Teka-teki mengenai kedudukan Nasharudin
Mat Isa hari ini terjawab apabila setiausaha Majlis Syura PAS Datuk Nik
Zawawi Nik Salleh mengesahkan bahawa bekas timbalan presiden parti itu
kini digugurkan keanggotannya dalam badan tersebut.
Menurut laporan Sinar Harian Online, Nik Zawawi berkata keputusan itu dibuat memandangkan Nasharudin melanggar beberapa peraturan jawatankuasa berkenaan.
“Keputusan
mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang
dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Antara
sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar
beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir
mesyuarat...," katanya seperti dipetik laman tersebut.
Tambahnya, majlis syura juga telah menyerahkan surat perlucutan jawatan tersebut selepas mesyuarat berkenaan.
Nasharudin
beberapa hari lalu dilaporkan menyertai gerombolan Umno, bersama
presiden parti tersebut Datuk Seri Najib Razak untuk lawatan kemanusiaan
ke Gaza.
Menyentuh perkara itu, Nik Zawawi dalam laporan Sinar
Harian itu berkata: “Itu terpulanglah kepada dia (Nasharudin), itu
tindakan peribadinya sendiri."
Nasharudin pada pertengahan
November lalu dilaporkan tidak akan hadir ke Muktamar PAS ke-58 yang
bakal berlangsung di Kota Bharu.
Nasharudin pada masa itu
dilaporkan berkata ketidakhadirannya itu "bukan isu besar" dan yakin PAS
tidak akan mengenakan apa-apa tindakan ke atasnya.
Teka-teki
mengenai kedudukan Nasharudin itu timbul ekoran kenyataan Nasharuddin
sebelum ini yang mencadangkan supaya PAS keluar daripada Pakatan jika
DAP menentang hudud – seperti dilaporkan meluas oleh TV3 dan Utusan
Malaysia.
Susulan itu, timbul saranan daripada pemimpin parti
supaya majlis syura ulama PAS menasihatkan Nasharuddin Mat Isa supaya
berundur daripada menganggota jawatankuasa tersebut bagi mengelakkan isu
berkaitannya dieksplotasi.
Mesyuarat majlis syura – yang
berkuasa memecat keanggotaan ahlinya – pada 9 September lalu
bagaimanapun mengekal Nasharudin sebagai anggota jawatankuasa tersebut.
Susulan
itu, Nasharudin terus mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap
mempertikai kerjasama PAS dalam Pakatan dan juga hala tuju partinya itu
dalam memperjuangkan Islam.
Dalam satu ucapan pada Oktober lalu,
Nasharudin mendakwa seorang pemimpin parti itu pernah memberitahunya
bahawa kemenangan Islam tidak pernah dibantu oleh orang kafir tetapi
hanya oleh umat itu sendiri.
Dalam ucapan sama, Nasharudin turut
mendakwa bahawa satu majlis kesyukuran yang diadakan di Sarawak tahun
lalu menganjurkan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian".
"Selepas
pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, untuk meraikan kemenangan, parti
DAP contohnya, di Sarawak, telah ada satu perhimpunan yang diadakan di
satu tempat sebagai majlis kesyukuran.
"Dan dalam majlis
kesyukuran itu antara perkara yang disebut dan didoakan adalah doa
supaya Malaysia menjadi negara Kristian. Kerana kemenangan yang besar
sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian," katanya.
No comments:
Post a Comment