Apabila
jenama ‘Islam' itu laris, ramai orang menggunakannya. Sama ada mereka
itu ikhlas kerana Allah, ataupun kerana ‘market demand' hanya Allah
sahaja yang maha mengetahui. Bermula dari pelbagai produk makanan dan
barangan cuba dikaitkan dengan agama sehingga kepada pelbagai jenis
motivasi. Akhirnya, agama kelihatan murah dan selekeh.
Ubat-ubatan
yang entah apa-apa kualitinya dikaitkan kononnya makanan Nabi SAW Sama
seperti sesetengah para penjual tamar di Mekah dan Madinah yang apabila
melihat orang asing akan berteriak memanggil pembeli dengan menyebut:
"Tamar Nabi! Tamar Nabi! Tamar Nabi!"
Saya sering menjawab
mereka dengan berkata: "Tamar Nabi SAW baginda sudah pun makan dan habis
pada zaman tersebut. Ini tamar awak punya, bukan Nabi SAW punya."
Malangnya,
orang yang tidak tahu akan tertipu lalu membeli tamar dengan harga
berlipat kali ganda hanya disebabkan laungan ‘tamar Nabi SAW'. Agama
sering menjadi alat penipuan dan kepentingan golongan yang pandai
mengekplotasikannya.
Tuntutan pasaran
Saya
tidak menyatakan semua, tapi sesetengah penceramah motivasi yang tidak
mendalami agama juga demikian. Oleh kerana ceramah merupakan pendapat
utama ataupun besar bagi sesetengah pihak, maka mereka mencari jalan
untuk memenuhi ‘market demand' (tuntuan pasaran).
Apabila mereka
melihat unsur agama mendapat sambutan, maka mereka pun memasukkan unsur
agama dalam ceramah-ceramah mereka. Malangnya, mereka mula ‘merepek'
ataupun mengada-adakan atas nama agama apa yang tiada asas dari al-Quran
dan al-Sunnah.
Contohnya, ada yang menyatakan kita sebelum tidur
hendaklah memohon maaf kepada semua kenalan. Jika Islam mewajibkan hal
yang seperti ini, tentulah sukar bagi para sahabat yang pada zaman
mereka tiada SMS, telefon, WhatsApp ataupun apa sahaja teknologi seperti
hari ini.
Islam menyuruh kita memohon maaf apabila kita
melakukan kesalahan, bukan setiap kali hendak tidur. Pandangan motivasi
seperti itu sekadar menggayakan syarikat-syarikat telekomunikasi sahaja.
Ada
pula yang menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan
makan dan minum yang diberikan. Ini adalah kedangkalan faham terhadap
hukum syarak. Suami diwajibkan syarak memberikan isteri dan anak-anak
makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jika suami gagal memenuhi
hal ini tanpa sebab yang sah maka dia berdosa di sisi Allah.
Jika
gagal, suami yang sepatutnya meminta maaf kepada isteri dan anak-anak.
Lihat arahan Allah kepada suami yang menceraikan isteri yang bermaksud:
"Tempatkanlah
isteri-isteri (yang menjalani iddah) itu di tempat kediaman kamu sesuai
dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti
mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan
kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu), dan
jika mereka sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkah
sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka
menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upah; dan
berundinglah antara kamu (dalam hal penyusuan) dengan cara yang baik.
Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka
bolehlah perempuan lain menyusukannya. Hendaklah orang yang mampu
(suami) memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di
sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang
diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati
seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya.
(Ingatlah) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya
kesusahan."(Surah al-Talaq ayat 6-7)
Hatta dalam iddah dan
selepas bercerai pun masih ada tanggungjawab suami. Inikan pula semasa
perkahwinan masih berjalan. Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun
genap iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu
menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan
menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 233).
Walaupun
majoriti ulama berpendapat ibu hanya disunatkan ataupun digalakkan
menyusukan anaknya, namun mereka tetap berpendapat jika tiada siapa
selain ibu yang dapat menyusukan anaknya, maka menjadi wajib ke atas ibu
untuk menyusu. (Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, 2/360. Beirut:
Dar al-Fikr al-Mu'asir 1991)
Pandangan timbulkan salah faham
Justeru,
anak memang wajib berbuat baik dan menghormati ibu, tetapi dalam Islam
tiada ungkapan kena meminta halal susu ibu yang telah kita minum.
Sebaliknya, jika seseorang ibu meninggalkan anak tanpa susuan dan tiada
gentian yang selayaknya, maka ibu itu berdosa.
Demikian isteri
tidak perlu meminta halal dari suami kerana itu adalah tanggungjawab
yang Allah fardukan ke atas suami. Hanya isteri memohon maaf jika dia
gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Nabi SAW mengingatkan
suami dan bapa dengan sabda baginda:
"Seseorang cukup berdosa
dengan dia cuai terhadap sesiapa yang menjadi tanggungjawabnya untuk
memberi makan". (Riwayat Abu Daud, bertaraf hasan)
Pendapat-pendapat
seperti itu meletakkan isteri dalam keadaan bersalah kerana memakan
nafkah yang suami berikan sehingga kena meminta halal. Malangnya, kurang
ditekankan tanggungjawab suami terhadap keluarga. Ini memberikan
persepsi yang salah tentang Islam. Juga menjadikan suami sering rasa
tidak bersalah atau kurang bersalah atas kecuaiannya.
Ini
diwarisi sehingga dalam politik di mana rakyat sentiasa dianggap
bersalah sehingga terpaksa akur apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa
disebabkan pemberian ataupun kemudahan infrastruktur yang diberikan
ataupun disediakan oleh kerajaan. Tanpa mengingatkan itu adalah
tanggungjawab penguasa yang jika mereka cuai mereka berdosa.
Nafkah haram?
Ada
pula penceramah motivasi yang menyatakan anak-anak yang tidak cemerlang
belajar disebabkan sumber wang pendapat bapa itu tidak halal. Isteri
dianggap turut berdosa atas pendapatan haram suami. Kita bertanya, apa
yang hendak mereka jawab mengenai anak-anak non-muslim yang cemerlang
sedang ibu bapa mungkin terlibat dengan riba dan seumpamanya.
Dalam
Islam, isteri-anak tidak bersalah atas kerja buat suami. Nafkah yang
diberikan suami kepada isteri dan anak adalah halal diterima kerana itu
tanggungjawab suami. Dosa hanya ditanggung oleh pihak suami sahaja jika
wang itu diterimanya secara haram. Adapun isteri dan anak, mereka
menerimanya secara halal kerana ia nafkah yang wajib.
Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas'ud: "Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan".
Jawab ‘Abdullah bin Mas'ud: "Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya." (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675)
Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau
ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram,
kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?.
Jawab Ibn ‘Umar: Ya" (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138)
Al-Syeikh
al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin pernah ditanya mengenai
hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat
dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.
Beliau
menjawab: "Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan,
dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut
secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan
dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas
bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari Yahudi,
memakan makanan Yahudi, membeli dari Yahudi sedangkan Yahudi terkenal
dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan
jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang
halal, maka tidak mengapa."
Ahli motivasi juga jangan lupa, wang
yang diperoleh melalui motivasi yang tidak benar dan menggunakan nama
Allah dan rasul-Nya secara salah juga termasuk dalam senarai yang haram.
Bacaan datangkan khasiat
Ada
pula pakar motivasi mengeluarkan petua kononnya bacaan itu dan ini
mendatang pelbagai khasiat. Ada yang kata baca fatihah untuk ibubapa
setiap pagi mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan
al-Sunnah yang menyebut kelebihan itu. Pemberi rezeki hanyalah Allah.
Bilakah Allah menurunkan wahyu kepada mereka ini memberitahu jika
manusia baca ayat-ayat ini Dia akan turunkan rezeki?
Inilah yang al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ulas mengenai tipu daya iblis terhadap golongan wu'adz dan tukang cerita ini:
"...maka
golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai
tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada
cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka
timbullah berbagai bidaah dalam bidang ini... di kalangan mereka ada
yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan
al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat). Iblis menipu mereka
lalu mereka berkata: tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai
kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah
penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini,
syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada
penyempurnaan."
Mereka lupa sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang
berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam
neraka" (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah).
Bukan tujuan tulisan ini menghalang ahli-ahli
motivasi bercakap agama, tetapi pastikan apa yang disebut itu berasas
dan benar dari segi faktanya.
No comments:
Post a Comment