Haji
Hadi, Murtad Nurul Izzah, kenyataan Allah Mat Sabu, kes liwat Anwar
Ibrahim, masaalah air di Selangor dan dan... Semuanya akan tenggelam
dalam lauangan 1 juta rakyat.
Selama berbulan-bulan rakyat
melihat Pakatan Rakyat telah dibuli dengan pelbagai tuduhan dan
tohmahan. Melalui media milik United Malays National Organisation –
siang dan malam – Pakatan Rakyat telah diduku. 12 Januari ini ialah
tanda noktah untuk pembulian ini.
Satu juta rakyat di jalan raya
ini juga bermakna Pakatan Rakyat ini satu gerakan politik yang ampoh
dan popular. Satu juta penyokong Pakatan sanggup turun ke jalan raya –
tanpa diupah, tanpa diancam. Ini adalah petanda bahawa hari akhir United
Malays National Organisation telah sampai.
Jumlah 1 juta ini
juga akan menyedut para pengundi di atas pagar. Tunjuk perasaan ialah
menunjukkan kemarahan dan kebencian terhadap United Malays National
Organisation. Kemarahan ini akhirnya akan diterjemahkan sebagai undi.
Warga di atas pagar yang tersedut melihat 1 juta di jalan raya pasti
tidak mahu dilihat ketinggalan. Mereka juga akan tersedut untuk bersama
mengundi Pakatan.
Apakah himpunan ini akan memudaratkan Pakatan
Rakyat? Apakah akan berlaku kacau-bilau? Di sini lebih awal saya
terangkan – jika berlaku kacau-bilau, jika berlaku gangguan – semua ini
adalah provokasi tersusun dan terancang dari jentera rasmi dan tidak
rasmi milik United Malays National Organisation. Jentera dan perkakas
rasmi yang dimaksudkan ialah polis, FRU, dan mata-mata khas yang
kerjanya terlatih untuk membuat huru-hara.
Mustahil HKR yang
pada ketika ini masih menunggu jawapan kebenaran untuk menggunakan
Stadium Merdeka memiliki kudrat dan iradat untuk buat kacau. Jika kunci
Stadium Merdeka pun tidak ada pada tangan jawatankuasa HKR maka amatlah
mustahil jawatankuasa ini ada keupayaan untuk membuat onar.
Biar
saya nyatakan seawal mungkin – jika ada kekacauan berlaku maka
kekacauan ini pastilah kerja jahat dari jentera upahan United Malays
National Organisation. Hanya parti politik yang terdesak dan akan
terkubur sahaja yang suka buat kacau. Manakala Pakatan Rakyat yang
imejnya sedang naik cemerlang pasti berfikir 200 juta kali sebelum
berfikir untuk membuat onar.
Pasti ada penyokong setia Pakatan
Rakyat akan merasa cemas – apakah akan muncul dikaca TV, di muka hadapan
akhbar – berita-berita negatif tentang Himpunan ini? Untuk pertanyaan
ini saya menjawabnya dengan pertanyaan. Sejak bila media dan TV milik
United Malays National Organisation melaporkan berita tentang Pakatan
Rakyat atau pemimpin Pakatan secara tepat dan adil?
Yakinlah -
media musuh akan terus menyerang dengan pelbagai fitnah dan tohmah tanpa
henti-henti. Jangan ada apa-apa mimpi dan angan-angan di sini.
Hakikatnya sama ada rakyat berhimpun atau duduk membakar jagung atau
memeram telur di rumah - media United Malays National Oganisation akan
terus melahirkan berita tohmah dan fitnah. Media musuh akan terus
menyerang – ini tugas mereka.
Akhirnya kita sampai kepada niat
tersirat Himpunan ini. Saya telah menjelaskan dalam hasutan saya bahawa
jumlah 1 juta yang akan datang ke Kuala Lumpur adalah satu amaran kepada
Najib, Rosmah, Muhyiddin dan Mahathir. Jumlah 1 juta ini adalah amaran
agar mereka TIDAK akan menipu dalam PRU13 yang akan dijalankan tahun
ini.
Abang, adik, dan pembaca – jangan salah tafsir. Jumlah 1
juta ini bukan satu ancaman. Jawatankuasa HKR tidak membuat apa-apa
ancaman. Jumlah 1 juta adalah satu janji suci dari para pengundi -
anak semua bangsa - bahawa mereka TIDAK mahu lagi ditipu dalam PRU13.
Hentikan penipuan dan jalankan pilihan raya yang bersih dan adil.
Tarikh
12 Januari 2013 bukan meniru Arab Spring. Himpunan Kebangkitan Rakyat
pada Sabtu ini ialah Malaysian Durian. Durian – susah untuk diambil
isinya. Tetapi apabila terbuka maka akan terbukalah ruang demokrasi yang
isinya akan sama-sama kita nikmati. Kita berjumpa di Kuala Lumpur
Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment