ULASAN Tahun
2012 adalah satu tahun yang produktif untuk Kerajaan Negeri Selangor dan
saya serta barisan pimpinan kerajaan mulakan tahun baru 2013 dengan
azam untuk menggandakan usaha dalam memberi perkhidmatan pada rakyat.
Namun
amat menyedihkan Timbalan Perdana Menteri telah memulakan tahun baru
ini dengan terus membuat tohmahan politik dengan mendakwa rakyat
Selangor telah empat tahun diperdaya Pakatan Rakyat.
Hakikatnya, rakyat Selangor dan Malaysia yang telah 55 tahun diperdaya Barisan Nasional.
Artikel
ini berhasrat menunjukkan bukti kukuh berkenaan keutamaan yang diberi
oleh Pakatan Rakyat khususnya kerajaan negeri Selangor kepada kebajikan
rakyat serta komitmen kami untuk mengamalkan tadbirurus beramanah.
Kami
yakin bukan sahaja di Selangor bawah Barisan Nasional dahulu tetapi di
mana-mana negeri bawah naungan Barisan Nasional sekarang, bukti sebegini
tidak mungkin dibentangkan.
Dari segi pengurusan dan kedudukan
kewangan serta peruntukan untuk program kebajikan, kerajaan Selangor
yang dipimpin Pakatan Rakyat jauh mendahului negeri-negeri bawah Barisan
Nasional mahupun kerajaan persekutuan sendiri.
Kedudukan Kewangan
Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor pada tahun 2008, rizab tunai negeri hanya berjumlah RM760 juta.
Dalam
masa singkat empat tahun, kerajaan Pakatan Rakyat telah berjaya
meningkatkan jumlah ini lebih tiga kali ganda ke RM2.5 bilion.
Adakah ini hasil pengurangan perbelanjaan pembangunan?
Semestinya tidak. Sebaliknya, perbelanjaan untuk program-program kebajikan rakyat ditingkatkan setiap tahun, bukan diturunkan.
Kelebihan
dana tercapai bukannya melalui pengurangan perbelanjaan, tetapi dengan
penghapusan ketirisan dan gejala rasuah yang sebelumnya amat berleluasa.
Saya
amat tegas dalam memastikan setiap sen duit rakyat diurus dengan rapi
dan dibelanja secara beramanah. Justeru itu, hasil negeri berjaya
dikongsi secara sama rata kepada semua rakyat Selangor, tanpa mengira
bangsa, agama atau pendirian politik.
Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)
Program-program
Merakyatkan Ekonomi Selangor mencerminkan dasar asas kerajaan negeri
Pakatan Rakyat yang menegaskan bahawa segala hasil negeri harus
disalurkan terus kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan dan tanpa
“untung” yang bukan-bukan kepada pihak berkepentingan.
Rekod yang
disimpan berkenaan perbelanjaan program MES merupakan bukti
keprihatinan kerajaan negeri yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat memulakan program MES sebaik sahaja mengambil alih pada tahun 2008.
Pada
tahun itu, jumlah peruntukan adalah RM73 juta. Jumlah ini meningkat
secara berterusan setiap tahun: RM161 juta (2009), RM173 juta (2010),
dan RM192 juta (2011).
Untuk 2012 sehingga September, peruntukan
adalah RM 165 juta dan jumlah keseluruhan yang dibelanja demi kebajikan
rakyat melalui program MES dalam empat tahun ini adalah RM 766 juta.
Sebanyak
empat program telah berjalan secara berterusan sejak 2008 - 20 meter
padu air percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas dan
Tabung Pendidikan Anak-Anak.
Setiap tahun, program-program MES
baru diperkenalkan. Program-program ini tidak mengambil pendekatan
seperti dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional, yang
menabur gula-gula berupa duit dan barangan secara buta dengan tujuan
membeli undi.
Sebaliknya, asas MES adalah pemerkasaan dan
pemberdayaan lestari, di mana rakyat diberi modal, latihan dan
pertolongan supaya mampu dan sedia berhadapan dengan segala cabaran
ekonomi secara berdikari.
Jumlah rakyat yang menerima bantuan MES
juga telah meningkat secara konsisten sejak 2008 - 1.10 juta orang
(2008), 1.19 juta orang (2009), 1.25 juta orang (2010), 1.30 juta orang
(2011) dan 1.34 juta orang (2012, sehingga September).
Bukti terperinci komitmen kerajaan negeri Pakatan Rakyat terhadap kebajikan rakyat boleh dilihat dalam lamanweb rasmi.
Fokus kepada rakyat, bukan mainan politik
Maka,
dengan bukti yang dikemukan di atas, jelas ternampak bahawa komen-komen
Timbalan Perdana Menteri adalah komen pemimpin Umno yang kian terdesak
sehingga tanpa segan silu sanggup membuat pembohongan secara terbuka
kepada rakyat.
Saya ingin bertanya kepada beliau apa yang beliau
telah lakukan sebagai Menteri Besar Johor ketika pemberian kontrak
secara monopoli kepada Syed Bukhari? Bagaimana pula ketika rakyat Johor
dipaksa membayar tarif air di antara tertinggi di Malaysia?
Sekarang
di peringkat persekutuan, bilakah beliau akan berhenti berdolak dalih
tentang isu pengembalian kawalan industri air kepada kerajaan negeri
sepertimana yang diniatkan dalam Akta WSIA 2006 – satu proses yang
dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sendiri.
Timbalan
Perdana Menteri sepatutnya berfikir dua kali sebelum membuat tohmahan
kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Kerajaan Barisan Nasional
membentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2013. Meskipun demikian,
memandangkan PRU13 begitu hampir, maka ianya penuh dengan gula-gula
pilihan raya. Lebih teruk lagi hutang Negara pula melebihi RM 500
billion.
Sebaliknya Selangor berjaya membentangkan belanjawan
berimbang lima tahun berturut-turut dan lebih menekankan pelaburan
jangka masa panjang demi kebaikan rakyat.
Ini mencerminkan
prinsip kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang enggan menggadai masa depan
generasi akan datang hanya untuk menang pilihanraya melalui
kaedah-kaedah yang tidak halal.
Saya seru berhenti membuat fitnah
terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor dan bertanding dengan
berhemah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi
Umno Selangor telah gagal menggoyahkan semangat rakyat Selangor, jadi
tiada sebab Tan Sri Muhyidin harus mencuba.
No comments:
Post a Comment